Antara Tanggungjawab dan Cinta

Termasuk bulan ini, sudah tiga kali aku mendengar pujukan suara-suara mengajak aku melakukan pertukaran sama suka dalam stesen bertugas. Ramai yang begitu hairan mengapa aku memilih untuk bertugas sedikit jauh dari kampung halamanku sedangkan kehidupanku agak mudah di sana.

Tidak juga begitu mewah, tetapi Alhamdulillah segalanya ada. Ayahku seorang tokoh politik yang disegani dan dihormati masyarakat di daerah kelahiranku.Namun aku memilih untuk tinggal sekitar dua jam perjalanan dari kampungku.

Hidup berdikari bersama isteri dan anak-anak. Membeli rumah dan memilih untuk pulang ke kampung seminggu sekali, dua minggu sekali ataupun seminggu dua sekiranya terdapat cuti panjang.

Ajaibnya perkara ini juga menjadi asbab rakan-rakan di kota bertanya tidak putus-putus. Masakan balik ke kampung setiap minggu, tetapi mengapa tidak terus berpindah stesen bertugas di kampung halaman?

Apabila anda adalah seorang introvert dan anda adalah seorang anak ahli politik, perkara itu adalah sesuatu yang menyeksakan emosi.

Aku melihat kakakku sendiri yang juga merupakan seorang penjawat awam sering dirapati pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan-bantuan tertentu daripada ayahku seperti hadiah dan hamper sambutan-sambutan jabatan, bantuan mendapatkan pagar sekolah, rumah PPRT dan banyak lagi.

Aku berasa rimas dengan segala rencah komunikasi dalam kelompok yang besar begini. Bukannya sombong, namun aku lebih gemar untuk berada di “circle” yang kecil.

Berada di lingkungan yang kecil ini membuatkan hidupku lebih tenang, dan membuatkan aku rasa orang-orang di sekelilingku melayanku dengan perasaan yang ikhlas dan telus.

Maka dengan itulah, sebaiknya aku berusaha sedaya upaya untuk balik ke kampung halaman setiap hujung minggu agar aku dapat melaksanakan tanggungjawabku sebagai anak lelaki terhadap keluargaku.

Menjadi seorang lelaki bukanlah sesuatu yang mudah. Jarang lelaki mengungkapnya namun hakikatnya seorang lelaki selalu bekorban untuk memastikan insan-insan tersayang gembira termasuklah sang isteri yang sama-sama bekorban susah dan senang dalam hidup serta sang ibu yang bertarung nyawa melahirkannya ke dunia ini.

Sebelum berkahwin dengan isteri aku ini, aku pernah “berkawan” dengan beberapa orang wanita dan ternyata isteri aku ini merupakan “kawan” kegemaran ibu dan keluargaku atas faktor-faktor yang tidak perlu aku ceritakan di sini.

Namun begitu, menjadi sebab mengapa aku memilih untuk hidup berumah tangga sendiri adalah aku tidak sanggup membiarkan kelemahan isteriku begitu nyata di mata keluarga terutamanya ibuku.

Aku tahu, seorang ibu cenderung untuk membuat perbandingan bagaimana layanannya terhadap anaknya sendiri dan bagaimana anaknya dilayan oleh sang isteri.

Pernah menjadi teguran dalam gurauan apabila aku membantu isteri menyidai pakaian diluar rumah walhal aku dibesarkan dan dididik olehnya sendiri dengan membantunya menyidaikan pakaian, mencuci pakaian dan mengemas rumah. Jadi perkara-perkara beginilah yang membuatkan aku rasa tinggal sedikit jauh daripada ibu bapa ini adalah suatu tindakan yang wajar.

Aku acap kali mengungkapkan kepada isteriku bahawa aku tidak pernah memaksanya untuk masak setiap hari. Aku katakan bahawa kita sama-sama mencari rezeki. Ada masanya ingin baring dan berehat setelah balik dari kerja. Jika tinggal bersama mentua, aku fikir mustahil aku boleh mengamalkan doktrin sebegini.

Tambahan pula, aku pun tidak sanggup membiarkan suara-suara sumbang mengatakan itu dan ini, tidak patut begitu dan tidak patut begini. Maka dengan itu jugalah membuat keputusan untuk hidup sendiri ini adalah satu keputusan yang amat tepat bagiku dan keluarga kecilku.

Sehinggalah fikiranku terganggu dalam minggu ini. Ketika itu aku sibuk bersoal jawab dengan anak muridku mengenai tajuk rumah idaman. Rancak kami bersoal jawab. Aku terangkan bahawa suatu hari nanti mereka perlu hidup sendiri. Bina atau membeli rumah dan pokok pangkalnya berdiri di atas kaki sendiri.

Tiba-tiba seorang murid mengangkat tangan. “Cikgu, jika ibu atau bapa kita sudah tua, siapa yang nak jaga mereka? Bukankah kita sudah tinggal sendiri?”

Persoalan ini membuatkan aku tersentak. Bermain-main difikiranku hingga aku terpaksa memuntahkan perasaanku ke dalam tulisan ini. Ternyata aku telah di sekolahkan oleh seorang murid tahun 4.

Antara tanggungjawab, cinta dan sayang, aku pilih semuanya kerana itulah antara rencah menjadi anak, suami dan ketua keluarga yang utama.

– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *