Assalamualaikum warga pembaca sekalian, luahan hati ini hanyalah untuk meluahkan kegelisahan yang terpendam. Makin dipendam makin serba tidak kena.
Namaku Farahin, berusia awal 30an. Saya telah mendirikan rumahtangga selama 4 tahun. Alhamdulillah rumahtangga masih manis dengan nikmat, tidak kurang juga ada sedikit ujian untuk kami beringat.
Hubungan dgn kedua belah keluarga juga masih baik. Suami saya, anak lelaki tunggal dalam keluarga, jadi dia lah harapan dan tunggak ibu bapa. Perkara ini saya sedia faham dari zaman bercinta, malah sepanjang perkahwinan ini turutan balik kampung pun banyak kepada keluarga suami.
Sepanjang perkahwinan saya mempunyai pemahaman dan sikap bahawa ibu mertua perlu dilayan seperti ibu saya sendiri. Oleh sebab itu jarang sekali saya mengatakan tidak jika diajak pergi kemana-mana atau bercuti walaupun keadaan kewangan pada masa itu hanyalah cukup-cukup makan.
Takpelah, asal orang gembira sudah memadai kerana dari segi kewangan kami tidaklah begitu mewah untuk memberi banyak, jadi kami banyak meluangkan masa untuk bawa berjalan, meluangkan hari minggu di kampung dan tenaga yang muda ini kami menolong kemas rumah atau apa sahaja yang memerlukan pertolongan.
Tahun ketiga kahwin, saya disahkan mengandung dan saya membuat keputusan untuk berpantang dirumah mertua kerana suami ingin berulang setiap hari dari kampung. Ketika ini saya telah pun berhenti kerja ekoran syarikat bertukar hak milik.
Alhamdulillah perjalanan pantang saya indah dijaga rapi. Namun ketika waktu berpantang, suami juga dilanda ujian tempat kerja dan gaji beliau dipotong separuh. Kebetulan waktu berpantang saya pada waktu puasa dan raya, jadi faham sahajalah bajet kewangan semakin tiris.
Seusai sahaja pantang, keluarga mertua mengajak bercuti ke utara, perkara ini saya dan suami hanya berdiam diri kerana memikirkan bayi yang masih kecil, perjalanan dari Johor Bharu ke Penang juga mengambil masa yang panjang.
Puas ibu mertua mengajak namun suami tetap mengatakan tidak kerana kami betul-betul takde bajet, tinggal saving untuk suami berulang kerja sahaja.
Ketika inilah ibu mertua mula naik angin dan melepaskan amarahnya. Habis segala perkara beliau ungkit termasuklah hal menjaga saya dalam pantang, malah dalam kemarahan tu turut juga diselitkan menyuruh saya mengemas segala barang dan pulang ke rumah sendiri.
Turut juga disebut bahawa suami selama kerja tidak dapat memberi banyak kepada keluarga. Satu persatu dihamburkan keluar, dan saya ketika itu baru sahaja 3 hari habis berpantang.
Oleh kerana tidak mahu memanjangkan cerita, kami bersetuju mengikut percutian tersebut, namun hati saya sakit. Perasaan saya terluka.
Kebaikan sepanjang saya berkahwin dinilai berdasarkan berapa banyak duit yang diberi. Seolahnya tiada kebaikan langsung suami saya sebagai anak. Sedangkan ibu kandung saya tidak pernah memarahi atau menengking menantu selama berbelas tahun abang saya kahwin.
Pulang dari percutian, bayi saya diserang demam panas selama 2 minggu. Ini merupakan kemuncak kelukaan hati saya. Malah disalahkan pula ibu menyusu yang menyebabkan bayi sakit. Sepanjang anak saya sakit, tiada secebis khabar pun bertanyakan tentang bayi saya. Hati saya terus tawar dan kecewa.
Sehingga hari ini saya masih tidak boleh kembali berkelakuan seperti biasa. Apabila berjumpa pun saya akan berdiam diri kerana masih terkenang-kenang insiden kemarahan beliau. Saya seolahnya menjadi dingin dan malas untuk mengambil tahu apa-apa yang terjadi.
Bukan saya membenci, tapi saya seorang menantu yang terkilan dan kecewa. Saya cuba seperti biasa tapi seperti ada jurang besar yang tercipta.
Sekian,
– Farahin Mazlan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit