Assalamualaikum semua. Terima kasih buat admin jika disiarkan coretan peristiwa yang berlaku belasan tahun lalu. Aidilfitri ini ayah buka cerita tentang pemergian ibu.
Aku merupakan anak ke 6 dari 7 beradik. Sekarang berumur 24 tahun, dan baru menamatkan pengajian. Masih menganggur. Dikesempatan ini aku nak ceritakan sedikit kisah ibu yang pergi meninggalkan kami pada tahun 2003 sehari selepas umur adik 2 tahun.
Semasa umurku 7 tahun ibu menghadapi simptom mata buta. Keadaan ini hanya berlaku beberapa jam sahaja. Hal ini kerana ibu seorang yang aktif. Kebiasaannya memang ibu orang yang kuat bekerja. Ayah juga pelik dengan keadaan sedemikian, ayah segera membawa ibu ke klinik swasta untuk mengenalpasti keadaan mata ibu. Doktor kata ibu tiada masalah. Jadi ayah ikhtiar cara lain.
Tanpa disangka-sangka keadaan semakin teruk bila ibu tiba-tiba diserang strok sebelah badan. Ayah cuma sehabis baik untuk berubat penyakit ibu tapi semakin hari semakin parah.
Untuk pengetahuan semua, jarak umur kakak dan abang yang lahir sebelum aku hampir 10 tahun. Jadi pada masa ibu meninggalkan kami masih kecil, kakak baru seorang yang kahwin.
Pada suatu hari ayah mengalami mimpi yang pelik tiga hari berturut-turut ada orang mencarinya. Orang dalam mimpinya mencari orang yang bernama seperti ayah. Jika diteliti orang tersebut merupakan suruhan orang untuk mencari ayah. Hal ini demikian kerana tiga malam berturut ayah bermimpi orang yang sama mencari ayah.
Namun malam terakhir mimpinya ayah sempat bertanya kepada orang tersebut apakah tujuan untuk mencari ayah dan ayah mengaku ayahlah orang yang dicari-cari. Tanpa menjawab orang tersebut terus pergi tanpa mempedulikan ayah.
Apabila ayah terjaga dari tidur, keadaan semakin teruk. Ibu kata tidak dapat bertahan lama. Masa ibu dah tak lama.. Ibu kata lagi dengan ayah jika apa-apa berlaku kepada ibu jangan khuatir aku dan abang sebab dah bersekolah. Ibu risau dengan adik. Wasiat ibu pada ayah jika ibu telah tiada, jangan serahkan adik pada siapa-siapa kecuali pada nenek dan kakak.
Setelah ibu pergi ayah serahkan adik kepada nenek seperti yang telah diwasiatkan. Setahun berlalu nenek semakin tua dan uzur. Ayah serahkan adik kepada kakak. Adik membesar dengan anak-anak kakak. Semua belanja kakak yang tanggung termasuk tangan adik yang perlu follow up dengan Dr akibat tumpahan air panas
Cukup sebulan lebih ibu menanggung kesakitan, ibu akhirnya menghembuskan nafas terakhir. Setelah ibu pergi, ayah ada bertanya kepada orang yang berpengetahuan tentang mimpinya. Ayah diberitahu bahawa ibu sebenarnya terkena buatan orang.
Tujuan orang tersebut bukanlah ibu. Tapi ayah. Dalam mimpi ayah ada orang mencarinya itu adalah jin yang telah dihantar untuk ayah namun jin tersebut tidak kenal ayah. Ayah orang yang suka berzikir. Hijab jin tersebut telah ditutup menyebabkan tidak kenal ayah.
Orang tersebut tidak berpuas hati, lalu menghantar sihir kepada orang yang paling dekat dengan ayah iaitu ibu. Ibu pergi akibat hasad dengki orang terhadap ayah. Katanya ibu sebenarnya punya peluang untuk selamat jika dirawat dari awal. Cumanya takdir Allah juga sebagai ikhtibar buat kita untuk reda pemergian ibu.
Walaupun ibu telah pergi mengadap Pencipta. Kebaikan ibu tetap dikenang. Ibulah orang pertama yang memudahkan urusan orang. Ibu baik pada semua orang, tidak kira orang yang kurang siuman dan OKU ibu layan mereka dengan baik. Ramai yang cari ibu untuk cari kerja belajar menjahit dengan ibu. Jika orang tak mampu bayar pakej yang ditawarkan ibu kurang kos untuk mudahkan urusan orang.
Dalam banyak-banyak rahsia yang ayah ceritakan. Ayah tak sebut siapa yang hantar sihir. Katanya benda ni akan memberi kesan tidak baik. Biarlah ayah yang simpan. Cukup setakat itu anak -anak ayah perlu tahu.
Buat orang yang pernah menghantar sihir kepada orang lain, bertaubatlah hidup kita ni terlalu singkat untuk dipersiakan. Balasan Pencipta kita lebih besar dan kekal. Seorang sahaja yang kita hasad dengki keturunannya telah kita zalimi. Allah Maha Adil terhadap hambaNya. 16 tahun berlalu tapi balasan Allah adalah kekal. Semoga Allah bagi hidayah kepada kita.
Al-fatihah buat Ibu dan Nenek.
– NS (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit