Aku seorang pelajar berumur 19 tahun. Aku ada satu persoalan dan pendapat yang aku ingin kongsi dengan tujuan, aku juga dapat mendengar pendapat kalian mengenai perkara ini.
Baru – baru ini keputusan peperiksaan untuk semester lepas keluar. Alhamdulillah, aku berjaya mencapai keputusan yang agak bagus. Aku seperti biasa saja cuba melihat status kawan – kawan di WhatsApp. Ada gembira, ada sedih. Rezeki masing – masing, usaha masing – masing.
Sampailah aku ternampak status member sendiri yang berbunyi seperti ini “Result tak tinggi biarpun study sampai sampai pagi sebab Tuhan nak bagi pahala lebih dekat dia sebab dia usaha banyak berbanding orang study sikit tapi result tinggi.”
Lepas je baca, otak aku tiba – tiba masuk mod berfikir.
Aku tak nafikan. Betullah dia usaha, dia dapat pahala sebab belajar. Makin banyak usaha, makin banyak pahala. Tapi otak aku agak tak setuju bila masuk bab ” sebab dia usaha banyak berbanding orang study sikit tapi result tinggi”.
Apa itu usaha? Ping!! Persoalan ini muncul dalam otak aku.
Ok, bayangkan satu sintuasi :
Ali dan Abu ditugaskan untuk memindahkan pasir dari point A ke point B. Guna apa cara sekalipun janji tugas itu dapat dilaksanakan.
i) Abu bila dapat tugasan itu, dia terus ambil penyodok dan pindahkan mereka seperti yang ditugaskan.
ii) Ali pula seperti Abu, buat benda sama. Cuma selepas beberapa kali berulang alik, dia berhenti, penat katanya. Dia duduk dan berehat sebentar sambil melihat pasir – pasir tersebut dan berfikir. Ali tiba – tiba dapat idea. Dia pergi cari kereta sorong pasir.
Pada pengakhirannya, Ali terlebih dahulu berjaya mengangkut pasir – pasir tersebut berbanding Abu. Selain itu, Ali juga kelihatan tak sepenat Abu.
Tapi Abu memberitahu yang walaupun dia tidak tamatkan tugas itu dahulu, sekurang – kurangnya dia usaha sehabis baik (ini betul). Tapi Abu juga sebab nak sedapkan hati apabila dia kalah dengan Ali, dia kata yang dia punya usaha lagi banyak daripada Ali dan menurut agama, siapa paling banyak usaha, dia akan dapat lebih banyak pahala. Maka bergembiralah Abu.
Jadi persoalannya :
Adakah ‘usaha’ itu hanya boleh ditakrifkan sebagai ‘usaha’ apabila ia dilakukan dalam bentuk FIZIKAL. Kalau ia dilakukan dalam bentuk MENTAL, adakah ia tidak boleh dikira sebagai usaha?
Apa aku cuba pointkan dari sudut permerhatian aku, belajar terlalu bersungguh – sungguh tak semestinya bagus. Tak salah duduk sekejap dan berfikir cara terbaik untuk otak kita belajar. Itu juga salah satu bentuk usaha.
Antara benda common yang aku jumpa masa belajar dekat sini ialah study sampai lewat malam, sampai ke pagi. Aku pun pernah juga buat macamtu. Tapi bila aku penat atau mengantuk, aku akan tidur. Sebab aku rasa belajar dalam keadaan tersebut seperti sia – sia. Belajar tak lekat, penat je dapat.
Secara asasnya, study sampai lewat malam atau sampai pagi tak salah. Otak manusia lain – lain. Ada orang selesa study macamtu. Dipersilakan.
Yang salah adalah apabila kau perjudikan tidur kau semata – mata nak cramming sampai pagi walaupun otak kau tak mampu. Aku tahu bukan semua mampu study sampai ke pagi tapi aku tahu ramai yang buat macamtu. Kalau ngantuk, tidur. Kalau penat, rehat. Kalau lapar, suap lah mulut tu. Itu konsep aku amal.
Aku bila tidur awal, selalu kena cop pemalas. Kena perli ” Kau kan pandai, gifted. Tak study tak apa.” Orang pandai pun kalau tak study, bodoh jugak kan, haha. Aku tidur awal, bangun awal. Mandi (mandi dalam pukul 5 pagi, terus segar badan aku. Aku cadangkan untuk sesiapa nak cuba) lepastu baru study.
Time tu lah otak kau fresh dan bila kau study dalam keadaan otak macamtu, insyaAllah yang belajar tu kau akan mudah terima. Kadang – kadang malam tu aku download video pasal subjek tu dekat YouTube, bangun pagi esoknya sambil tunggu Subuh, aku tengok.
Otak manusia bermacam ragam. Jadi cara belajar pun tak semestinya sama. Si A dapat cemerlang dengan cara belajar lewat malam tapi bila Si B cuba, tak samapun. Si B patut contohi Ali. Bila dia rasa cara ini tak berkesan, dia patut ambil masa untuk cari cara lain yang sesuai dengan dia. Bukan ikut orang.
Point aku yang terakhir ini mungkin lari tajuk sedikit. Tapi aku selalu nak bersuara tentang benda ni. Aku dah hidup hampir mencecah 20 tahun. Aku dibesarkan dalam keluarga yang pada aku tak terlalu susah, tak terlalu mewah. Biasa – biasa saja. Ibu bapa aku pula bekerja dalam bidang pendidikan. Mungkin ini sebab mengapa aku ada pandangan yang dalam mengenai isu ini. Aku akui bahawa aku pandai dari kebanyakan orang lain. Tapi setakat itu sahaja. Itu bakat yang diberikan kepada aku. Siapa aku nak sombong dengan benda ni.
Aku sejak di sekolah rendah, aku adalah antara pelajar cemerlang. Tapi dalam kalangan pelajar cemerlang, aku rasa akulah paling bodoh sekali. Sebab itulah aku ada masalah tak boleh masuk dengan pelajar yang setahap aku. Sebab kadang – kadang manusia bila dia fikir dia di atas, dia tak boleh bergaul dengan orang yang tak sama level. Takut kebodohannya berjangkit barangkali. Haha.
Aku ingat lagi cikgu aku kata kalau kita nak pandai, kita kena kawan dengan orang pandai juga. Aku setuju. Tapi kalau orang pandai tu perangai macam dialah yang paling hebat dan tak ada sikit pun rasa hormat dekat budak tak se-level dia, baik aku jadi bodoh. Kiasannya bergitulah.
Tak semua manusia dilahirkan pandai. Dilahirkan berbakat dalam pelajaran. Tak semua manusia ditakdirkan untuk mendapat straight A atau dekan. Jadi jika dah usaha tetapi hanya itu yang dapat, tak ada sesiapa dalam dunia ini sebenarnya berhak untuk kecewa dengan satu usaha yang mereka dah beri sehabis baik.
Tapi kita dilahirkan dalam masyarakat yang memaksa sesiapa sahaja yang jika mereka gagal mendapat keputusan yang TERBAIK dalam pelajaran, jadi itu adalah salah mereka dan mereka ni bodoh tanpa sedikitpun mempertimbangkan usaha mereka. Keputusan peperiksaan seolah darjat seseorang.
Sejujurnya, tak semua manusia berbakat dalam akademik. Sebab itu wujudnya pelbagai tahap kelas di sebuah sekolah. Aku tak rasa pengelasan tu tak salah. Beri budak pandai dan budak kurang pandai belajar sesuatu perkara sama dalam satu tempoh masa yang sama dan di tempat yang sama. Tapi tahap kefahaman mereka belum tentu sama.
Mak aku sendiri kata memang betul budak kelas belakang tu tak berapa pandai dalam akademik tapi itu bukan sebab untuk cikgu, pelajar atau masyarakat untuk pandang rendah mereka. Mana tahu Allah bagi bakat lain dekat mereka dan kita sebagai ibu bapa, cikgu dan masyarakat yang lebih tua seharusnya gilap bakat terpendam itu
Aku bersyukur lahir dalam keluarga yang tak menekan aku. Keluarga yang beri aku pilihan untuk belajar apa aku nak. Keluarga yang berkata ” Usaha pun usaha dah. Kalau result teruk pun nak buat macammana. Rezeki awak macamtu. Cuba lagi”. Tapi banyak kawan kawan aku mengeluh sebab dipaksa belajar benda payah yang mereka tak mahu. Mungkin faktor keluarga juga memainkan peranan. Itu aku tak pasti.
Pandai ke, bodoh ke. Cantik ke, hodoh ke. Kaya ke, miskin ke. Realitinya bila dah keluar universiti dan bekerja, attitude itulah benda pertama orang pandang. Kalau attitude macam sampah, bukan setakat manusia je tak nak pandang, bab* dekat hutan tu belum tentu nak kawan dengan hang.
Terakhir sekali aku nak sampaikan apa ayah dan ibu aku beritahu. Nak belajar kena ikhlas. Niat dalam hati tu belajar kerana Allah, niat nak ilmu. Bila belajar macamtu, insyaAllah dipermudahkan.
Nak belajar kena jujur. Jangan meniru walaupun dalam kuiz. Biar kamu jujur tak boleh jawab berbanding menipu boleh jawab. InsyaAllah, sebab kejujuran itulah Allah bagi lebih.
Yang terakhir, jaga adab dengan pensyarah. Memang betul kadang kadang ada pensyarah yang tak berapa betul perangainya. Tapi elakkan daripada mengutuk dan mengejek pensyarah itu. Sebab hakikatnya, ilmu yang kamu dapat daripada dia.
Sekian…
– OraOraOraOra (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit