“Berambus kamu semua dari sini! Baliklah ke rumah keluargamu. Lima belas tahun aku menahan siksa. Rumah ini atas nama aku. Tanah ini juga atas namaku! Rumah ini bukan lagi untuk kamu semua!” bentak Nek Jah kepada menantunya Puan Rohayu yang baru sahaja kematian suami akibat komplikasi sakit jantung.
Lima belas tahun yang lalu, Encik Zul yang bertugas di sebuah institusi pengajian tinggi bersama isterinya Puan Rohayu yang merupakan seorang guru telah membuat keputusan untuk membaiki dan membaik pulih rumah ibu bapa Encik Zul yang uzur di kampung.
Adapun ketika itu Encik Zul bukanlah anak lelaki sulung di dalam keluarga, namun beliaulah yang mempunyai pekerjaan yang baik dan mempunyai kelulusan pelajaran yang lebih tinggi berbanding adik beradiknya yang lain. Pendek kata, beliaulah anak yang mempunyai pendapatan yang paling besar berbanding adik beradikny yang lain. Namun begitu, usaha yang dilakukannya itu tidaklah begitu digemari oleh adik beradiknya yang lain.
“Siapa yang masih tidak nampak, apa yang dilakukan Pak Ngah kamu itu memang buta! Lepas rumah itu dibaiki, memang dia, isteri dan anak-anaknya akan tinggal di situ! Lepas mak dan bapa sudah tiada, memang merekalah yang akan mengambil rumah itu! ” Pak Man bercerita di hadapan cucu-cucu Nek Jah. Selaku abg sulung, Pak Man memang rasa betul-betul tercabar dengan tindakan adiknya Zul itu. Rasa sangsi yang membuak-buak telah menyebabkan hubungan mereka adik beradik sedikit dingin.
Ibu bapa mana yang tidak mahu anak membaiki rumah yang uzur. Apa yang mereka tahu, selepas ini mereka akan dapat tinggal di rumah yang lebih baik dan selesa berbanding sebelum ini. Sudah tentu terselit juga perasaan bangga terhadap masyarakat sekeliling apabila anak mereka itu telah menghadiahi mereka rumah yang lebih elok dari sebelum ini.
Setelah beberapa tahun, rumah yang uzur itu sudah menjadi lebih selesa. Bukan sahaja selesa, malahan menepati cita rasa terkini beserta perabot-perabot jati yang sungguh klasik. Namun begitu, seperti yang diramalkan, Encik Zul dan Puan Rohayu telah berpindah ke rumah tersebut bersama-sama anak-anak mereka yang semakin meningkat remaja.
Perpindahan mereka ke rumah itu bermula apabila Encik Zul telah mengambil keputusan untuk menyambung belajar sepenuh masa selama dua tahun. Maka, terpaksalah mereka sekeluarga keluar dari kuarters kerajaan yang mereka diami selama ini kerana kuarters tersebut adalah dikhaskan sebagai kediaman warden asrama sahaja.
Dalam pada masa yang sama, sebagai penghalal cara, Encik Zul beranggapan bahawa kerana dia yang bersusah payah membelanjakan wang ringgit ke atas rumah itu dan adik beradiknya yang lain pun tinggal bersama keluarga masing-masing, maka tidak salah dirinya bersama keluarga memilih untuk tinggal di situ. Selepas ini juga, makan minum dan pakai ibu dan bapanya akan terjaga pada hematnya. Bapanya Haji Manan bukanlah seorang yang sihat. Berpenyakit tiga serangkai, iaitu kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.
Sudah menjadi kelaziman ibu bapa yang mempunyai ramai anak-anak akan sentiasa bergerak ke rumah anak-anak di atas jemputan anak-anak mereka. Begitu juga Nek Jah dan Haji Manan yang mempunyai sepuluh orang anak-anak. Seorang anak akan menyantuni ibu bapa selama dua hingga tiga minggu di rumah masing-masing. Selepas rumah Pak Man, mereka berdua akan ke rumah Mak Teh dan begitulah seterusnya.
Apa yang menyedih, Nek Jah terutamanya begitu mudah termakan hasutan bahawa anak-anaknya bahawa menantunya Puan Rohayu sedang berusaha untuk menghasut suaminya Encik Zul merampas rumah itu daripada mereka! ” Jangan sesekali mak letakkan nama abang ngah di dalam geran tanah rumah itu mak. Terlalu awal. Bukan apa mak, kita takut mereka ada niat yang tidak elok. Bukannya tak tahu asal usul menantu mak itu. Tempat yang penuh dengan amalan ilmu hitam! ” hasut Mak Teh pada Nek Jah.
Episod konfrontasi pun bermula. Apa sahaja yang dilakukan Puan Rohayu serba tidak kena. Masakan masinlah. Rumah bersepahlah. Anak perempuan malaslah. Anak bujang tidak pandai bergaullah. Sentiasa bangun lewatlah. Semuanya serba serbi tak kena. Sebagai orang dewasa Puan Rohayu memang pandai membawa diri dan lebih banyak berdiam diri. Anak-anak mereka yang berjiwa muda dan mengikut hati akhirnya terlajak kata dan pergaduhan di dalam keluarga pun bermula.
Tiada apa yang Encik Zul boleh lakukan pada ketika itu cuma berusaha sedaya upaya untuk menjernihkan keadaan. Setelah Haji Manan meninggal dunia, Nek Jah membuat keputusan untuk tinggal bersama anaknya yang mempunyai sebidang tanah untuknya bercucuk tanam.
Sebenarnya beliau makan hati dan berkecamuk dengan segala yang berlaku. Beliau ambil keputusan untuk membawa diri. Encik Zul menghormati keputusan ibunya namun bekerja keras memberikan segala-galanya supaya ibunya dapat hidup dengan selesa di sana.
-BERSAMBUNG-
– Sang Arjuna Nestapa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Â https://iiumc.com/submit