Assalamualaikum admin dan para pembaca. Hari ini aku teringin berkongsi kisah erti sebuah perkahwinan. Masa aku kecil-kecil dulu, emak dan abah aku sering duduk berjauhan. Abah terpaksa tinggal jauh atas faktor pekerjaan. Maka, maklah yang banyak waktu dengan kami 8 beradik.
Ingat lagi, masa itu aku ni tak ngam langsung dengan mak aku. Aku rasa mak aku ni cerewet, garang sangat. Hari-hari aku tidur dengan kain pelikat abah aku sebab aku rindu sangat kat abah. Abah tak segarang mak. Kiranya kalau abah ada bolehlah aku mengada lebih.
Semakin dewasa, semakin kerap pula aku tengok mak dan abah bergaduh. Ada je benda tak kena. Dari segi kewanganlah selalunya. Adik-beradik ramai. Masa tu semua tengah membesar dan struggle dalam sekolah.
Saban tahun bayaran yuran ada yang tertunggak. Tengoklah apa yang penting dibayar dulu.. Yang lain bayar bila ada duit lain. Tapi seingat aku kami adik-beradik dapat baju, kasut dan beg baru setiap tahun. Dalam keadaan ekonomi keluarga yang tak seberapa tu, tak pernah pula kami rasa sendu bila sesi persekolahan baru dibuka.
Bila dah masing-masing belajar jauh, banyak juga isu semasa yang timbul. Masa ini rasa stress tengok mak dan abah asyik bergaduh lagi. Tambah bila kau dah besar, mak abah luahkan perasaan kat kau.
Sebagai anak, mestilah kau nasihat yang baik-baik dan positif je kan. Tapi dalam masa yang sama, susah mereka nak terima nasihat kau sebab apa yang mereka alami lebih dari itu. Lepas tu aku lak stress sorang-sorang memikirkan macam mana nak baik pulih hubungan mak dan abah aku.
Bila kau dah semakin dewasa, lagi banyak cerita pelik-pelik mengenai perkahwinan adik-beradik mak, adik-beradik abah yang singgah di telinga kau. Rupanya perkahwinan ini banyak cabarannya. Kalau tak masalah adik- beradik sendiri buat perangai, masalah ipar duai pula.. Tak pun babit sekali datuk dan nenek kau. Masa ini lagi terfikir kuatnya cobaan perkahwinan.
Sampai masa aku pula yang berkahwin. Dalam takut-takut pasal perkahwinan, jodoh itu tiba jua. Mak dan abah aku selalu pesan jangan takut kahwin. Tapi aku selalu bebel, kahwin ni lagi stress. Single is better sebab kau jaga hati kau sendiri dan ikut suka hati kau lah nak create kehidupan kau macam mana. Bila dah kahwin kena asimilasi dengan pasangan dan keluarga pasangan. Kau ingat senang?
Masa ini juga aku flashback kembali kenapa mak aku garang, kenapa abah aku cool. Perempuan kalau penat emosi memang dia akan jadi singa. Lelaki bukan tak penat emosi, tapi letak tepi. Lagak tenang. Kalau tak tenang, aku agak lagi burnout daripada perempuan.
Aku ingat lagi mak dan abah aku masing-masing cari duit untuk penuhi permintaan anak-anak. Tak nak anak-anak rasa susah. Aku tengok abah aku tak kisah dalam dompet dia ada beberapa ringgit je. Dompet pun kadang lusuh sangat. Tak kisah nak beli dompet baru. Mak aku pula tak kisah pun baju tak berganti tiap bulan, janji anak-anak cukup makan pakai.
Dalam sebuah perkahwinan takde maknanya kalau tak gaduh, bermasam muka, drama itu ini. Mereka berjuang membesarkan anak-anak kot. Bila mak dan abah aku masing-masing dah pencen, aku tengok mereka lebih tenang dan cool dari dulu. Mereka dah banyak masa untuk diri sendiri.
Alhamdulillah, mereka sihat hingga dapat bermusafir di bumi Tuhan ni. Aku tengok sekarang mereka dah kurang gaduh. Kalau gaduh pun gaduh-gaduh sebab nakkan perhatian je. Sebab makin mereka berusia, makin sensitif. Lagipun dah sebati sangat dengan perangai masing-masing. Tak lagi macam muda-muda dulu. Gaduh sampai kami, si anak-anak pun makan hati.
Walau dulu aku stress dengan perkahwinan mak dan abah aku, aku rasa banyak bad habit mereka yang aku tak berkenan. Kini, bila aku sendiri dah berkahwin aku nampak kenapa semua itu terjadi. Aku tahu perkahwinan itu tak sempurna dengan sendirinya, tapi aku belajar untuk sama-sama menyempurnakan perkahwinan dengan pasangan aku.
Jadi, kalau nampak ibu bapa kita bergaduh tu biasalah.. Sebagai anak doakan yang terbaik untuk mereka. Jangan sampai kita berdendam dengan sikap mereka. Jika selagi mereka tidak melanggar suruhan agama, tidak buat yang bukan-bukan kepada kita, bersabarlah dengan karenah mereka.
Aku doakan kita semua diberi kelapangan melihat hikmah dalam setiap ujian. Mungkin ujian aku tak sehebat ujian keluarga lain. Tapi aku percaya setiap ujian itu yang termampu untuk kau hadapi. Sebab aku pernah down sangat rasa teruk dengan ujian sebuah keluarga. Sampai satu masa aku rasa kecilnya ujian berbanding nikmat yang diberi. Dan akhirnya kau sedar ujian itu menguatkan kau. InsyaaAllah.
– S. P. (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit