Semua orang nakkan anak-anak mereka berjaya. Semua orang nakkan anak mereka menjadi seseorang yang boleh membanggakan mereka. Adakalanya, kehendak ini menjadi satu bebanan yang terlalu tinggi kepada seseorang sehinggakan mereka berasa tertekan.
Tekanan ini normal dan dirasai oleh semua orang, tetapi adakalanya tekanan ini membawa kepada satu perbuatan yang tidak masuk akal dan akhirnya memusnahkan kehidupan seseorang itu.
Satu cerita tragedi hitam ini berlaku di sebuah universiti di tanah air. Kejadian ini berlaku beberapa tahun lepas, dan tidak ramai orang mengetahui mengenai kisah ini. Mereka yang mengetahui kisah ini bukan cuba untuk menutup dan menyembunyikan fakta, sebaliknya ada beberapa pihak yang sebenarnya sedikit gentar untuk menceritakan peristiwa ini kepada orang lain kerana bimbangkan peristiwa sama berulang.
Cerita ini adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku. Aku tukar nama, lokasi dan tempat kejadian berlakunya perkara ini, kerana dalam usaha aku untuk menyedarkan masyarakat melalui penceritaan-penceritaan kisah yang padat dengan pengajaran ini, aku cuba untuk tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak yang terkesan dengan kejadian ini. Cerita ini dikongsikan kepadaku oleh mentor kepada pelajar ini, yang merupakan seorang doktor pakar di kampus kesihatan di universiti tersebut dan juga ‘roomatenya’ semasa dia di tahun 1 pengajian.
Matlamat aku cuma satu, untuk membuka mata beberapa pihak yang masih berpegang teguh terhadap kejayaan anak-anak yang menjadi topik perbualan dalam setiap perjumpaan bersama keluarga mereka di masa perayaan dan kenduri kahwin, di mana saat ini dijadikan sebagai saat untuk membanding-bandingkan kejayaan anak-anak mereka.
Baiklah, cerita ini bermula dengan seorang perempuan bernama Esther. Esther merupakan seorang pelajar cemerlang sejak di bangku persekolahannya lagi. Keputusan peperiksaannya, iaitu SPM dan STPM hanya mempunyai satu abjad sahaja tertulis di atas sijilnya, iaitu A. Dia mendapat A dalam kesemua subjek di persekolahannya.
Dia kemudiannya mendaftar masuk ke kampus perubatan di sebuah universiti ternama di tanah air. Ibu bapa Esther merupakan peniaga yang menjual sayur-sayuran di pasar pagi. Di dalam keluarga besar mereka, ibu bapa Esther amat berbangga dengan anak kesayangan mereka berdua yang sering mendapat kepujian dan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Mereka juga amat berbangga apabila Esther berjaya mendapat tempat dalam mengikuti kursus untuk menjadikan dirinya sebagai seorang doktor perubatan.
Setelah 3 bulan pertama mengikuti kursus ijazah doktor perubatan itu, terdapat satu ujian penilaian untuk tahun pertama universiti tersebut. Peperiksaannya amat sukar, yang mana rata-rata pelajar hanya meletakkan target untuk lulus sahaja, keraja peratusan untuk gagal dalam peperiksaan tersebut amat tinggi, sehingga mencapai 70% daripada pelajar yang akan gagal, dan selebihnya yang lulus akan mendapat gred A, B dan C, yang mana rata-rata pelajar yang mendapat gred C akan bersyukur dan cukup gembira untuk lulus sahaja.
Aku masih ingat, aku sendiri amat bersyukur apabila mendapat gred C dalam ujian pertama di kampus perubatan itu. Ramai rakan-rakanku di kampus perubatan yang merupakan pelajar cemerlang sewaktu mereka di sekolah dahulu ada yang gagal, dan untuk mereka yang gagal, perkara tersebut dianggap sebagai perkara ‘biasa’ kerana sememangnya, para penanda kertas tersebut, beserta soalan peperiksaannya amat sukar.
Kau bayangkan sahajalah, untuk soalan objektif yang menerima respon ‘true’ atau ‘false’, adakalanya soalannya mempunyai sedikit twist dalam terminologi perubatan yang menyebabkan seseorang itu membuat pilihan yang salah dalam menjawab soalan sedemikian. Jadi, berbalik kepada Esther, dia berjaya mendapat gred B dalam peperiksaan tersebut, yang mana aku dapat lihat kegembiraan terpancar di wajahnya kerana bukan sahaja berjaya lulus, malah boleh dikatakan berjaya ‘score’ peperiksaan tersebut.
Namun, kegembiraannya terpacung dek ketidakfahaman ibu bapanya yang sepatutnya bersyukur kerana dia lulus, tetapi tidak. Dia dimarahi kerana dianggap keputusan peperiksaannya teruk memandangkan gred B yang dia dapat dianggap sebagai tidak berapa bagus, kerana mereka menyangka Esther akan mendapat A.
Walaupun dia puas menceritakan kepada ibu bapanya mengenai peperiksaan itu yang susah, tetapi, disebabkan ada pelajar lain yang berjaya mendapat keputusan A (3 orang) dalam tahun itu, ibu bapanya tidak mahu mendengar alasan yang diberikan. Mereka mulai menuduh Esther tidak menumpukan perhatian dan banyak main, menyebabkan keputusan peperiksaannya merosot, walhal itulah kali pertama dia mendapat gred B dalam sepanjang hidupnya.
Pengajian diteruskan seperti biasa, dan Dr Wan, iaitu doktor pakar yang merupakan mentor kepada Esther sering menasihatinya untuk tidak terlalu ‘hard on herself’. Dr Wan sendiri mengambil inisiatif untuk menghubungi ibu bapa Esther, namun dilarang oleh Esther kerana dia tahu perbuatan itu akan menyebabkan ibu bapanya semakin marah terhadap dirinya yang dikatakan pandai mencari alasan untuk kegagalannya.
Nasib tidak menyebelahi Esther kerana pada ujian yang kedua, dia mendapat keputusan C. Memang aku sendiri rasa sewaktu saat itu juga, peratusan orang yang gagal tidak setinggi ujian pertama, namun kali ini, tiada orang langsung yang mendapat A, dan hanya seorang sahaja yang mendapat keputusan B. Esther semakin tertekan. Dia mengambil keputusan untuk tidak memberitahu ibu bapanya mengenai keputusan peperiksaannya.
Selepas daripada itu, Esther diperhatikan menjadi semakin pelik. Dia mulai ponteng kelas dan tidak turun sama rakan-rakannya yang lain untuk ke kafe atau ke perpustakaan di universiti. Dr Wan tidak mengetahui langsung mengenai perkara ini, yang mana dia gagal dihubungi. Rata-rata rakan-rakan Esther mulai pelik dengan kelakuan Esther, namun mereka tidak berani untuk menegurnya.
Rakan sebiliknya, Ain yang selalu mengajaknya ke kelas dimarahi, dan ditengking oleh Esther apabila dia dipaksa untuk ke kelas. Dia juga membaling buku dan cawan kepada Ain, dan sejak daripada itu, Ain langsung tidak mahu menegur dan mengajaknya ke kelas lagi. Satu, kerana dia takut dimarahi, dan kedua, dia sendiri pun berasa geram dan marah kerana diperlakukan sedemikian oleh Esther.
Apa yang berlaku seterusnya sedikit membimbangkan. Esther tidak lagi bangun, dan tidak turun ke kafe untuk makan. Ain mengambil keputusan untuk tidak memperdulikannya, kerana dia sendiri pun berada di dalam keadaan tertekan kerana peperiksaan final semakin hampir untuk tahun satu pengajian.
Ain juga jarang-jarang pulang ke bilik memandangkan dia mempunyai ‘study group’ di perpustakaan universiti bersama pelajar yang lain. Adakalanya, dia belajar di bilik kawan-kawannya, sehinggalah pada satu hari, dia pulang ke biliknya lewat petang. Dia perasan akan Esther yang masih berada di atas katil, berselubung dengan selimut yang menutupi semua badannya termasuk kepalanya.
Ain berasa pelik kerana kipas angin tidak terbuka, dan dalam keadaan bilik yang panas, mana mungkin boleh seseorang duduk berkelubung di bawah selimut. Ain menghampirinya dan menyelak selimut yang menutupi tubuh Esther. Saat itu, Ain menjerit ketakutan kerana di bawah selimut tersebut, Esther telahpun pucat lesi dan membiru. Seluruh tilamnya basah lencun dengan darah Esther, yang mengalir daripada pergelangan tangannya yang dihiris menggunakan sebilah pisau.
Pisau tersebut digenggam erat di tangan kiri Esther, dan luka yang agak besar di pergelangan tangan kanannya disamping darah yang sudahpun hampir membeku menunjukkan dia baru sahaja membunuh diri kurang beberapa jam sebelum itu. Tiada apa usaha yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya, yang mati akibat kehilangan darah.
Pihak universiti terpukul dengan kejadian itu. Dr Wan sendiri berasa amat terkejut, dan takut kerana tidak disangka-sangkanya, pengakhiran begitu terjadi buat menteenya di universiti. Ibu bapa Esther, lagilah teruk penerimaan mereka.
Berkabung dan bersedih atas pemergian anak yang disanjung mereka. Namun, siapa yang perlu mereka persalahkan?
Semua orang sedar dan perasan akan tekanan perasaan yang dialami oleh mendiang Esther sebelum daripada perlakuannya itu. Extraordinarily High Expectations yang diletakkan oleh ibu bapanya, disamping dengan perilaku yang tidak dapat menerima kegagalan menjadi punca utama bagaimana seorang pelajar yang genius, yang pandai dan mempunyai pencapaian yang begitu cemerlang berakhir dengan begitu sahaja.
Namun, apakah yang boleh dan mampu dilakukan? Rata-rata orang cuba untuk mencari salah, dan menuding jari kepada Ain, kerana dia dikatakan tidak ambil peduli langsung mengenai roomatenya, walhal aku kira tuduhan itu semua tidak adil. Pelajar perubatan tahun satu, manalah tahu apa-apa mengenai major depressive disorder, atau suicidal tendency dan behaviour.
Sekiranya aku berada di tempat Ain sekalipun, aku rasa aku akan bertindak sama sepertinya, yang marah dan malas nak bertegur kerana dimaki hamun dan dibaling dengan pelbagai objek ketika usahanya untuk mengajak temannya itu untuk ke kelas.
Amat menyedihkan juga kerana daripada rentetan tragedi tersebut, dia membuat keputusan untuk menukar kos pengajiannya ke kampus lain di negeri lain. Jadi, aku sendiri pun kadangkala menjadi hairan dan jelik apabila ada dikalangan saudara mara yang suka membanding-bandingkan keputusan peperiksaan anak mereka, walhal tanpa mereka sedari, mereka meletakkan satu bebanan berupa tekanan yang amat tinggi kepada anak-anak mereka.
Tambahan pula, spesis sebegini, bukannya kau boleh nak tegur mengenai perilaku mereka ini. Kau tegur sedikir, mereka akan jadi offended dan kemudiannya membenci dan tidak ingin bertegur sapa dengan kau hanya kerana kau menzahirkan pendapat kau melalui pengalaman yang kau sendiri alami, iaitu satu pengalaman yang sehingga ke tahap seseorang itu kehilangan nyawa.
– Ilzanno Sharky
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit