Antara Mak dan Impian

Assalamualaikum. Aku harap admin dapat siarkan confession aku. Aku perlukan pendapat kalian. Sungguh. Aku baru je habis study awal bulan May lepas.

Aku menetap negeri seberang dan sepatutnya lepas habis study haritu mak memang suruh aku balik terus. Aku faham maksud mak tapi aku rasa berat hati nak balik sebab aku tahu peluang kerja dekat sana sangat rendah.

Haritu aku ada balik sekejap dan aku sempat juga survey-survey kerja kosong dekat sana tapi nasib tidak menyebelahi. Maka aku pun berhijrah balik ke negeri tempat aku menuntut ilmu untuk mencari kerja.

Baru-baru ini kakak aku terlantar sakit. Sebenarnya dia memang dah lama sakit cuma masatu family aku hanya berikan rawatan biasa yakni bila kakak aku ada mengadu sakit-sakit badan mak akan bawak dia ke hospital dan kalau-kalau sakitnya belum surut, mak akan panggil orang kampung berubat, itu sahaja.

Pun begitu, kesihatan kakak aku belum pulih malah bertambah teruk apabila suatu hari kakak aku pengsan dalam tidur (baca; hampir meninggal dalam tidur). Syukur mak aku perasan awal sebab sejak kakak sakit, mak lah yang selalu kejutkan dia setiap pagi untuk ingatkan dia makan ubat.

Jadinya, pada hari kejadian tu, mak cuba kejutkan kakak tapi dia tidak bergerak menyebabkan mak dan ayah bergegas bawa kakak ke hospital. Kakak dimasukkan dalam ICU selama beberapa hari sebelum berpindah ke wad biasa selama seminggu.

Keluarga aku orang susah tapi syukur masih cukup makan lagi. Dengan keadaan sekarang, aku tahu mak terbeban. Ayah aku tidak bekerja, begitu juga adik beradikku yang lain. Hanya mak yang menanggung kami sekeluarga dan mak cuma pekerja biasa, bergaji rendah.

Aku sangat kasihankan mak. Sebelum kakak jatuh sakit, kakak pernah bekerja tetapi diberhentikan atas alasan dia melakukan kesalahan yang bukan dia buat. Kakak akur. Kakak jatuh sakit selepas dia berhenti kerja.

Selepas kakak keluar daripada hospital, kakak hanya mampu terlantar di katil kerana dia tidak mampu berjalan. Kakak ada mengadu sakit lagi dan mak segera panggil ustaz. Selepas rawatan tu kakak kembali normal tapi tidak lama.

Kakak jatuh sakit semula tapi kali ini lebih teruk, kakak mula meracau. Menurut cerita mak, apabila mak renjiskan air tawar, kakak meraung kepanasan. Aku dapat rasa yang kakak terkena buatan orang.

Aku mengesyaki kakak disihir oleh pekerja yang menganiayai dia (orang yang menyebabkan kakak dibuang kerja) tapi aku tiada bukti sahih untuk menuduh, jadi dengan itu mak teruskan sahaja dengan merawat kakak daripada membuang masa mencari pesalah. Lagi pula kami tiada bukti.

Selesai cerita kakak.

Sepanjang kakak sakit aku masih di perantauan. Masih gigih mencari kerja dalam bidang yang aku minat namun tidak membuahkan hasil. Agak sukar kerana bidang aku dimonopoli oleh kaum lelaki tapi aku tidak putus asa dan sehingga kini masih juga menghantar resume, cover letter dll melalui email. (Sejujurnya aku suka kerja-kerja lasak).

Oleh sebab graduan tidak boleh memilih kerja, aku akur untuk kerja di sebuah kedai serbaneka dahulu sebelum mendapat tawaran kerja yang lebih baik. Aku tiada masalah untuk bekerja di tempat berkenaan walaupun tujuan asal aku berhijrah semula adalah untuk bekerja dalam bidang yang aku minat. Tapi melihatkan keadaan sekarang, aku harus bekerja untuk menampung keluarga.

Aku tahu mak terbeban sebab hanya mak seorang yang menanggung seluruh keluarga, gaji mak tidak banyak dan sejak kakak sakit mak keluarkan banyak duit untuk bayar bil rawatan hospital + ustaz + lampin dewasa untuk kegunaan kakak. Kesian mak tapi aku tahu ini ujian. Mak sabar dan tidak pernah mengeluh sikit pun. (Semoga Allah limpahkan pahala berganda untuk mak. Aamin)

Yang menjadi konflik kepada aku sekarang adalah, mak mahu aku pulang ke kampung semula. Melihatkan peluang kerja yang amat tipis di kampung dan keadaan kakak yang sakit, aku tahu aku belum bersedia untuk balik sebab aku mahu terus bekerja, dan kirimkan duit untuk bantu mak.

Mak mahu aku balik dan duduk sahaja dirumah sedangkan aku belum bersedia untuk balik sebab mahu terus bekerja bantu ringankan kewangan mak. Aku buntu. Malahan, adikku yang bongsu sedang berada di Tingkatan 5 dan aku sebagai kakak impian aku besar untuk lihat dia masuk universiti.

Untuk pengetahuan, hanya aku seorang sahaja dalam adik beradik yang berjaya masuk universiti dan aku tahu betapa peritnya mengumpul duit untuk memulakan pengajian. Sebolehnya aku tidak mahu adik aku merasai keperitan itu jadi aku rela menanggungnya supaya dia lebih bersemangat untuk sambung belajar.

Mak setiap hari pujuk aku balik walaupun setiap kali dihujung ayat mak akan selitkan “tak apalah, kerjalah kalau tu yang kamu rasa terbaik tapi mak memang mahu kamu balik”. Setiap kali mak cakap macam tu, hatiku tersentak.

Kalau keadaan tidak memaksa sudah lama aku balik, siapa yang tidak rindukan kampung? Aku takut jadi anak derhaka sebab tak ikut cakap mak tapi kalaulah mak tahu apa yang aku buat ini juga adalah untuk mak dan keluarga.

Adakah aku perlu balik patuh cakap mak? Atau teruskan kehidupan sekarang seperti biasa?

– Aa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *