Bismillahirrahmanirrahim. Setiap seorang yang Allah cipta, mempunyai perwatakan yang berbeza. Aku sekarang berumur awal 30-an. Dari sekolah, ramai yang mengatakan aku ni berperangai “pelik”. Disebabkan ini, aku terasa ingin mengetahui lebih mendalam pasal diri aku sendiri. Jadi aku banyak membuat “personality test” secara online dan tak kurang juga secara offline melalui kursus.
Rata-rata keputusan menunjukkan aku ini seorang introvert dengan peratusan lebih 90%. Tak hairanlah aku lebih suka menyendiri, tidak pandai bergaul dan susah untuk membuat kawan. Seingat aku, di sekolah menengah aku hanya berkawan dengan teman sebilik (aku sekolah asrama penuh). Itu pun sekadar kawan. Bukan geng yang rapat yang ke mana-mana sentiasa bersama.
Masuk ke universiti, aku juga tiada kawan rapat. Apabila ada aktiviti, aku tiada teman untuk bersembang. Aku akan duduk sorang2 di tepi-tepi. Bukan aku xnak bersembang tapi terasa sangat janggal. Tiada topik. Mereka sembang dengan geng masing-masing. Waktu itu aku berfikir, alangkah seronok nya kalau berkahwin. Punya teman ke mana-mana.
Alhamdulillah selepas tamat ijazah sarjana, aku bertemu jodoh dengan teman satu universiti. Kini telah lebih 4 tahun kami melayari bahtera rumah tangga. Namun, Allah mentakdirkan kami untuk tidak mempunyai anak. Suami aku seorang yg extrovert. Dia mudah berkawan dengan sesiapa sahaja. Dia juga mudah menolong orang jadi ramai yang senang dengannya.
Walaupun sekarang dia telah bekerja sebagai seorang pensyarah, masih ramai teman satu universiti yang masih menghubunginya. Bertanya khabar, ajak berjumpa dan sebagainya. Sedangkan aku, hanya di rumah, telefon tidak berbunyi, tiada sesiapa yang menghubungi.
Sebagai seorang pensyarah, dia selalu perlu menghadiri conference, mendapat jemputan di sini sana. Aku sebagai isteri, sentiasa menemani nya sebab itu yang dia minta. Tapi aku sungguh janggal dengan kawan-kawannya. Aku tidak pandai membawa diri. Bahkan kawan2 nya pernah menegur kenapa aku selalu buat hal sendiri.
Tak masuk dengan orang lain. Aku ingin bersembang dengan isteri-isteri kawan2nya tapi aku sangat janggal. Aku tidak mempunyai anak sedangkan topik anaklah yang selalu di bincang kan oleh para isteri. Aku lihat sekeliling, isteri2 kawan2 suami aku kalau tak bersembang pon sebab melayan anak2 masing2. Aku mula menyalahkan takdir. Kalau aku ada anak, pasti tak janggal macam ni.
Baru – baru ni ada jamuan raya di Universiti suami bekerja. Disebabkan suami seorang yang mesra, dia duduk bersama2 rakan sekerja. Maka aku duduk sorang2 di belakang. Aku tengok keliling, ada kawan2 nya yang duduk dengan keluarga masing2. Ada juga keluarga yang bawa anak2 jadi duduk sekumpulan mereka. Tapi aku.. Aku duduk saja sorang2. Janggal.
Baru- baru ni juga persatuan suami ada buat hari keluarga dan rombongan ke penang. Aku sudah berkira-kira tak nak pergi tapi suami aku cakap sudah nama hari keluarga. Aku akhirnya ikut juga tapi sama, terasa janggal. Suami aku bergelak ketawa dengan kawan2nya dan aku tertinggal di belakang. Tak pandai membawa diri. Tak pandai bergaul hatta dengan isteri kawannya.
Pendek kata, aku tak pandai bergaul dengan sesiapa. Aku lebih selesa duduk sendiri, berseorangan. Aku hanya selesa dengan orang yang betul2 rapat sahaja misalnya kakak aku, suami aku. Apabila ada orang ketiga (contohnya kawan2/keluarga suami), aku mula terasa janggal dan dipinggirkan.
Ingatkan selepas kahwin, masalah aku akan selesai. Tapi sama saja. Aku mulai membenci hari raya. Kerana banyak jemputan open house. Aku juga tak suka pulang ke rumah mentua. Kerana ramai adik beradik, pakcikmakcik, sepupu sepapat datang bertandang. Aku letih untuk (cuba) bergaul dengan mereka.
Akhirnya aku rasa sangat down. Aku stress dan hilang keyakinan diri. Aku mula benci diri aku sendiri. Aku selalu fikir suami aku berhak mempunyai isteri lain yg lebih baik dari aku. Pernah aku cadangkan pada suami utk cari isteri lain yang lebih mesra. Sesuai utk dirinya yang juga peramah. Tidaklah jatuh air mukanya di hadapan kawan2 kerana mempunyai isteri kera sumbang macam aku.
Ada tak sesiapa yang ada masalah macam aku? Bagaimana untuk kurangkan personaliti introvert ni?
Terima kasih…
– Iman (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit