Aku nak kongsikan pengalaman aku dengan anak-anak autism. Aku mula mengenali syndrome autism ni ketika usia 17 tahun. Sebelum tu aku memang tak tahu langsung mengenai autism apatah lagi kewujudannya.
Kisahnya bermula bila mak aku menjadi pengasuh untuk pasangan kembar anak jiran aku, Hasan dan Husin (bukan nama sebenar). Hasan adalah abang dan Husin adalah adik. Mereka kembar tak seiras, jadi aku boleh membezakn mereka dengan baik. Mak mula mengasuh mereka ketika masih bayi lagi. Kami sekeluarga pun sayang sangat dengan mereka, dah anggap macam ahli keluarga sendiri.
Kalau dilihat dari segi fizikal, mereka seperti kanak-kanak normal. Menjengah usia yang ke-3 tahun, mereka masih belum mampu untuk bertutur. Cuma tahu menjerit sahaja. Aktifnya bukan kepalang. Memang tak reti duduk diam, sangat hiper active terutama sekali Hasan.
Mak Hasan Husin ni mula rasa pelik sebab anak mereka masih belum mampu bercakap dan sukar untuk dengar arahan. Aku dan mak aku anggap perkara ni biasa sebab tak pernah ada pengalaman macam ni. Mak cuma cakap setiap anak tu berbeza, nanti oklah tu.
Tapi naluri seorang ibu kan, mak si Hasan Husin ni bawa mereka berjumpa dengan pakar. Bila dah jumpa pakar baru doktor diagnose yang Hasan Husin ni memiliki ciri-ciri autism. Aku bila dengar perkataan autism berkerut muka. Apa tu?serius ke? Aku tidak tahu sebarang ilmu mengenainya.
Salah satu ciri-ciri autism adalah mereka bersikap hiper active. Ciri ni ada pada Hasan. Hasan agak tempered sikit. Kalau dia tak dapat apa yang dia nak, dia akan mengamuk-ngamuk. Pernah suatu hari Hasan langgar sliding door yang kaca tu sampai pecah! Korang bayangkan ketika tu usianya baru 5 tahun. Mujur dia tak apa-apa. Seram kalau Hasan mengamuk.
Ketika usia mereka 7 tahun, mak mereka hantar mereka di sekolah harian biasa. Doktor pernah bagitau, biarkan mereka bergaul dengan anak-anak biasa supaya mereka boleh belajar cara hidup normal. Tapi hari pertama je cikgu dah menelefon mak Hasan untuk mengambilnya di sekolah.
Kata cikgu tersebut Hasan buat perangai, ambil buku kawan-kawan dan campak ke luar bilik darjah. Sebarang arahan tidak didengarinya. Husin walaupun ada jugak autism, tp lebih mild. Jadi Husin masih boleh dikekalkan di sekolah harian biasa.
Hasan dihantar ke sekolah khas untuk anak-anak autism. Aku pernah menemani mak Hasan untuk menghantar Hasan ke sekolah tersebut. Itulah pengalaman pertama aku ke sekolah pendidikan khas. Cantik dan selesa. Terdapat pelbagai medium pembelajaran yang dikhaskan untuk kanak-kanak istimewa ni.
Waktu tu minda aku terbuka, tak sangka banyak benda yang aku tak tahu. Bila aku dah melalui semua ini, baru aku tahu dan mula alert apa itu autism. Bila Hasan Husin dah sekolah, mak dah mengasuh mereka. Lagipun tak lama lepas tu pun mereka dah pindah, jadi terputus hubungan kami.
Pernah dahulu aku bekerja sebagai cikgu tadika di sebuah tadika swasta. Terdapat seorang pelajar baru namanya Jerry (bukan nama sebenar) daftar masuk. Usianya 4 tahun, berbangsa Cina. Jerry dimasukkan ke dalam kelas aku.
Aku perhatikan Jerry ni kurang fokus, tak reti duduk diam dan kuang bergaul, lebih suka bermain sendiri-sendiri. Dia juga sukar memberi respon dengan setiap arahan aku. Aku assume dia mungkin ada symptom autism. Aku luahkan kegusaran aku pada pengetua dan cikgu-cikgu yang lain juga bersetuju dengan aku. Sebabnya, Jerry ni memang lain daripada kanak-kanak lain yang sama usia dengannya.
Pengetua menelefon ibu kepada Jerry untuk hadir ke tadika. Tunggu punya tunggu, hanya orang gaji yang hadir. Aku namakannya Sari (bukan nama sebenar).
Sari memberitahu dia yang menjaga Jerry sejak kecil. Ibunya tidak pernah ada di rumah. Hanya seminggu sekali baru balik. Itupun tidak bermalam, hanya datang untuk menjenguk je. Aku sedih, anak secomel ni dibesarkan oleh orang gaji tanpa kasih sayang ibu. Tapi mujur, Sari sangat menyayangi Jerry. Boleh nampak daripada cara dia melayan Jerry.
Pengetua kemudian terus menelefon ibu Jerry untuk memintanya hadir ke tadika. Namun, respon yang diberikan negatif. Jadi hanya melalu telefon, pengetua memberitahu mengenai keadaan anaknya dan menyuruh untuk menghantar anaknya ke sekolah pendidikan khas. Tapi si ibu tidak percaya.
Dia meninggikan suara tetap mengatakan anak dia normal, tak cacat. Penat pengetua cuba jelaskan, tapi si ibu tetap tidak percaya. Aku sedih tengok keadaan ni. Memanglah si ibu ni tak percaya, bukan kau yang besarkan anak kau. Anak kau membesar macam mana pun kau tak tahu. Geram aku.
Esoknya Sari masih menghantar Jerry ke tadika. Semalam kami dah maklumkan pada ibunya, tidak perlu lagi menghantar Jerry ke tadika sebab dia memerlukan pembelajaran lain yang lebih sesuai. Tapi bila dah datang, kami terima jelah.
Malangnya pembelajaran kami semua terganggu dengan tingkah laku Jerry yang hiper active. Semua orang diganggunya. Susah untuk terima arahan dan sering buat bising. Perkataan yang dituturkan juga tidak kami faham. Akibat dah tak tahan, kami menghubungi Sari untuk datang mengambilnya.
Kami juga maklumkan pada Sari supaya tidak menghantar Jerry ke tadika lagi. Selang beberapa hai, ibu Jerry datang ke tadika. Dengan muka tidak puas hati, dia meminta semula duit deposit yang telah dibayar. Pengetua ketika itu just memberi nasihat pada ibu Jerry, “kalau tidak percaya anak Puan ada masalah, bawaklah jumpa pakar”.
Kemudian dia pun berlalu pergi. Selepas peristiwa itu, aku tidak tahu apa yang berlaku pada Jerry. Tapi aku ada dengar yang Jerry tu sebenarnya anak luar nikah. Sebab tu ibu dia sisih dan tidak menjaga dia. Sedih aku dengar.
Setahun selepas itu, aku tukar tempat kerja, tapi masih lagi sebagai cikgu tadika. Kali ni tadika islamic (swasta). Ditempat yang berlainan, aku masih ditemukan dengan kanak-kanak istimewa ini.
Usia 4 tahun, Rayyan (bukan nama sebenar) lebih suka main sendiri-sendiri. Tidak bergaul dan tidak bercakap. Suka susun mainan panjang-panjang dan tidak reti duduk diam. Aku perhati je Rayyan ni. Aku cuba buat aye contact dengan dia, tapi dia selalu elak. Tak pandang aku langsung.
Aku macam biasa maklumkan hal ni pada pengetua. Berdasarkan pengalaman aku, aku ceritakan semuanya yang aku rasa tentang Rayyan ni. Esoknya, kami menghubungi ibu bapa Rayyan, untuk membincangkan tentang hal ni. Berbeza dengan ibu Jerry, ibu bapa Rayyan lebih bersikap terbuka dan menerima.
Atas nasihat kami, ibu bapa Rayyan telah membawa Rayyan untuk berjumpa dengan doktor pakar. Setelah beberapa proses, ibu Rayyan memaklumkan kami bahawa memang Rayyan ada symptom autism. Wajah ibu Rayyan tenang, seakan terima keadaan anaknya itu.
Kami ada tanya, adakah Rayyan akan tukar sekolah. Tapi iby Rayyan memberitahu yang Rayyan masih akan bersekolah di sini sebab autism Rayyan adalah mild dan masih boleh dirawat. Doktor yang merawat Rayyan yang mencadangkan supaya Rayyan bergaul dengan kanak-kanak biasa supaya dia dapat biasakan diri untuk persekitaran yang normal.
Apa yang aku perhatikan, Rayyan banyak berubah. Dia dah boleh ikut apa yang kawan-kawan dia buat seperti baca doa, kemas mainan dan sebagainya. Aku gembira dengan perkembangan positive Rayyan. Aku hanya bekerja kat situ 4 bulan, selepas itu aku dapat tawaran kerja lain yang selari dengan bidang pengajian aku di universiti.
Oh ye, kejadian ni berlaku 5 tahun yang leaps. Aku pun tidak tahu apa yang berlaku pada Rayyan sekarang. Tapi aku yakin dia pasti membesar dalam keadaan yang baik kerana mempunyai ibu bapa yang super positive.
Aku akui, dulu orang ramai masih belum cakna tentang isu autism ni, tapi sekarang aku yakin semua orang dah terdedah dengan isu ini. Aku tak pernah menyatakan autism itu cacat, sebab bagi aku kanak-kanak autism ni memiliki kelebihan yang luar biasa kalau digilap dengan sebaiknya.
Mereka adalah normal pada pandangan mata aku. Mereka juga adalah manusia biasa yang harus kita raikan. Ntah kenapa, anak-anak autism ni sangat dekat dengan hati aku, mungkin sebab aku pernah melaluinya sendiri.
Aku kini telah memiliki 2 orang anak. Setiap perkembangan anak aku pantau dengan sebaiknya. Kat sini aku boleh simpulkan terdapat dua ibu bapa yang berbeza mengenai penerimaan anak mereka yang autism. Yang pertama seperti ibu Jerry yang tidak menerima hakikat tentang keadaan anaknya. Yang kedua seperti ibu bapa Hasan Husin dan Rayyan tentang keadaan anak mereka.
Mereka berusaha untuk berjumpa dengan pakar dan meminta nasihat yang seeloknya untuk perkembangan anak-anak mereka. Aku akui, hati mereka pasti sedikit sebanyak akan sedih, tapi positive vibes yang ada dalam diri yang menjadikan mereka kuat. Hebat mereka semua ni.
Aku percaya, autism ni boleh dirawat dengan sebaiknya. Kalau tidak pun, gilaplah bakat yang ada pada diri mereka. Sungguh, suatu hari nanti mereka mungkin boleh menjadi insan yang lebih berjaya berbanding kita yang normal ni.
– Pencinta budak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit