Assalamu’alaikum dan salam sejahtera, semoga semua sentiasa sihat dengan izinnya. Disini aku ingin berkongsi pengalaman aku sepanjang mengalami gastrik dan serangan panik.
Pada mulanya aku ingatkan hanya gastrik je, pada suatu hari tu aku terasa sakit dada, mencucuk, nyeri, susah bernafas, tangan kaki kebas, mata kabur, seperti nak mati, takut, gemuruh, jantung laju, dan macam-macam lagi.
Disebabkan rasa yang aku alami aku terus dikejarkan hospital berdekatan untuk rawatan lanjut, sepanjang perjalanan aku tak putus berdoa, zikir dan selawat adakah aku akan mati, macam dangan mak ayah dan macam-macam lagi bermain dibenak fikiran ku ini.
Sampai sahaja aku teruskan dimasukkan bahagian kecemasan untuk rawatan lanjut, ujian ecg, ujian oksigen dijalankan, test darah lagi untuk mencari punca apa yang menyebabkan aku mengalami keadaan itu. Doktor hanya mengesahkan yang aku hanya mengalami serangan gastrik dan tidak lebih dari itu, alhamdulilah syukur aku ucapkan, aku dibenarkan pulang selepas berehat seketika dihospital.
Alhamdulillah aku berasa syukur kerana tuhan masih memberi aku peluang untuk terus berbakti kepada-nya dan kedua ibubapa ku, namun aku ingatkan itu semua sudah berakhir, selang satu minggu aku selalu terkena serangan susah bernafas, takut, gemuruh, palpilation, mata kabur, kebas kaki tangan, kebas kepala dan pelbagai lagi aku rasa.
Namun aku biarkan kerana aku hanya ingatkan ianya perkara biasa, sebulan berlalu ianya sering menganggu aktiviti kehidupan seharianku, terasa seperti tidak bermaya, muram, tidak bersemangat, jantung laju, sesak nafas, dan seumpamanya.
Akhirnya aku memutuskan untuk berjumpa dengan doktor untuk mengetahui sebab kenapa aku mengalami simptom-simptom seperti yang aku nyatakan, doktor menyatakan aku telah mengalami satu serangan panik (panic attack),aku sangat terkejut kerana aku pun tidak tahu apa itu serangan panik dan apa kaitannya dengan gastrik.
Setelah mendengar penjelasan langsung aku dibekalkan dengan ubat untuk mengawal gejala serangan panik, setiap minggu, setiap hari aku akan selalu mengalami serangan panik, aku terpaksa kepada ubat untuk mengatasinya, aku mulai jadi pendiam, suka berkurung disebabkan serangan panik itu telah mengubah hidupku, sukar untuk aku terima kenapa aku yang harus mengalaminya kenapa bukan orang lain.
Aku berterusan mengalami keadaan seperti itu selama tiga bulan, sehinggalah aku terjumpa satu coretan yang bertajuk hidup, sakit matiku siapa yang tahu (ingat-ingat lupa), dalam coretan itu banyak telah menyedarkan aku bahawa kembali lah ke fitrah, yang paling memberi kesan kepadaku ialah kenapa perlu menyalahkan takdir, kenapa perlu merungut sedangkan kita masih mampu berdiri, bercakap, makan dan minum, dan seumpamanya.
Katanya dalam coretan itu bersyukurlah kerana kita insan yang terpilih untuk mengalami teguran ini sedangkan diluar sana masih ramai yang leka dengan duniawi, coretan itu juga mengatakan hadirkan rasa keredhaan, keihklasan, keterimaan, dan hadapilah, bagiku coretan ini sedikit sebanyak telah menyedarkan aku. Mungkin ini adalah kifarah, teguran buat aku yang lalai ini, aku anggap coretan itu adalah petunjuk yang maha esa hadirkan pada diriku untuk menyedarkan aku.
Bermula dari itu, aku bertekad untuk merubah diriku, gaya hidupku ke arah yang lebih baik, namun aku masih lagi proses mengawal serangan panik dengan ubat, selang 3 bulan berlalu aku mampu mengawal serangan panik berkat dari tunjuk ajar doktor, keluarga dan teman-teman yang rapat, sejak dari itu juga aku mengawal gaya hidupku yang entah kemana.
Bermula dari situ aku sudah merubah gaya hidupku, alhamdulilah dengan izinnya serangan panik aku sudah mampu dikawal dan berkurangan, benda yang aku amalkan ialah solat di awal waktu bagi umat islam, dekatkan diri dengan orang yang beragama, solat hajat mohon kesembuhan, menjaga waktu makan dan ambil permakanan yang berkhasiat, dan beriadah.
Itu semua aku lalukan untuk keluar dari kepompong serangan panik, benda pertama aku buat redha dan terimalah dengan ikhlas kerana kita adalah insan istimewa yang terpilih walaupun pada mulanya aku pun tidak tahu apa itu terima dan ikhlaskan menghadapi, sukar untuk aku jelaskan bagaimana perasaan itu hadir, apa yang aku amalkan sehingga serangan panik aku berkurangan akan aku jelaskan satu persatu.
Pertama bagi umat islam kembalilah kepada fitrah, serahkan kepadanya yang maha esa, solat diawal waktu.
Kedua jagalah gaya hidup, bagi yang amalkan gaya hidup tidak sihat tu ubahlah kerana masih belum terlambat, sentiasa tidur diawal waktu, bangun awal, amalkan gaya hidup sihat, banyakkan beriadah, dekatkan diri dengan orang yang positif, beragama.
Ketiga jagalah gaya makan, kerana Nabi Sendiri mengatakan semua penyakit bermula dari perut (betulkan jika fakta salah), kurangkan gula, kurang makanan bergas, berlemak pedas, asam dan seumpamanya. Faktor yang menyebabkan aku terkena serangan panik ini adalah disebabkan gaya hidupku dan gaya permakanan ku yang tidak terkawal, selalu skip sarapan pagi, suka makan pedas dan asam, makan tak ikut apa yang tubuh badan perlukan.
Jangan amalkan gaya sebegini ye sahabat semua tidak elok, aku sudah merubah pola pemakanan ku kearah gaya yang lebih sihat, lebihkan buah-buahan, sayuran. Aku amalkan konsep suku, separuh-separuh (nasi, sayur dan buah), itulah kisah ringkas aku sepanjang mengalami serangan panik dan gastrik.
Nasihat aku jangan ambil mudah gastrik ye kerana ia juga salah satu pemicu serangan panik, amalkan gaya hidup sihat, jaga pola pemakanan, positifkan diri, minda dan hati, dan yang paling utama kembalilah ke fitrah ye bagi umat islam.
Banyakkan juga berkongsi rasa, atau luahkan, kongsilan dengan keluarga, orang terdekat yang boleh dipercayai ye, baru rasa ringan, dan paling penting juga dapatkan nasihat dan tunjuk ajar dari pakar yang bertauliah ye.
Bagi yang tidak mengalaminya jika ada berkongsi atau luahkan apa yang dia rasa sepanjang mengalami serangan panik, jangan ambil, bantulah la dia dengan ringan bebannya, jangan pula kita komen itu semua mainan perasaan, dan sebagainya sehingga boleh menjatuhkan moralnya.
Dengar dan nasihatkan secara baik, cakap kau jangan takut aku sentiasa ada disisi kau untuk membantu. Jangan pernah putus asa, sabar walaupun aku tidak melalui apa yang kau rasa namun sabarlah mungkin ini semua ujian buat kau, biarlah susah dahulu senang kemudian.
Jangan pandang serong kepada orang yang mengalami serangan panik, bantulah mereka kerana mereka memerlukan bantuan anda. Itulah serba sedikit seribu satu rasa yang aku alami sepanjang aku alami gastrik dan serangan panik.
Mudah-mudah dengan serba sedikit perkongsian aku ini mampu membantu sahabat diluar sana yang mengalami serangan panik. Ingat kembali lah ke fitrah, terima dan ikhlas dan hadapilah dengan hati yang terbuka, jangan lupa berdoa, solat itu kunci utama kearah kesembuhan. Terima kasih.
– Mahizi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit