Tolong Sempurnakan Aku

Salam sejahtera. Muslim reader only. Niat utama confession ini adalah untuk meminta doa anda bagiku, hamba Allah yang hina ini.

Aku pernah menghantar confession di sini yang bertajuk “Islam Sempurna” (https://iiumc.com/islam-sempurna/). Segala teguran dan nasihat pembaca amat dihargai.

Sedikit pengenalan. Aku seorang perempuan berumur 20an, baru menamatkan pengajian. Bumiputra berasal dari Borneo. Aku sebenarnya lahir dan membesar di semenanjung, kini sudah kembali ke negeri asal.

Fikiran ingin membunuh diri semakin kerap muncul, berharap diri ini lenyap sahaja tanpa “mencederakan” orang yang menyayangiku.

Biar sajalah Allah tarik kewujudanku selama di muka bumi tanpa dingingati makhluk lain, tidak kisah kehilanganku tidak disedari dan ditangisi. Asalkan berat fikiran dan kesedihanku ini hilang dan tidak dirasai.

Namun, sebagai orang berakal, aku sedar harapan ini tidak mungkin berlaku, kejadianku yang sudah ditiupkan roh dan ditakdirkan hidup tetap akan diadili di akhirat kelak.

Jika tidak kenal Islam, mungkin sudah lama aku mengambil nyawa sendiri. Seksanya dunia, seksa lagi azab kubur, belum lagi neraka. Hanya mungkin ini yang menahan niat jahatku. Mungkin juga selagi aku bernafas, aku tidak mahu putus asa dengan rahmat Allah.

Gagal dalam ujian yang dihadirkan Allah menyebabkan aku merasa kerdil dan memandang tinggi terhadap orang lain. Boleh saja orang yang hina dengan dosanya yang ternampak sebenarnya lebih mulia daripada kita yang ditutup aibnya oleh Allah.

Itulah hakikat yang aku cuba belajar, walaupun kadangkala terasa ujian ini untuk Allah menjauhiku. Terasa tidak berguna terlahir di dunia, tidak memberi manfaat malah berdosa kepadaNya.

Confession terdahulu sebenarnya ingin menzahirkan rasa cemburu terhadap orang Islam. Namun, sudah terpesong coretanku, maafkan. Cemburu melihat betapa mereka dapat “mendekatkan” diri dengan Allah, sedangkan aku dalam keadaan yang rugi. Aku hanya mampu berdoa menangis tanpa wuduk, zikir dan solat.

Hatiku mempersoalkan kenapa mereka tidak menghargai nikmat Islam, tidak dimanfaatkan. Kenapa disulitkan sendiri seperti coretan hijab yang dipakai secara pelik yang aku sebut dalan confession lalu. Akhirnya aku menyerah, aku faham itulah dugaan, jika aku Islam kelak munkin aku juga lalai.

Kini keadaanku yang tertekan menyebabkan aku tidak dapat berfikir rasional. Aku sudah tidak dapat membendung perasaan lagi, sakitnya bila dalam kesedihan, aku juga ingin sujud mengadu.

Cemburu apabila membaca amalan yang dapat memberi pahala dikongsi di iiumc. Jika sedih buat begini, bila dalam kesulitan buat begini, jika inginkan rezeki murah buat begini.

Aku juga cemburu terhadap orang masuk Islam dengan keluarga sekali masuk, amalan baik apakah yang dilakukan mereka sehingga mendapat rahmat sebegitu. Kisah ibu ustaz Ebit Lew yang meninggal dalam Islam serta menyokong perjuangannya juga menyentuh hati saya.

Perkenalanku dengan Islam bagiku adalah sangat indah. Ia datang tatkala aku dikeliling majoriti non-muslim di sekolah rendah (SJKC). Banyak yang aku persoalkan ketika itu dan sahabat muslimku lah yang menjadi rujukan. Tiada unsur paksaan atau pengaruh di sini kerana aku sendiri yang mula mempersoalkan agama ketika aku masih bersekolah rendah.

Benarlah, khabar tentang Islam akan sampai kepada setiap hambanya, tidak mengira umur atau di mana, hanya tinggal kita terima atau tidak dan menerima balasan di akhirat kelak. Aku takut perkenalan ini adalah sia-sia dan diazab nanti.

Akhir kata, saya memohon anda doakan urusan saya untuk memeluk agama ini dipermudahkan Allah dengan segera sebelum ajal tiba. Mungkin doa anda makbul dan diperkenankan Allah. Sekian, terima kasih.

– Mariam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *