Untuk part I, (https://iiumc.com/antara-tanggungjawab-dan-cinta/).
“Dalam banyak-banyak adik beradik, sekurang-kurangnya mesti ada seorang yang tinggal bersama ibu bapa”. Jelasku kepada anak-anak murid. Terangku lagi kepada murid-murid bahawa walaupun telah tinggal sendiri, aku tetap melawat ibu bapa sekerap mungkin.
Tipu jika dikatakan tiada perasaan bersalah terhadap diri sendiri apabila tidak berada di samping ibu bapa. Ya, mungkin kita berbeza. Aku sendiri tidak pasti mengapa aku punya perasaan yang begitu kuat mengapa dan betapa pentingnya aku sebagai anak lelaki pertama untuk mencurahkan bakti kepada keluarga. Namun atas kisah yang telah aku ceritakan sebelum ini, aku memilih jalan untuk berdikari.
Aku jadikan jalan yang ku pilih ini benar-benar berbaloi. Anak-anak ku hantar ke kelas renang dan tarian. Kami menonton teater bersama-sama. Sekarang aku memasang impian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Aku mahu keputusan untuk bermastautin di kota adalah suatu yang tepat dan bukan sesuatu untuk disesali.
Biarlah cara hidup yang ku pilih ini ada pulangan dalam pembentukan diri aku dan anak-anakku. Aku mahu mendapatkan kualiti hidup di sini yang tidak mampu ku peroleh di kampung agar jalan ini bukanlah sesuatu yang sia-sia bagiku.
Tiada istilah lepak lama-lama di luar apabila berada di kampung halaman. Setibanya di kampung, tanganku sentiasa sibuk memegang penyapu, tukul, atau apa-apa sahaja untuk melakukan apa sahaja keperluan dan sokongan yang diperlukan ibu bapaku.
Di pihak isteriku pula, beliau sentiasa memberi sokongan atas apa yang ku lakukan. Beliau faham bahawa segala yang aku lakukan ini adalah untuk kegembiraan semua pihak. Keluargaku dan dia isteriku yang sangat aku sayangi.
Ya, memang aku anak emak. Aku tak pernah malu mengaku untuk menyatakannya kepada sesiapa sahaja. Semua kita anak emak. Ibu yang bertarung nyawa melahirkan dan membesarkan aku itu terlalu banyak berkorban untuk aku. Hanya berlaukkan kuah bersama nasi demi memastikan aku dapat menikmati nasi berlaukkan seketul ayam pada waktu kecil hingga kini seringkali menggoncang emosiku di saat aku sendiri.
Ya, hidup kita ada pasang surutnya. Ada ketikanya susah dan ada ketikanya sedikit senang. Begitulah kami sekeluarga yang pernah diuji dengan kepayahan hidup suatu masa dahulu. Sebab itulah aku selalu berpegang kepada prinsip, segala keputusan besar yang harus aku lakukan, pendapat ibu bapa menjadi antara merit yang besar kepada keputusan aku. Semasa membeli rumah, kereta dan mendapat pasangan sekalipun, pendapat mereka aku amat titik beratkan.
Namun begitu, menyedari hal yang demikian, adalah lebih baik aku memilih untuk hidup sendiri bersama keluarga kecilku di sebuah daerah yang lain namun tidaklah begitu jauh supaya mudah bagiku untuk ke kampung setiap hujung minggu.
Sesungguhnya apa yang aku lakukan ini adalah untuk menjaga keharmonian rumah tangga aku dan isteriku dan untuk mengelak berlakunya campur tangan ahli keluarga dalam urusan rumah tangga. Biarlah hingga ada orang yang berkata, yang jauh sentiasa berbau wangi manakala yang dekat berbau najis. Hanya kita yang tahu niat yang terbuku di dalam hati kita.
Bagai menarik benang dalam tepung, itulah yang perlu kita sebagai lelaki lakukan dalam kehidupan ini kerana kebahagiaan dan kegembiraan keluarga dan pasangan adalah tanggungjawab kita.
– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit