Assalamualaikum wbt dan khabar baik buat semua yang berhormat menteri-menteri negara yang saya cintai, Malaysia. Andai ketika ini sedang membaca surat ini, saya berterima kasih tidak terhingga dan minta maaf menganggu masa kerana saya faham atas kesibukan tugas dan kerja.
Dengan rendah diri, Surat ini bukanlah bertujuan bagi mengeruhkan keadaan tapi hanya sekadar menyatakan hasrat saya yang sangat-sangat tinggi. Saya berharap dapat menerima luahan ini.
Yang Berhormat,
Melihat berita di kaca tv hari ini hati saya sangat sedih dan pilu. Terutama apabila banyaknya pelajar-pelajar sekolah yang bakal hadapi peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan sebagainya terpaksa berlawan dengan pencemaran udara ini. Seramai 101 pelajar beberapa sekolah di Pasir Gudang mengalami sesak nafas, muntah-muntah dan pening sejak kejadian 25 Jun lalu bukanlah jumlah yang sedikit. Mereka sukar bernafas dan keletihan.
Bukankah sepatutnya waktu ini mereka bersama-sama kawan mengulangkaji pelajaran dan latihan untuk menghadapi peperiksaan? Mereka juga punya impian dan harapan yang tinggi. Mereka juga pelajar yang sama dengan pelajar-pelajar lain. Namun kesakitan yang mereka dapat dalam tempoh yang lama menganggu jadual pembelajaran mereka. Yang berhormat, dengarlah hati mereka.. peperiksaan tinggal hanya 2-3 bulan lebih sahaja lagi..
Yang Berhormat,
Tarikan nafas yang berbunyi, leher lentok mata tertutup di atas kerusi roda dan katil, tangisan yang berbunyi buat hati saya sangat terguris. Mereka adalah sebangsa saya. Namun tiada apa yang dapat saya lakukan pada ketika ini atas kesibukan menyara keluarga dan diri sendiri. Yang berhormat saya merayu pada kuasa yang ada. Berilah perhatian selebihnya pada mereka buat kali keduanya perkara ini terjadi..
Yang berhormat,
Alangkah besarnya jasa dan peranan guru disana sehingga menyinsing lengan baju hingga ke petang, menghantar pelajar ke klinik dan hospital, menerima aduan adalah perkara yang mereka hadapi setiap hari. Yang berhormat, kini tugas mereka bukan sahaja mendidik namun menyelamat dan memberi khidmat tanpa dibayar pun. Yang berhormat, bukankah sepatutnya mereka juga berhak menikmati suasana pembelajaran seperti di sekolah lain. Kini, sebarang aktiviti luar terhad dan sekolah kembali sunyi bahkan yang sering kedengaran adalah bunyi ambulan dan kenderaan pihak berkuasa.
Yang Berhormat,
Pelajar-pelajar yang dimasukkan ke hospital adalah bangsa Melayu yang menetap di Malaysia. Nyawanya adalah nyawa manusia rakyat Malaysia. Mereka juga saudara. Saya merayu walaupun ada tindakan yang dilaksanakan, buatlah sesuatu kepada penjenayah yang memberi punca bencana ini terjadi. Adillah terhadap anak-anak yang sedang berjuang di hospital kini..
Yang Berhormat,
Ini adalah yang terakhir saya mohon.. anak-anak di sekolah ini masih punya masa dan umur yang panjang. Mereka ada cita-cita dan impian juga. Saya mohon, ambilah tindakan segera terhadap punca berlakunya bencana ini agar tidak berlaku lagi. Sesungguhnya dibelakang mereka ada ibu bapa yang tidak tidur lena menjaga anak mereka, para doktor dan jururawat yang bertungkus-lumus tanpa rehat, pihak berkuasa dan penyelamat yang sanggup tinggal sebentar keluarga mereka, guru-guru yang berkorban dan berkerah tenaga bahkan saudara-saudara yang sentiasa mendoakan mereka disana.
Yang Berhormat,
Ketika ini juga ada kakak ipar saya yang sedang sarat mengandung 9 bulan dan mungkin pertengahan bulan 7 ini akan bersalin. Keadaannya sangat-sangat lemah dan membuatkan saya dan keluarga sangat risau. Dan bertambah bimbang adalah kakak ipar saya tinggal di pasir gudang, johor. Dia sangat memerlukan udara yang bersih bagi membantunya menghadapi waktu-waktu ini. Namun, sekarang kegelisahan yang kami rasa. Walaupun batuk-batuk ringan dan sesekali nafasnya terganggu namun kami sangat risau. Anak didalam kandungan adalah cahaya mata yang sangat-sangat kami tunggu.
Yang berhormat,
Dalam saat-saat yang membimbangkan ini bukan duit atau bantuan mewah yang diharapkan dari mereka namun cukup dengan mengeluarkan Kenyataan yang boleh menyembuhkan sakit dan pedihnya hati kami serta mereka yang menghadapi semua ini.
Yang Berhormat,
Saya tahu banyak tindakan yang telah dilaksanakan sehingga ke hari ini. Saya sangat menghormati apa sahaja keputusan yang diumukan selepas ini susulan daripada isu pencemaran udara yang berlaku. Jauh dalam hati saya sedikit pun tidak ada niat menyinggung atau memburukkan keadaan. Apatah lagi menyibuk dan campur tangan urusan pencemaran Udara ini. Percayalah hanya untuk meluahkan hasrat memohon simpati kepada anak-anak dan rakyat yang sedang berjuang disana.
Akhir sekali,
Saya sepenuh cinta mendoakan agar keadaan kembali pulih segera dan yang bersalah diambil tindakan seadil-adilnya. saya menyeru juga kepada semua yang membaca, doakan kesihatan mereka disana. Semoga anak-anak sekolah Pasir Gudang, Johor dapat ke sekolah dalam keadaan sihat dan ceria semula.
– Rakyat Biasa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit