Isteri Yang Tidak Diiktiraf

Assalamualaikum. Nama aku Nur. Aku dah kahwin setahun. Perkahwinan kami tanpa restu dari pihak keluarga suami. Aku kenal suami dari zaman belajar, 7 tahun bercinta dan akhirnya kami berkahwin juga.

Pada awal bercinta, aku tak tahu keluarga suami tak restu hubungan kami. 3 tahun zaman belajar, aku tak terlalu fokus untuk ke arah perkahwinan. Suami janji akan kahwin dengan aku lepas masing-masing habis belajar dan bekerja. Aku pegang janji suami. Lepas habis belajar, pada tahun ke-3 hubungan kami, aku baru dikenalkan oleh suamiku dengan kakaknya.

Mulanya, kami berbual seperti biasa, tapi bila kakak suami aku tahu yang aku lebih berusia dari suami, maka bermula lah drama ‘perli-memerli’ dan ‘tarik muka’. Aku tua 4 tahun dari suami. Balik dari pertemuan tu, aku cadangkan pada suami agar kami putus sebab drama tadi dari kakak dia betul2 buat aku terasa diperlekehkan dan tak diterima. Tapi suami pujuk aku, dia kata ibubapa dan adik-beradik dia yang lain akan terima aku.

Beberapa minggu lepas pertemuan tu, kakak suami ada jumpa aku dan meminta maaf. Jadi, merasakan bahawa semuanya akan baik-baik, aku meneruskan perhubungan dengan suami seperti biasa sehinggalah kami masuk tahun yang ke 4 bersama.

Masa tu aku dah mula rasa pelik, kenapa suami masih tak bawa aku jumpa keluarga dia. Aku suarakan pada suami persoalan aku. Dan suami minta aku bagi sedikit masa untuk dia kenalkan aku dengan keluarga.

Tahun ke 5 aku dah mula gelisah, umur aku makin meningkat, sedara mara dan keluarga dah selalu bertanya bila kami akan disatukan. Aku semakin tertekan. Dan akhirnya, suami berterus-terang pada aku yang keluarga dia tak restu. Tiada seorang pun dari ahli keluarga dia yang mahu menerima aku. Dia cuma tidak tahu bagaimana untuk berterus terang dengan aku.

Masa aku tahu, aku menangis semahunya. Aku rasa tertipu, aku rasa diperbodohkan oleh suami. Selama aku bercinta dengan suamiku bertahun, selama aku menerima maaf dari kakak dia, selama itu juga rupanya aku mentah-mentah ditolak mereka dibelakangku.

Suami sekali lagi memujuk, tetapi aku masa tu rasa tertekan dan aku selalu bergaduh dengan suami. Hubungan kami mulai bermasalah. Aku nak putus tapi aku tak kuat untuk tinggalkan org yang dah lama aku sayang. Suami masa tu buat perangai juga. Sebab aku selalu marah, memberontak dan berkasar, dia melayan perempuan lain belakang aku.

Hati aku sakit tapi aku sayangkan suami sepenuh hati. Dan suami juga sayangkan aku. Dia cuba untuk sayang dan bercinta dengan wanita lain yang lebih muda seperti yang keluarga dia nak tapi dia tak mampu untuk tipu perasaan dia. Hampir 2 tahun, bermula dari aku tahu keluarga suami tak mahu terima aku, hubungan kami selalu bermasalah dan kami kerap bergaduh.

Namun, pada tahun ke 7 kami membuat keputusan untuk tetap berkahwin juga walaupun tanpa restu dari pihak keluarga suami. Dah bermacam cara suami lakukan untuk pujuk keluarga dia tapi tetap mereka menolak aku atas alasan seorang lelaki tidak boleh beristerikan perempuan yang lebih berusia.

Pada hari pernikahan kami, tiada seorang pun ahli keluarga suami yang hadir. Hanya kawan-kawan suami menjadi pengganti pihak keluarga suami. Keluarga aku menerima suami dan keadaan kami sepenuh hati, tanpa syarat. Tiada hantaran yang perlu suami sediakan sebab keluarga aku tidak meletakkan sebarang hantaran.

Ayah aku cuma pesan pada suami, jaga aku sebaiknya dan teruslah meminta restu dari keluarga suami sehingga mereka mahu menerimaku. Dan aku pada hari pernikahan, menangis teresak-esak kerana rasa berdosa membiarkan suami membelakangkan keluarga demi berkahwin dengan aku yang dia cinta. Tapi apa pilihan yang aku ada? Dah bermacam kami buat bahkan kami pernah hampir berpisah tetapi tetap jodoh itu milik kami.

Setahun berlalu, keluarga suami masih membenci diri ini. Aku masih isteri yang ‘tersimpan rapi’. Sedara mara suami tidak ada yang tahu dan kenalan2 suami juga tidak ramai yang tahu akan perkahwinan kami. Dan suami bergilir setiap hari balik ke rumah aku dan rumah ibubapanya semenjak hari pertama kami bernikah.

Aku umpama bermadu dengan keluarga mertua sendiri. Tiada gambar mahupun secebis apa pun yang suami update di media sosial dia tentang aku demi menjaga hati keluarga yang malu andai ada saudara mara yang tahu suami telah berkahwin tanpa restu.

Aku isteri suamiku yang sah. Kami berkahwin bersaksikan ahli keluarga aku, kenalan2 aku dan wali aku yang sah. Aku isteri suamiku yang berhak dikenalkan sebagai isteri yang sah. Tetapi, sebaliknya aku hanya diperkenalkan sebagai ‘kawan’ jika suamiku terserempak dengan kenalan2 keluarga kerana tidak mahu cerita kami berkahwin tanpa restu menular dan menyakiti hati keluarganya.

Aku dibenci hanya kerana aku lebih berusia. Aku tidak mendapat hak sebagai isteri untuk berkongsi hidup sepenuhnya dengan suami kerana aku dibenci keluarga suami. Aku terpaksa menanggung bebanan perasaan ini hanya kerana mereka tidak pernah cuba mahu mengenali aku selain mengenali aku sebagai ‘perempuan tua’ yang berjaya menakluki hati suamiku.

Dalam masa setahun, entah berapa banyak air mata aku yang keluar hanya kerana aku terpaksa mengalah dan mengenepikan perasaan aku demi menjaga hati keluarga mertua. Terlalu banyak episod dan drama pahit yang berlaku yang tidak mahu aku ceritakan disini. Cukuplah sekadar aku yang merasa pahit dan sakit ini.

Sehingga ke hari ini, aku masih berharap suatu hari nanti keluarga mertua akan menerima dan menyayangi aku, ‘menantu tua’ ini. Aku dan suami hanya mampu berdoa agar dibukakan pintu hati keluarga dia untuk menerimaku. Di kalangan keluarga dan kenalan-kenalanku, aku dikenali sebagai seorang wanita yang kuat menghadapi segala ujian dalam hidup aku.

Kerana sedari kecil, bermacam dugaan besar yang aku terima dan aku berjaya menghadapinya. Tetapi, ramai yang tidak tahu keperluan emosi aku dah hampir kontang kerana bebanan perasaan ini. Senyuman dan tawa yang aku ukirkan setiap hari, hanyalah untuk menutup segala duka dalam hati. Aku selalu bicarakan pada hati, aku manusia yang Allah sayangi kerana itu aku diuji. Tapi adakalanya aku hampir rebah mahu membunuh diri bila emosi sedih menguasai hati.

Tolong doakan aku dan suamiku. Doakan perkahwinan kami dan mahligai yang baru kami bina ini tetap utuh dan ampuh walau sebesar apa pun badai yang melanda. Doakan keluarga mertua ku terbuka hati untuk menerima aku dan menyayangi aku supaya aku juga dapat merasa ‘punya keluarga mertua’ seperti adik-beradik ku yang lain. Dan doakan aku supaya aku tidak membenci mereka seperti mana mereka membenciku.

Mohon doakan juga aku cepat dapat zuriat lagi lepas keguguran awal perkahwinan tempoh hari akibat terlampau tertekan. Aku tak kuat, tapi aku tetap akan bangkit dan terus kuat bertahan demi perkahwinan kami, demi ibubapa aku yang dah berkorban untuk aku, ‘menahan malu’ masa hari pernikahan kami tanpa kehadiran keluarga dari pihak suami dan demi suami yang dah berkorban untuk menunaikan janjinya mengahwiniku.

Aku bahagia bersama suami menjalani alam perkahwinan ini tetapi dalam masa yang sama aku menderita juga kerana masih mengharapkan restu dari keluarga mertua dan kerana mahu aku diiktiraf sebagai isteri suamiku yang sah dimata semua. Tolong doakan kami.

Semoga Allah takdirkan yang baik-baik selepas ini buat kita semua. Semoga aku dan keluarga mertuaku dapat berhimpun dan berkasih sayang kerana Allah.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *