Benci Diri Sendiri

Assalamualaikum… Nama saya Hani, berusia 30-an, bekerjaya tetap. Saya sudah bertunang dan kalau mengikut perancangan akan berkahwin pada bulan akan datang.

Sejak akhir-akhir ini, saya perasan yang saya kerap beremosi, pantang dicuit mesti akan melenting dan marah. Yang akan menjadi mangsa nya ialah orang sekeliling. Saya akui saya agak cepat marah dahulu tetapi cepat reda dan masih mampu mengawal perasaan dan tidak melibatkan orang sekeliling.

Baru- baru ini, perasaan marah itu sangat- sangat tidak terkawal sehinggakan saya merasakan amat bencikan diri sendiri. Bagi saya tiada gunanya hidup jika asyik mahu melenting dan menyusahkan orang sekeliling.

Saya jadi amat takut untuk meneruskan perkahwinan. Adakah bakal suami boleh menerima kelemahan ini? Bagaimana kehidupan rumah tangga saya jika asyik dilanda ribut? Adakah akan berakhir dengan perceraian?

Saya menjadi amat sedih dan takut. Saya juga pernah cuba untuk memutuskan pertunangan tetapi memikirkan harapan keluarga terutamanya ibu dan ayah, saya teruskan juga.

Apabila perasaan bencikan diri sendiri tiba, akan disusuli dengan ‘suicidal thought’. Mengelar diri sendiri, terjun dari bangunan yang tinggi sering bermain-main difikiran. Beberapa kali fikiran seperti ini berlaku dan semakin kerap kebelakangan ini.

Setiap kali ia berlaku, masih dapat dihalang dengan mengingati balasan dan dosa akibat membunuh diri. Saya kini merasakan hidup ini tiada makna lagi dan tiada tujuan.

Setahun yang tahun lepas, saya mempunyai masalah ditempat kerja sehingga saya menjadi amat stress. Tiada selera makan sehingga berat badan susut dan kehidupan ketika itu amat kucar- kacir.

Awal tahun ini, saya berjaya berpindah ke tempat kerja baru dan harapan saya, masalah stress yang dihadapi boleh diatasi, dihilangkan dan kehidupan saya menjadi kembali bermakna. Namun, masalah yang sama masih lagi berlarutan.

Saya tiada tempat untuk meluahkan masalah ini. Saya pendam dan simpan seorang diri. Saya tidak mahu membebankan keluarga atau ibu bapa dengan perkara-perkara seperti ini.

Tambahan pula, saya tidak rapat dengan ibu bapa. Kawan-kawan yang rapat semuanya sudah berkeluarga. Jadinya, bagi saya, tidak perlu membebankan mereka dengan masalah ini.

Saya mohon kepada para pembaca, berilah semangat dan bantuan untuk saya menghadapi masalah ini supaya saya dapat meneruskan kehidupan. Saya tidak tahu berapa lama saya mampu bertahan untuk menghadapi hari- hari yang mendatang.

Moga ada sinar dalam kehidupan…

– Hani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *