Bantulah Kami Wahai Suami

Hai IIUM readers. Baru-baru ni saya disahkan hamil anak kedua selepas setahun anak pertama saya lahir. Bukan menolak rezeki jauh sekali merungut dan tidak bersyukur di kala berjuta pasangan sah di luar sana bermati-matian mahukan rezeki anak. Saya pula senantiasa dimudahkan. Sekadar meluah rasa fungsi suami dalam membantu isteri dari segala segi terutamanya membesarkan anak.

Ya anak kedua ini tidak dirancang sama sekali. Saya juga secara fizikal dan emosi nya belum lagi bersedia kerana anak pertama lahir melalui pembedahan. Risau dengan berbagai mitos, pandangan daripada masyarakat luar dan golongan medik tentang kehamilan semula dalam masa terdekat selepas pembedahan. Tetapi ini yang terbaik Allah tetapkan untuk saya.

Suami saya bekerja dengan Masa dan gaji yang tidak tetap. Ada kerja, ada gaji, tiada kerja, tiada gaji. Saya pula berkerja dan bergaji tetap. Masa office hour. Dan selepas anak pertama lahir, saya yang banyak uruskan hal rumah dan hal anak. Dari anak bangun pagi sampai dia tidur semula dan seperti itulah rutin hariannya.

Saya faham situasi suami yang kerja tak tentu masa, kadang 2 3 hari baru pulang ke rumah. Itupun sekadar semalaman. Sampai rumah lewat malam, awal pagi keluar semula bekerja. Saya memilih untuk percaya kan dia dan yakin dia memang benar keluar bekerja. Terkadang sebagai manusia biasa, ada masa selepas balik kerja, saya rasa terlalu letih sehingga nak layan anak pun dah tak larat.

Saya perlukan suami saya untuk berborak, bercerita hal kecil yang berlaku hari ini dan hari2 esok. Saya perlukan suami saya untuk meluahkan rasa letih, sekadar meluah pada manusia. Saya perlukan suami saya untuk membantu saya melayan anak ketika saya rasa sangat letih pada hari2 tertentu. Tapi atas dasar kerja, suami saya tak mampu lakukan ini semua.

Semasa hamil anak pertama, begitu banyak hari saya keseorangan, selesaikan kebanyakan hal anak juga berseorangan, check-up, beli barang anak juga berseorangan. Nampaknya begitu juga dengan kehamilan kali ini. Call & mesej? Suami saya terlalu sibuk dengan kerja dan dia juga tidak pernah berminat nak dengar luahan hati saya.

Tiap kali saya bercerita dia jarang focus dan akhirnya perbualan kami berakhir dengan cerita masalah dia dengan kerjanya. Berjela-jela mesej dan whatsapp saya luahkan masalah saya, keletihan saya pada suami. Hanya dibalas dengan OK.

Saya pernah meluahkan perasaan di hadapannya apabila saya keletihan, tetapi dia membalas dia berpuluh kali ganda keletihan dari saya atas faktor kerjanya. Tak cukup tidur, tak sempat makan, semata-mata untuk mencari rezeki untuk menyara keluarga. Dan tiap kali dia ada di rumah, dia Cuma banyak tidur akibat keletihan.

Kami sudah jarang keluar bersama kecuali hujung minggu, itu pun sekadar 3 ke 4 jam. Selebihnya dia nak berehat dan tidur. Tiada lagi sesi muhasabah diri atau luahan diri masing-masing untuk baiki hubungan.

Saya bersyukur dia seorang suami yang rajin dan berusaha menyara keluarganya tetapi adakah tanggungjawab suami hanya mencari rezeki. Saya juga keluar mencari rezeki bersama-sama, saya kongsi perbelanjaan rumah dengan pengetahuan dia, saya bantu dia bayar bil rumah, pengasuh anak juga saya bayar sebab saya nak bantu ringankan beban suami yang banyak komitmen lain. Tetapi kenapa tanggungjawab lain diserahkan sepenuhnya di atas bahu saya.

Saya faham keterbatasannya untuk bantu saya uruskan hal rumah dan anak tapi saya rasa sangat melampau bila saya mintak tolong cuci pinggan dan sidai baju pun saya dimarahi dan diperli-perli, seolah pekerjaan rumah itu terlalu mudah sehingga saya tak layak minta pertolongan suami.

Terkadang, saya sibuk memasak, anak menangis, suami saya marah dan mengamuk kenapa saya biarkan anak menangis, dia mahu rehat dan menuduh saya sengaja biarkan anak nangis kerana dengki dia nak berehat. Allahuakbar.

Saya pernah minta suami cuba cari kerja lain, supaya dia ada masa rehat yang cukup dan boleh bahagikan masa dengan baik untuk urusan dunia dan akhiratnya, tetapi suami membalas dengan marah, tolong jangan persoalkan pekerjaan dia, dia tiada kelulusan tinggi, hanya pekerjaan ini sahaja yang boleh buat duit. Kalau lepas ni saya persoalkan lagi, dia ugut untuk berhenti kerja.

Bila suami ada di rumah pada hari bekerja, saya sangat sibuk dan tak cukup tangan, lebih-lebih lagi pagi hari. Bangun pagi uruskan pakaian dan bekalan anak (anak dah makan solid food), tukar pampers, menyusukan, solat, mandi, urus diri sendiri, buatkan air untuk suami (mujur suami tak makan sarapan), tiap pagi saya memang terkejar-kejar.

Terkadang saya terhempas pintu, pinggan mangkuk sebagai tanda protes dan marah, tapi cara itu sangat bukan diri saya, saya bukan jadi semakin tenang, tapi semakin marah sebab suami tak alert dan tak perasan pun keadaan saya. Rugi lagi ada lah kalau pinggan mangkuk pecah, silap haribulan dapat darah tinggi. Bila hari cuti, hari ahad sahaja suami ada di rumah. Seperti biasa, hal anak tidak pernah diuruskan.

Suami juga tak pernah ambik dan hantar anak ke rumah pengasuh atas sebab kerja. Jika suami sempat pulang ke rumah pada hari bekerja, dia takkan pernah bantu saya hantar anak ke pengasuh sebab dia mesti akan lewat bangun akibat penat kerja. Seperti biasa, saya yang menguruskan semuanya.

Mandikan anak, cuci najis, semua tak pernah buat alasan suami tangannya keras dan dia tak pernah ada pengalaman uruskan bayi sebelum ni. Bagi saya semua lelaki yang jadi first time father pun macam ni juga tapi ada saja yang elok menguruskan anak. Bila saya minta tolong, suami mendengus marah dan memerli saya, susah sangat ke mandikan, cuci najis anak tu sampai nak minta tolong dia. Dia letih dan nak berehat.

Saya dah berputus asa nak mintak tolong suami bantu saya uruskan hal rumah lagi, saya tak memendam, saya dah luahkan dan berterus terang saya perlukan pertolongan dia, apa lagi yang saya perlu buat. Balik ke kampung sebelah saya pun saya bersendirian dengan anak tanpa suami.

Suami sudah tekad tidak mahu pulang ke kampung saya atas sebab yang terlalu panjang untuk saya sharekan. Akhirnya saya sering keletihan menguruskan diri dan anak jika pulang ke kampung. Barang berat dan semestinya menguruskan segalanya sendirian seperti hari-hari biasa di rumah.

Saya manusia biasa yang ada hari dan masa rasa keletihan. Sedangkan full time housewife pun letih lagi lah kami yang bekerja dalam masa yang sama nak menguruskan anak, bersendirian pula. Saya bersyukur Allah beri saya berpeluang untuk menjadi isteri dan ibu. Saya tak mengharapkan perkahwinan akan sentiasa bahagia, pasti akan ada ranjau. Tapi sejauh mana perkahwinan ini akan kekal sekiranya hanya sebelah pihak sahaja yang berusaha untuk mengekalkannya.

Perkahwinan perlu dijayakan berpasangan. Bukan bersendirian. Sekarang saya Cuma mampu berdoa Allah kuatkan saya dan beri saya semangat sepanjang proses kehamilan anak ke-2 ni dalam masa yang sama untuk besarkan anak pertama saya dengan baik tanpa bantuan suami. Suami juga seolah rasa terbeban dengan kehamilan kali ke-2 ini, jelas riak risau dan semak di wajahnya.

Seperti kehamilan pertama, tiada apa yang istimewa, saya masih dimarahi jika rumah bersepah, lambat basuh baju atau sebagainya. Masih juga angkat barang berat. Saya masih akan bersabar selagi mana saya mampu. Mungkin sehingga anak ke-2 ini lahir, mungkin hari esok, hanya Allah yang tahu.

– Alayna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *