Selamat Hari Raya aku ucapkan. Sempena Raya ni, aku nak share kisah terburuk yang jadi dalam keluarga besarku. Mungkin aku akan dikecam oleh keluarga sendiri, tapi tak apa, aku anak lelaki yang tidak takut untuk berkata benar, demi menyedarkan mereka yang salah.
Raya kalini agak meriah.. Hampir semua keluarga besarku pulang ke rumah nenek (tempat dirahsiakan bagi mengelakkan cemuhan terhadap negeri tersebut, Malaysians pulak!). Lebih2 lagi cuti raya jatuh pada tarikh yang strategik iaitu Rabu & Khamis. Maka ramailah sanak saudaraku yang mengambil AL pada hari Jumaat seterusnya sambung bercuti sehingga Sabtu & Ahad. Kesempatan ini, keluarga besarku di sebelah ibu mengambil kesempatan untuk mengadakan Hari Keluarga..
Pada Syawal pertama, tidak digambarkan betapa meriahnya kami. Pelbagai makanan dihidangkan serta beberapa rumah juga telah kami lawati. Tertangkap indah memori ini untuk dijadikan kenangan pada masa akan datang. Namun segalanya berubah sekelip mata pada Syawal ketiga, hari di mana Hari Keluarga kami berlangsung.
Biarku cerita serba sedikit mengenai keluarga besarku terlebih dahulu. Ibuku anak ke 4 daripada 6 beradik. Justeru aku mempunyai Pak Long, Mak Ngah, Mak Ude, kemudian ibuku, Mama Sal (bukan nama sebenar, aku gelarnya mama kerana dia adalah makcik yang paling rapat dengan ibuku), & Mak Usu). Sepupuku sangat ramai & tidak semuanya pulang. Nenekku juga sudah mempunyai beberapa orang cicit.
Majoriti sepupuku adalah lelaki. Boleh dikira jumlah bunga. Sepupuku yang pulang ke kampung juga hampir semuanya lelaki bujang lingkungan umur 17 – 28, seperti umurku. Hanya 3 orang daripada mereka sahaja yang sudah berkahwin. Selebihnya bujang termasuk aku. Manakala sepupu wanitaku ramai juga cuma yang sudah berkahwin tidak pulang ke kampung.
Yang beraya di kampung nenek hanya 5 orang. Sara (bukan nama sebenar) yang sudah bekerja, berumur 24 tahun. Lagi 2 orang sepupu wanitaku masih belajar di IPT dan selebihnya masih dibangku sekolah, termasuk adik perempuanku. Sara, seorang wanita yang baik, namun sering dipandang serong oleh makcik pakcikku hanya kerana dia tidak memakai tudung.
Menurut mereka, Sara terlalu seksi di hadapan anak-anak bujang mereka. Sungguhpun Sara ‘free hair’’, aku berpendapat pakaiannya masih sopan dan tidak sedikit pun mengghairahkan. Bajunya tidak ketat, bahkan seluarnya juga longgar. Tapi Sara masih dicemuh dengan perlian. Bukan Sara sahaja, ibu Sara iaitu Mak Usu juga terkena. Kata makcik pakcikku, Mak Usu & Pak Usu ku tidak pandai mendidik anak! Mungkin bagi mereka, pakai tudung itu satu kewajipan tetapi menjaga tuturkata itu tidak diwajibkan?
Apa yang menyedihkanku, sewaktu kami beramai-ramai berjalan kaki ke masjid berdekatan dengan rumah nenek untuk Solat sunat hari raya, sempat lagi makcik pakcikku melontarkan kata-kata tidak baik di hadapan Sara & Ayahnya. “Cantik rupanya kau pakai telekung, Sara. Tapi pagi ni jelah tutup aurat, balik sembahyang nanti sambung tayang rambut sampai habis raya. Sia-sia je kau sembahyang raya. Baik kau tolong mak kau masak kat dapur…”
Masih terngiang-ngiang ditelingaku. Aku berdiri di belakang Sara waktu itu. Pak Usu hanya diam memandangku. Aku tahu dia malu, aku minta dia bersabar. Kata Pak Usu, dia tidak boleh kata apa2 kerana Pak Usuku hanya menantu yang bongsu. Lagipun dia sudah lama menumpang di rumah nenek untuk menjaga nenekku bersama Mak Usu. Kalau lah Pak Usuku melawan kata2 abang & kakak iparnya, silap2 mereka akan dihalau. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Seusai solat sunat raya, aku terus pulang & menunggu ibuku di bilik yang mereka diami. Apabila ibu & adik perempuanku masuk sahaja, lantas aku berpesan kepada mereka supaya tidak turut serta sebut benda2 yang tidak baik terhadap Sara. Aku tidak benarkan mereka bergossip atau mencemuh Sara bersama makcik & pakcikku yang lain. Maka selesailah kewajipan aku sebagai anak lelaki sulung, memesan kepada ibu dan adikku supaya jauhi sifat yang keji itu.
Pada hari yang sama juga, aku terdengar pak long berseloroh di hadapan semua orang mengatakan baju kurung moden yang dipakai oleh Sara sangat cantik, dan beliau terasa ingin berkahwin lagi satu apabila melihatnya. Mak Tam ku gelak besar sambil melihat Sara atas bawah dan menjeling. Sara kemudiannya dipanggil ke bilik & dimarahi oleh isteri Pak long iaitu Mak long serta Mak Ngahku, siap disuruh tukar baju kerana Sara berniat menggiurkan Pak Long.
Aku berada di dalam bilik itu kerana berkongsi bilik dengan Pak long, al maklumlah bilik tidak cukup disamping anak Pak long semua lelaki dan dengan selambanya Mak Long menengking Sara di hadapanku. Sara sedikit pun tak menjawab tetapi aku yang mula panas hati. Dengan nada yang sopan, aku menegur Mak long bahawa suaminya hanya bergurau. Pak Long itu sedarah sedaging dengan Sara, Sara juga merupakan anak kepada adik kandung pak long, mustahil pak long rasa ghairah terhadap anak saudara sendiri.
“Kau tiada bapak, kau tak tahu macam mana rasanya duduk dengan lelaki tua yang makin lama makin gatal. Kalau bapak kau hidup lagi, aku jamin dia pun gatal macam pak long kau!” balas mak long. Aku terdiam. Bukan kerana aku takut dimarahi, tapi kerana aku takut aku akan menumbuk muka makcikku sendiri. Kekecohan ini menyebabkan pak long menjengah ke bilik bertanyakan kenapa. Sara lantas meminta maaf dan memberitahu bahawa dia akan tukar baju jika baju yang dipakainya mengacau pandangan sesiapa.
Kata pak long, “tidak perlu, tadi aku bergurau je. Kalau aku nak kahwin lain, aku nak pilih yang tutup aurat. Rambut kau tu buat aku tak masuk syurga…” Pak long ketawa dan berlalu pergi. Begitu juga mak long. Mak ngahku sempat berpesan agar aku sentiasa mengingatkan adikku yang masih bersekolah menengah untuk pakai tudung atau dia pun akan jadi mangsa. “Sekarang ni kes rogol banyak…” katanya sambil keluar. Sara yang sudah menangis juga berlalu pergi.
Aku istighfar dan tarik nafas panjang. Buat pertama kalinya, aku whatsapp personal Sara, memintanya untuk bersabar. Tidak mengapa jika dia dicemuh Pak Long, Mak Long, Mak Ngah & Mak Ude… Ibuku, Mama Sal & Ibu Bapanya masih ada… Sara hanya balas ‘terima kasih & jangan bagitahu Mak Usu & Pak Usu…’
Syawal ketiga. Hari di mana perpecahan keluarga besarku berlaku. Aktiviti Hari Keluarga ini tidak disertai Sara kerana pada awalnya Mak Ude ada memerli Sara dihadapan menantunya, mungkin dikhuatiri terdapat bujang-bujang serta bapak orang yang terangsang. Setelah sejam aktiviti berlangsung, dengan sengaja aku menyerah awal dengan niat ingin menjenguk Sara yang berada di dapur bersama adikku. Aku dan Sara tidak lah rapat sangat bila sudah dewasa ini. Tapi entah mengapa aku agak prihatin terhadapnya kali ini, mungkin aku agak sedih dengan apa yang berlaku.
Tahun sebelum ini jarang Sara dicemuh dihadapanku. Walaupun aku jarang pulang ke kampung, tapi aku tahu ramai yang tidak puas hati dengan kecantikkan Sara. Mungkin sebab dalam kalangan sepupuku Sara dikategorikan ‘hot’ dan cantik serta ramai yang menyebut-nyebut namanya, jadi ia menimbulkan kerisauan makcik & pakcikku.
Adikku meninggalkan kami berduaan di dapur kerana ingin melihat ibuku yang masih bermain. Tiba-tiba muncul Pak Ngah, abang ipar ibuku menjeling kami seakan-akan kami merancang untuk buat benda tak elok dan beliau terus keluar. Aku dapat lihat wajah Sara tiba-tiba sahaja tidak selesa dengan kehadiranku. Lalu aku meminta diri untuk keluar.
Jam menunjukkan pukul 1 pagi. Aku masih belum lelap, berchatting dengan buah hatiku. Rumah nenekku sepi, yang lain sudah tidur kepenatan. Sesekali aku terdengar bunyi kayu lantai dipijak (rumah nenekku rumah kayu) seakan-akan ada yang berjalan. Lama mindaku bercelaru… Aku tidak tahu kenapa aku rasa nak bangun keluar dari bilik untuk melihat siapa yang berlegar di waktu sebegini. Padahal aku boleh sahaja Husnuzon, mungkin ada yang nak ke bilik air di dapur bawah. Tapi yang aku fikir adalah seseorang mungkin ada niat tak baik terhadap Sara.
Aku bangun & berjalan dengan perlahan. Gelap. Aku pelik kerana bunyi orang berjalan tetapi tiada satu lampu pun terbuka. Aku terus turun ke dapur meraba-raba dalam kegelapan. Sungguh, jantungku berdebar apabila aku terdengar suara orang mendengus & mengerang perlahan dari bilik air yang gelap. Sangat perlahan, hanya boleh didengari jika aku letakkan telinga di pintu. Aku yakin ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku. Aku bersedia untuk menangis jika Sara diapa-apakan.
Aku kembali ke bilikku untuk mengejut Pak long & memberitahu hal tersebut. Aku sempat memesan kepada Pak long untuk berjalan dengan perlahan agar tidak mengejutkan si Pelaku. Sungguhpun kami menapak dengan perlahan, terdengar juga sedikit bunyi kayu yang mengejutkan mereka yang tidur di ruang tamu. Setelah aku dan pak long mendengar bunyi meremang tersebut di balik pintu, beliau terus menghidupkan lampu. Terlihat juga Cik Azam (suami Mama Sal) yang menghampiri tangga dapur seperti menghidu sesuatu. Pak long terus membuka pintu dengan pantas.
“Astaghfirullah…” jerit Pak Long. Jeritannya mengejutkan semua orang. Nenekku keluar dari biliknya untuk melihat apa yang terjadi dan Sara ada dibelakang nenekku! Aku berzikir melihat apa yang aku lihat dan terus menoleh ke tempat lain. Nenek aku sudah mula memaki hamun. Pak longku terus terajang anaknya di dalam bilik air.
Sungguh tak disangka. Dua orang sepupu lelakiku sedang melakukan hubungan diluar tabi’i. Cik Zam meleraikan amarah Pak Longku. Pak ngahku yang baru tiba juga kaku. Kekecohan jam hampir 2 pagi ini menyebabkan semua orang terjaga. Semua yang ke dapur mengucap apabila ternampak susuk tubuh 2 orang lelaki yang tidak memakai apa-apa, hanya menutup kemaluan mereka dengan baju.
Nenekku menangis & Sara menenangkannya. Segala makian & hinaan keluar dari mulut nenek, yang tidak pernah sekali pun aku dengar. Dia mengeji kelakuan songsang tersebut. Malam itu juga Pak Long & Mak Ngah berkemas. Pak Long bertolak pulang ke rumahnya jam 4 pagi. Mak Ngah yang tidak henti menangis bertolak pulang selepas subuh.
Mereka tidak dapat menunggu sehingga pagi mungkin kerana malu. Sewaktu hendak pulang, pak longku hanya berjumpa nenekku di dalam bilik. Begitu juga Mak Ngahku yang aku dengar meraung dari dalam bilik tersebut. Kesemua mereka tidak berjumpa kami langsung untuk mengucapkan selamat tinggal. Kami faham, kami juga tidak mahu berkata lebih.
Begitulah kisah sedih keluarga besarku pada hari raya kali ini. Tahun depan aku tidak pasti bagaimanakah situasinya memandangkan seorang demi seorang ‘left group’ di whatsapp keluarga kami. Pagi itu, kakakku yang tidak dapat beraya bersama kami kerana beraya bersama Abang iparku tidak henti-henti bertanyakan apa yang telah terjadi melalui panggilan telefon.
Bukan kakakku sahaja yang pelik kerana ramai yang sudah keluar dari group tersebut, sepupuku yang sudah berkahwin dan menginap di homestay berdekatan juga terus-terusan bertanya mengapa pak long & mak long pulang awal pagi. Sukar untuk kami, saksi kejadian untuk ceritakan.
Meskipun ini melibatkan aib, aku tidak menyebutkan nama sebenar sesiapa, bahkan nama kampungku juga aku rahsiakan. Aku memohon maaf di atas posting ini, sekiranya ia menyakiti perasaan keluargaku yang lain yang semestinya tahu bahawa aku sedang bercerita tentang keluarga kita. Tapi aku tidak boleh melupakan kata-kata mak long & mak ngahku yang menyebut tentang ayahku yang sudah tiada dan adikku yang mungkin dirogol jika tidak pakai tudung.
Aku minta maaf sekali lagi wahai sepupu-sepupuku kerana aku tidak boleh memaafkan mak long & mak ngah. Sepatutnya bukan aku yang perlu minta maaf, tapi Mak long & Mak ngah lah yang perlu berbuat demikian kerana menghina ayahku yang sudah meninggal dunia, dihadapan anaknya ini!
Mak long & Mak ngah yang dirindui, biarlah aku dianggap biadap kerana berkata sebegini. Tapi inilah yang dipanggil kifarah. Sibuk mendidik anak orang, anak sendiri yang ditangkap melakukan hubungan luar tabi’i!
Allahu. Semoga menjadi pedoman.
– ED (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit