Pergi Yang Tak Akan Kembali

Assalamualaikum. Nama aku Nadia. Tujuan aku menulis di sini adalah untuk sekadar meluahkan rasa sedih aku.

Aku kehilangan seorang rakan rapat yang begitu baik dan merangkap juga kepada teman lelaki aku. Nama dia Muhammad. Muhammad merupakan seorang pelajar yang menuntut di institusi yang sama denganku. Aku berjumpa Muhammad pada tahun lalu ketika kami mula-mula mendaftar di institusi.

Pada mulanya, aku dan Muhammad tidak pernah sependapat. Muhammad sering melakukan lawak yang menjengkelkan. Namun setelah aku kenal hati budinya, aku tau Muhammad tidak seperti lelaki lain.

Muhammad merupakan anak sulung dalam keluarganya. Dia berasal daripda status keluarga yang susah. Walaupun sering dihimpit kesusahan, Muhammad tidak pernah berputus asa untuk belajar.

Satu hari, Muhammad pernah bertanyakan soalan yang begitu ganjil padaku. Dia bertanya jika satu hari nanti dia sudah tiada, apa yang akan berlaku terhadap keluarganya? terhadap aku dan kawan-kawan kami. Aku menjawab dengan tenang bahawa kami semua akan baik-baik sahaja.

Di situ, kami berdua berjanji untuk kejar cita-cita kami dan bahagiakan kedua orang tua kami. Muhammad juga berjanji kepadaku bahawa dia akan mengahwiniku setelah dia membahagiakan kedua orang tuanya.

Tanpa disedari, kami telah berkenalan selama 1 tahun. Aku telah pun membelikan Muhammad seutas jam tangan yang dia inginkan dari dulu. Malam itu, Muhammad menelefonku dan bertanyakan tentang keadaanku, dia juga menemani aku belajar lewat malam walaupun dia tertidur. Dia juga berpesan padaku untuk membawa nasi goreng pada esok hari.

Pagi itu, aku berasa tidak sedap hati namun gagah bangun untuk bersiap. Aku juga sempat menggorengkan nasi seperti yang diminta oleh Muhammad. Seperti biasa aku menjalankan rutin harian.

Berita yang ku terima begitu mengejutkan. Kawan-kawan juga seperti tidak percaya. Aku ke tempat kejadian sambil berdoa kepada Allah agar semua ini hanyalah mimpi. Tiba di tempat kejadian, aku lihat Muhammad terbaring di atas tanah. Kakinya hancur.

Allah sahaja yang tahu perasaan aku ketika itu. Saat Muhammad dibawa ke atas, aku hanya kaku sambil menangis, tidak tahu apa yang perlu aku lakukan. Semua orang yang berada di tempat kejadian memelukku ketika itu.

Aku pergi ke rumahnya untuk melihat wajah Muhammad buat kali terakhir, wajahnya kelihatan tenang dan pucat. Aku menangis sekali lagi apabila melihat wajahnya yang seakan-akan tersenyum ke arahku.

Muhammad dikebumikan pada waktu maghrib. Ketika keluar dari tanah perkuburan itu, aku teringat dengan lawaknya dimana dia ingin disemadikan bersamaku di tanah perkuburan tersebut. Sekali lagi, hatiku menjadi sangat sayu.

Keesokan harinya kehidupanku sangat berbeza sebelum ini. Aku hanya mendiamkan diri dan kadangkala aku ketawa terbahak-bahak sehingga aku menangis seorang diri. Kedua orang tuaku sangat risau akan kesihatan dan keadaanku. Mereka juga takut jika pelajaranku terjejas disebabkan kejadian ini.

Aku mula beransur pulih. Melihatkan keadaan org tuaku membuatkan ku sedar bahawa mereka juga turut terjejas. Hari demi hari, aku cuba untuk menggembirakan orang-orang di sekeliling ku. Kadangkala aku sendiri yang merasakan bahawa aku sedang berlakon untuk sembunyikan air mata.

Setiap hari aku berdoa kepada Allah untuk kembalikan semangatku dan terus kuat menghadapi ujiannya ini. Setiap malam juga aku menangis dengan menghraapkan bantuan daripada Allah. Aku tau aku juga merupakan insannya yang begitu bodoh kerana melupakan Tuhannya ketika senang. Aku juga tidak pernah berhenti mendoakan ketenangan buat arwah Muhammad.

Hadiah jam tangannya masih ku simpan di dalam laci. Tiada seorang pun yang sanggup membuka hadiah tersebut. Nasi goreng yang ku buatkan untuknya pada pagi itu juga terpaksa ku buang kerana basi. Pemiliknya juga tidak sempat merasakannya.

Kini, sudah genap sebulan Muhammad telah kembali ke rahmatullah. Kami semua masih lagi mencari cara untuk mengubati rindu terhadapnya. Begitu juga dengan ibu Muhammad yang begitu terkesan dengan pemergiannya.

Muhammad, walaupun jodoh kita tdk kesampaian, aku akan sering mendoakan ketenangan mu di sana. Terima kasih atas segala nasihatmu dan sokonganmu. Walaupun hidup ini sukar untuk diteruskan tanpamu, aku cuba untuk kuat dan mara hingga ajal menjemputku.

Aku akan cuba langsaikan segala janji kita. Semoga kau tenang di sana Muhammad. Terima kasih juga kerana pernah menyayangi dan menerima segala kekuranganku. Aku berharap kita dapat berjumpa satu hari nanti. Insyaallah.

Al-Fatihah, Muhammad.

– Nadia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *