Assalamualaikum semua. Saya perkenalkan secara ringkas tentang diri saya. Saya Mika (bukan nama sebenar).
Sebelum itu saya memohon maaf sekiranya penulisan saya tidak cukup perisa dan agak berterabur. Saya berumur lewat 20 an dan hampir menjangkau 30 an. Saya masih bujang dan bekerja di sektor swasta di ibu kota.
Ke “malang” an timbul apabila saya masih lagi bujang dan masih tidak mempunyai teman rapat. Tidak berkahwin pada usia saya sekarang menyebabkan saya dikatakan malang. Ungkapan ini keluar dari mulut orang yang saya sayangi iaitu ibu saya.
Ibu saya sangat berharap untuk saya mendirikan rumah tangga sebelum umur saya menjangkau 30 an. Setiap bulan saya akan pulang ke kampung di utara tanah air. Setiap kali pulang ke kampung, pertanyaan yang sama keluar dari ibu saya , “bila nak kahwin”, “dah ada calon ke”, “jangan lama-lama cari calon”.
Kadang-kadang saya terlalu tertekan dengan pertanyaan tersebut. Bukan tertekan dengan orang sekeliling tapi dari ibu saya sendiri. Saya hanya mampu menjawab ,”insyaAllah nanti adalah”.
Ada ketika saya sehingga meninggikan suara kerana soalan berulang kali yang saya terpaksa hadap. Saya juga pernah menyuarakan “kalau tak kahwin pon tak apa. Saya boleh jaga mak dan ayah”. Tapi ibu sebaliknya. Dia menyuruh kahwin untuk ada orang jaga saya bila saya sakit dan tua nanti.
Episod malang saya bila, ibu mula menyuarakan untuk bawa saya pergi berubat cara tradisional. Konon ada gangguan syaitan yang melambatkan jodoh. Caranya dengan buat air penawar dan mandi bunga untuk buang malang-malang yang ada pada saya.
Bila saya dengar perkataan “malang” tu hati saya terus tersentap. Ya Allah malang ke aku.. Tidak semena air mata aku jatuh dan menangis teresak-esak depan ibu saya. Aku persoalkan, “kenapa sampai nak mandi bunga untuk buang malang?
Itu semua khurafat dan syirik. Saya tak sanggup. Saya masih ada Allah untuk mengadu dan memohon pertolongan. Kalau betul ada gangguan bawa saya ke darul syifa atau jumpa ustazah.
Jawapan ibu saya, “hanya untuk ikhtiar. Bukan percaya”. Bagi saya apa-apa yang kita ikhtiarkan kena ada percaya dan yakin. Jadi, saya tidak dapat menerima cadangan untuk dibawa berubat.
Lagi pula, saya kenal dengan orang berubat tersebut. Memang wanita tapi sekadar pengamal perubatan kampung dan saya sendiri pernah nampak dia mengurut tidak mengira jantina. Jadi, saya langsung tidak yakin dengan apa method perubatan dan bacaan yang digunakan sekiranya menjalani perubatan tersebut.
Walaupun saya rasa ibu dan ayah agak kecil hati. Niat mereka hanya untuk menolong saya. Tapi mereka akur dengan keputusan saya. Namun, dalam masa yang sama saya sangat terkilan dan sedih kerana dianggap malang kerana tidak bertemu jodoh.
Saya sentiasa bersangka baik tentang jodoh akan tiba bila sampai waktunya. Tipulah jika saya tiada keinginan untuk hidup berpasangan seperti orang lain. Saya ada berusaha untuk kenal rapat dengan beberapa orang teman. Tapi tidak berpanjangan.
Jadi, saya tidak lagi terlalu tergesa-gesa untuk ke alam perkahwinan. Lagi pula, saya lebih selesa bergerak untuk pulang ke kampung dan memenuhi permintaan ibu ayah untuk ke mana sahaja.
Saya berharap para pembaca tidak mengecam tindakan ibu saya. Perkongsian saya adalah semata untuk meminta pendapat tentang cara untuk handle dan beri jawapan yang munasabah untuk saya berhadapan dengan pertanyaan ibu saya lagi pada masa akan datang. Terima kasih daun keladi gais!!
– Mika (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit