Terutama sekali aku nak ucap terima kasih dekat admin kerana sudi post confession ni. Aku mintak maaf kalau tulisan aku ni memang panjang dan tak mencapai piawaian pembaca sekalian. Tapi penulisan ni aku tulis dalam keadaan emosi yang tak dapat dibendung lagi. Aku Mia, anak keempat dari lima adik-beradik. Keluarga aku memang keluarga miskin. Ibu bapa aku kerja penoreh getah dan pesawah sahaja.
Cerita ni bukan tentang aku. Tapi tentang kakak aku yang nombor tiga aku namakan Ija. Saat ni aku dan keluarga aku perlukan solusi. Pada aku keadaan semakin parah dari hari kehari gara-gara kakak aku yang kaki lelaki dan kaki hutang. Mangsanya? Kami adik beradik dan ibu bapa aku yang tua hampir mencapai usia 80-an. Ija panjang tangan,tabung syiling aku dan ibu habis dia sebat. Diselongkar seluruh almari baju ibu sehingga tak bersisa.
Kelakuan dia sangat menyakitkan hati ,berlagak kaya dan suka bergaya walaupun hakitkatnya papa kedana. Pernah satu tahap dia berhutang dengan Ah Long sehingga puluhan ribu dan Ah Long ugut nak membunuh keluarga aku jika gagal bayar hutang. Kakak aku yang sulung ,suami dia dan kakak nombor dua terpaksa membuat personal loan menggadai segala barangan kemas untuk membayar hutang Ija.
Bila ditanya apa yang dibuat dengan duit pinjaman tersebut,Ija dengan selamba menjawab untuk modal berniaga. Tapi satu habuk pun tiada. Siasat punya siasat, kakak aku yang nombor dua; Ayu dapat tahu Ija sebenarnya berkawan dengan duda anak tiga dan menanggung perbelanjaan keseluruhan keluarga lelaki tu, Farid. Termasuklah shopping barang branded untuk seluruh keluarga dan kaum kerabat Farid. Padahal Farid tak bekerja. Selepas selesai segala hutang Ija dengan Ah Long, dia pun berjanji tak akan berhutang lagi.
Kusangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Beberapa orang kawan Ija datang ke rumah untuk menuntut hutang. Kami sekeluarga terkejut kerana kami sangka Ija dah berubah macam yang dia janji. Kawan-kawan Ija maklumkan yang dia pinjam duit tapi tak pernah bayar balik pun. Ibu aku bayar apa sahaja yang ibu masih ada di tangan.
Hari demi hari memang perangai Ija semakin menjadi-jadi. Semakin panjang tangan dan kerap memeras ugut aku dan keluarga untuk duit saja. Bila ditanya Ija asyik jawab ni kali yang terakhir sambil desak dan kadang kala dia merayu-rayu main air mata. Tapi aku dah tak tahan, aku tanya Ija siapa lagi dia hutang sebab asyik minta RM 500 seminggu? Mana nak cekau duit? Ija cakap dia berhutang dengan Amanah Ikhtiar tapi cuma RM3000.
Aku tak percayakan Ija. Aku telefon cawangan dan tanya mengenai hutang dia. Rupanya dia berhutang sebanyak hampir 23,000.00! tapi setiap kali dia minta duit dia kata itu yang terakhir, dah nak habis bayar hutang. Tapi benda ni dah berlanjutan sejak bulan Februari 2019 dan sekarang sudah masuk Julai. Dan setiap minggu jugalah kami sekeluarga dikerahnya untuk membayar hutang dia.
ketika kami berhempas pulas cari rezeki,Ija selamba keluar dating dengan boyfriend dia si Farid dan terbaru, dia couple dengan suami orang pula,Abu. Abu ni penganggur dan Ija juga tanggung makan pakai dia. Dating kat pavilion, McD. Lagak macam banyak duit! Ija tak sedar diri Abu dan Farid cuma nakkan duit saja, bukan bersungguh nak ke dia pun sebab Ija memang biasa saja.
Kemuncak segalanya bila satu pagi subuh, dia paksa aku dan Ayu untuk bagi dia duit atau dia akan bunuh diri sebab malu tak dapat bayar hutang. Aku berkeras taknak bagi sebab aku memang tiada apa. Tabung pun dia kebas. Dia keluar rumah dengan marah lepastu menuju ke kebun getah di mana bapa aku tengah menoreh. Dia desak bapa aku bagi dia duit dan rampas semua duit dalam kocek bapa aku yang tua tu sambil ugut lagi nak bunuh diri.
Bapa aku menangis sambil ceritakan betapa kurang ajarnya kelakuan Ija pada dia. Aku cadangkan bapa aku lapor pada polis mengenai hal ni tapi bapa aku kesiankan Ija dan taknak tanggung malu kalau Ija masuk penjara. Sekarang ni aku buntu. Aku tertekan. Puas Ayu dan kakak sulung aku nasihatkan Ija,tapi dia buat tak endah saja. Dia masih dengan perangai kaki lelaki dia,kaki hutang dia. Masih kurang ajar dan masih mendesak kami bayar hutang dia dengan Amanah Ikhtiar.
Aku dah maklumkan pada pihak Amanah Ikhtiar yang Ija penipu dan kami yang kena bayar hutang-hutang dia walau tak hulur satu sen pun pada kami, tapi orang tersebut maklumkan pada aku ini masalah keluarga. Tak dapat nak bantu.
Aku merayu sangat pada pembaca, sesiapa yang ada cadangan jalan penyelesaian, tolong aku. Kami dah cuba tak bagi dia duit tapi dia peras ugut Ibu bapa aku ketika orang lain keluar bekerja. Ija siap paksa ibu bapa aku jual rumah dan tanah tempat tinggal kami. Ija akan terus meminjam lepas dia habis bayar hutang yang ini sebab Ija memang bayar ikut masa tapi kami lah mangsanya. Tolong aku..
– Mia Mangsa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit