“Topeng” Suami II

Terima kasih buat iiumc yang menyiarkan confession aku sebelum ni (https://iiumc.com/topeng-suami/).

Terima kasih juga atas segala respon yang sangat membina, penuh emosi dan sedikit sebanyak membantu aku merenung kebodohan aku selama ini.

Confession aku ini adalah realiti, bukan novel mahupun drama. Memang bahasa penulisan aku sangat teratur, sebab aku terpelajar, tapi aku ‘bodoh’ dalam menjadi seorang isteri.

Ya, aku bodoh.

SINGKAP ‘TOPENG’ SUAMI

Memang tujuan aku meluahkan di sini adalah untuk menyingkap ‘topeng’ suami aku sedikit demi sedikit; yang selama ini aku sembunyikan.

Memang aku nak orang tahu siapa sebenarnya suami aku tu.

Kami dalam proses penceraian, dan seiring dengan proses ini jugalah aku akan mula meluahkan segala memori hitam, tekanan dan trauma yang aku hadapi sepanjang perkahwinan.

KAREKTER SUAMI

Suami aku, orangnya dipanggil ‘family man’; sebab dia anak yang baik, abang & adik yang baik kepada adik beradiknya.

Suami bekerja sebagai seorang jurufoto di salah satu syarikat penerbitan majalah hiburan terkenal di Selangor; KMK. Orangnya dikenali, peramah, PR bagus, jenis suka tolong orang, ayatnya manis macam gula. Jenis pandai bergaya, hormat orang tua, sukakan kanak-kanak. Hidup suami memang saban hari dengan artis, model, vvip mak mak datin.

Pendek kata, siapa tak kenal jurufoto tu? (bak ibarat kata rakan-rakan kerja suami).

Oh, dia bukan artis. Tapi, perasan artis. Perasan dirinya pujaan ramai.

Tapi, apa yang aku tulis di atas ni, itulah ‘topeng’ suami aku yang aku nak singkapkan satu demi satu.

Untuk confession kedua ini, aku akan singkap ‘topeng’ suami aku dan keluarganya.

‘BELANG’ KELUARGA SUAMI

Memang benar tidak relevan sama sekali ayat jika suami baik pada ibubapa dan keluarganya pasti dia akan baik jua pada isteri.

Tidak sama sekali.

Aku bukti hidup kepada teori yang sering diperkatakan ini. Teori ini salah.

Aku boleh dikatakan bercinta selepas nikah. Kerana keluarga suami minta dipercepatkan nikah. Malah kami tidak melalui fasa bertunang pun. Keluarga aku pula, hanya menurut kerana sangkakan itulah yang terbaik. Mungkin kerana berpegang pada ayat, kalau dah jodoh Allah swt akan permudahkan.

Ya, memang sangat lancar urusan pernikahan kami walaupun persiapan dalam masa singkat.

Pada awalnya, aku sangkakan keluarga suami aku menerima aku. Tapi sangkaan meleset. Seawal pernikahan lagi, sudah nampak belang adik-beradik suami, terutamanya yang perempuan. Mereka tidak berpuas hati kerana aku berkahwin terlalu cepat dengan suami, sedangkan keputusan mempercepatkan pernikahan datangnya daripada ibu bapa mereka sendiri.

Sejak itu, adik-beradik suami melayan buruk aku. Mencari silap, tidak berpuas hati dengan rumahtangga aku dan suami. Mesej panjang penuh kemarahan dihantar oleh adik perempuan suami, tetapi aku diam.

Aku bercuti dengan suami, pergi makan dengan suami, serba-serbi tidak kena di mata mereka. Kakak suami pula bertindak seolah-olah rumahtangga aku dan suami ini, dia yang punya. Semua diatur sesuka hati dia.

Di rumah mereka, mereka minta aku tidur berasingan dengan suami. Apa sahaja majlis keluarga mereka, wajib ambil cuti, wajib ada.

Dan suami pula, buat seolah-olah aku ni yatim piatu tiada keluarga. Aku tidak boleh sakit pening, suami terus maki-hamun dan banding-bandingkan aku dengan emak dan adik-beradiknya.

Seolah-olah aku ‘bermadu’ dengan keluarga suami.

Pada awalnya, suami aku masih menyebelahi aku. Kerana suami aku tahu bukan aku puncanya. Menangis suamiku kerana adik-beradiknya tidak menerima aku. Tapi, pada waktu tu aku hanya katakan sabar mungkin ambil masa sedikit. Aku masih positif.

Tapi, semakin diam semakin kuat ‘asakan’ dari mereka. Aku jauhkan diri kerana aku tahu tiada guna aku bertegang urat atau membalas mesej amarah mereka. Aku diamkan diri, jauhkan diri pun mereka tidak berpuas hati. Aku jauhkan diri kerana mereka terlalu melampau.

Apa mereka nak?

Suami pula jenis pantang dicuit hal keluarganya. Ya, suami aku hidup ‘bertuhankan’ keluarganya biarpun jelas aku tidak bersalah.

Aku adukan hal pada suami, sudahnya, suami aku pukul aku bertubi-tubi.

“Kau memang layak kena pukul!”

“Aku takkan layan kau baik selagi adik-beradik aku tak suka kau!”

Adik-beradik suami sungguh lancang mulut. Memanggil aku manusia busuk hati, mengatakan aku menyusahkan suami, menyeksa suami. Mereka sedap katakan aku control suami. Aku berharap satu hari nanti suami-suami mereka buat hal dengan perempuan lain, baru mereka tahu tinggi rendah langit.

Biras?

Oh aku ada biras. Mulanya kakak tu seolah-olah prihatin dengan apa yang berlaku. Tapi rupanya biras aku talam dua muka. Banyak cerita buruk keluarga suami dia ceritakan pada aku, kisah bekas-bekas kekasih suami aku, kisah adik-beradik suami.

Dah puas dia bercerita hingga goyah rumahtangga aku, aku tengok dia elok je bersama adik-beradik suami. Sedangkan dia ceritakan pada aku, dia juga turut ‘didera’ oleh adik-beradik suami. Hakikatnya, biras aku bermuka-muka.

Buat biras, moga kau insaf. Hidup talam dua muka ni takkan ke mana. Kau bawa mulut rupanya untuk kepentingan diri kau. Ada kifarah menunggu kau, kak.

PENAFIAN

Rentetan caci-maki dan pukulan yang suami aku lakukan kepada aku, akhirnya aku adukan pada keluarga aku. Keluarga aku juga tidak percaya pada mulanya. Kerana karekter suami aku yang membuatkan orang tak percaya dia seperti itu.

Apabila diceritakan kepada kedua ibubapa suami, mereka melenting, tidak dapat terima kenyataan bahawa suamiku seperti itu.

Mereka nafi sehabis-habisnya. Ya, penafian membabi-buta.

“Dia tak pernah pukul maki adik beradik dia”

“Dia tak pernah bergaduh dengan orang”

Siapa sangka, aku berhadapan dengan keluarga mertua yang sangat mencabar.

Mereka tuding jari katakan punca daripada aku. Emak suami katakan aku kuat cemburu, aku kawal suami. Aku dikatakan menyeksa hidup suami. Aku juga diminta untuk hadap sahaja mulut jahat adik-beradik perempuan suamiku.

Mana bukti aku seksa suami?

Isteri mana tidak cemburu jika terang jelas suami ambil gambar berpelukan dengan perempuan, sedangkan isteri ditinggalkan di rumah?

Siapa yang tidak makan hati apabila tengok suami bermesra-mesraan dengan perempuan lain?
Adakah aku minta wang ringgit?

Siapa yang jaga makan minum pakai suami aku hingga dia berisi berbanding sebelum kahwin?
Siapa yang bangun seawal pagi siapkan bekal suami, siapa juga yang balik kerja terus masak demi suami tanpa pernah merungut letih?

Siapa juga yang terpaksa beralah setiap kali suami katakan tiada duit sedangkan aku tahu suami habiskan untuk keluarga dia?

Siapa yang beralah sering ditinggalkan berminggu lamanya kerana suami sibuk uruskan hal keluarga dia yang tak sudah-sudah?

Siapa yang setiap kali makan, dahulukan suami dan aku pura-pura katakan aku kenyang?

Dan.. siapa juga yang lebam-lebam dipukul ditumbuk dicaci-maki berkali-kali?

Sudahnya?

Emak suami terus menghasut, memaksa suami ceraikan aku bersaksikan ibu aku sendiri.

Ya. Aku lihat suami aku tunduk seperti orang bodoh di tepi emak dia.Tapi dia tidak ceraikan aku pada waktu tu.

Dan memang keluarga suami berkali-kali hasut suami untuk ceraikan aku. Sehingga ke saat ini.

Suami aku?

Sering kata dirinya tersepit.

Sudahnya? Aku yang menjadi mangsa dalam segala hal. Hak aku sebagai isteri dipijak-pijak. Maruah aku sebagai isteri dihenyak sewenangnya oleh suami dan keluarganya.

********************

Oh panjang sungguh kisah aku. Menitis airmata waktu aku menaip. Hitam sungguh rupanya jalan hidup aku.

Doa orang teraniaya tiada hijab. Aku bermohon Allah swt memberi kifarah kepada mereka. Aku tak mampu untuk memaafkan mereka. Hati aku terlalu luka.

Buat suami,

Aku isteri yang baik. Kau sendiri katakan pada aku. Kau yang akan rugi dan menyesal kerana akan hilang isteri yang sangat cintakan kau. Kau yang tidak lindung isteri kau selama ini. Kau yang biarkan rumahtangga kita ni hancur dek kerana ego dan bongkaknya kau. Dayusnya kau sebagai suami kerana tidak membela isteri kau.

Hidup kau? Kau hanya tahu jaga hati keluarga kau, dan perempuan-perempuan yang kau gilakan sangat tu.

Tunggu aku di neraka. Sebab aku yang akan heret kau ke neraka, wahai suami. Tak terhitung dosamu pada aku.

******************

Nanti aku akan sambung lagi.

Doakan aku.
Jaga diri.

– X (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *