Ibu…

Assalammualaikum. Ini kali pertama saya tulis di ruangan ini. Taktau lah betul ke tak tindakan saya meluahkan segala galanya di sini. Ramai kenalan juga yang mengikuti ruangan ini.

Taktaulah dari mana nak mulakan cerita saya ni. Begini, sejak akhir akhir ini saya sering rasakan ibu saya sangat berbeza layanannya terhadap saya dan adik. Sebenarnya bukan sejak akhir akhir ni pun.. Dah lama.

Dengan saya, sentiasa kasar cakapnya. Dengan adik, macam bestfren. Saya anak perempuan, adik anak lelaki. Kekadang saya dah buat macam2 untuk happy kan ibu tapi sedikit pun tak dipandang malah dimarah pula. Di mulut sentiasa meniti nama adik. Kekadang saya sabar kekadang saya rasa berdendam.

Adakah seorang ibu mempunyai lesen untuk sentiasa melukakan hati anaknya? Anaknya ni lah yang sentiasa menjaganya berbanding anak seorang lagi yang tinggal jauh darinya. Tapi dia tak pandang pun semua tu. Yang dia nampak hanya buruk saya.

Bila saya berkahwin dan bertemu ibu mertua saya, saya sangat kagum melihat dia. Cakapnya lemah lembut dengan semua anak termasuk menantu. Perkataan panggilan sayang tak pernah lekang dari bibirnya untuk anak anak dan menantu. Sentiasa menasihati dengan lemah lembut.

Berbeza sangat dengan ibu saya. Bila berjumpa dengan mertua saya rasa tenang. Bila bersama ibu, saya rasa stress sangat. Berdosa ke saya rasa begitu?

Papa pula semakin uzur dan memerlukan sepenuh penjagaan. Pastinya saya yang menggalas tanggungjawab itu. Menjaga orang tua yang uzur bukannya mudah. Memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

Saya sentiasa berdoa agar saya diberikan kesabaran yang kuat dalam menghadapi orang tua saya. Walau saya dibenci, setiap bakti yang ditabur tidak pernah dihargai malah terus dikeji, saya harus kuat. Tetapi kekadang saya jatuh juga. Suamilah tulang belakang saya yang sentiasa menyokong saya.

Kekadang saya kasihan melihatnya, dia juga berhempas pulas dan berkorban membantu ibu bapa saya memandangkan tiada lagi adik beradik lelaki yang boleh diharapkan. Tetapi semua tu dipandang sepi.

Suami pernah menyuarakan rasa kecil hatinya. Tapi apa boleh saya buat, saya hanya mampu memujuknya. Kekadang belanja makan..kekadang belikan dia apa2 kerana tidak pernah merungut mengorbankan masa dan tenaga untuk membantu ibu bapa saya.

Kawan kawan yang ada pengalaman menjaga orang tua, saya memerlukan kata2 semangat. Sekarang saya buat semua ini demi Allah. Apa sahaja kata kata ibu saya telan. Saya terfikir mungkin bila saya dan suami dah tua dan uzur, anak2 akan menjaga saya seperti mana saya menjaga ibu bapa saya.

Saya sekarang emosi kekadang stabil kekadang tak stabil. Kekadang rasa murung. Kekadang rasa nak pergi jauh. Nak jauhkan diri semua orang. Kekadang masa tengah drive rasa macam nak pergi langgar pokok. Ntahlah.

Saya kekadang kesian pada suami yang sering dengar keluhan saya tentang family saya. Dah taknak serabutkan kepala dia dengan sikap family saya. Tapi saya taktau nak luahkan pada siapa.

– Mawar Layu (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *