Assalamualaikum, saya Ina (bukan nama sebenar). Sebelum ini, saya ada terbaca di Luahan Orang Bujang mengenai “Adik Angkat”. Jadi saya ingin membuat sedikit confession di sini.
Saya merupakan anak yatim piatu yang kematian ibu bapa sewaktu saya berada di Semester 3. Keadaan pada ketika itu hanya Tuhan yang tahu, sebab saya tiada siapa-siapa yang sudi menjadi waris ataupun wakil bagi pihak arwah ibu bapa saya.
Saya sebatang kara, hanya sebuah rumah sahaja hasil titik peluh ayah saya bekerja selama 40 tahun. Duit simpanan ibu, semuanya ibu simpan di dalam acc saya tanpa pengetahuan saya sehinggalah saya menyambung Ijazah. Perkara itu sedikit meringankan beban saya untuk menampung kos pengajian di sebuah IPTS memandangkan saya tidak mengambil mana-mana pinjaman di atas permintaan mereka.
Setelah saya tamat belajar, saya diterima kerja di sebuah stesen media dan saya bertemu dengan cinta pertama saya. Saya yang tidak pernah bercinta menjadi seorang yang agak kekok dan mempunyai perasaan terlalu menyayangi dan cinta pada ketika ini.
Tiga bulan kami bercinta, kami terus mengikat tali pertunangan. Sepanjang tempoh pertunangan, saya diuji dengan kehidupannya sebagai artis suam-suam kuku yang dikelilingi dengan ramai kawan perempuan. Perasaan cemburu itu hadir, dan saya cuba telan, hadam dan positif dengan tidak menunjukkannya.
Hubungan dia yang terlalu rapat dengan kawan-kawan perempuannya sehingga bekas kekasihnya muncul semula dalam hidupnya. Si dia menerima kehadiran exnya dan mereka menjadi TEMAN TAPI MESRA. Hati tunang mana yang tak luluh dan hancur apabila dapat tahu mengenai perkara itu.
Si dia tidak memberitahu saya namun ex tersebut yang sendiri call dan memberitahunya, katanya si dia meminta ex nya untuk sendiri beritahu saya bahawa mereka menjadi teman tapi mesra dan si dia tidak dapat memberitahu kerana si dia sibuk dengan konsert bandnya.
Pada mulanya saya sukar untuk terima, tapi saya cuba positifkan diri dengan memujuk diri supaya tidak cemburu buta. Namun, sifat cemburu ini memakan diri saya, kesan daripada perkara ini, saya menjadi seorang yang tidak lalu makan, terlalu banyak berfikir sehingga susut 10kg.
Dengan si dia yang semakin hari semakin menjauhkan diri atas alasan sibuk memburukkan lagi keadaan. Prestasi kerja saya merosot sehingga saya terpaksa mengambil cuti untuk menenangkan fikiran dan perasaan.
Setahun berlalu, dan keadaan kami semakin parah. Sudah tiga bulan kami tidak berhubung dan berjumpa. Dia sibuk dengan kerjayanya sebagai penyanyi band yang hendak mula naik dan saya pula sebab saya ditransfer ke bahagian kewartawanan berita.
Kesibukan kerja yang melampau sehingga saya pernah tidak makan selama seminggu dan jadual saya terlalu padat sehingga menjadikan office sebagai rumah pertama manakala rumah sewa sebagai rumah kedua.
Pada satu hari, seorang remaja belasan tahun menghantar permintaan rakan kepada saya di Facebook. Saya membuka profilenya, dan ternampak satu post gambar dia menyambut hari jadi bersama si dia dengan caption “Abang Angkat buat suprise”. Saya scroll lagi, jumpa lagi post, “Hari-hari Videocall dengan abang kita”.
Air mata saya gugur dan pada malam tersebut saya call si dia dan bertanya. Si dia memberikan pelbagai alasan dan menyatakan bahawa saya kuat cemburu. Dia tidak memujuk saya malah memberi pelbagai alasan dan membela adik angkatnya.
Saya mengambil keputusan untuk merajuk dan keesokkan harinya, teman tapi mesranya dan adik angkatnya membuat satu group whatsapp dengan niat untuk kami berbaik. Di situ mereka meminta maaf dan tak tahu kenapa saya lembut hati untuk memaafkan mereka dan menerima kehadiran mereka.
Sebulan kami menjadi rapat, sehinggalah adik angkat ini, menghantar screenshot yang tidak sepatutnya. Tangkapan skrin yang menunjukkan mesej lucah si dia bersama adik angkat. Ingin menjadikan ianya sebuah lawak, saya pun mengambil keputusan untuk berpura-pura tidak kisah dan mengorek apa lagi yang disembang mereka.
Ternyata, teman tapi mesranya dan adik angkatnya sering sexchat tanpa pengetahuan saya. Luluh hati saya, namun saya berpura-pura tenang di sebalik skrin. Saya menghubungi kawan rapat saya dan mula mengadu. Dia menyuruh saya tinggalkan si dia, namun saya memikirkan yang tarikh majlis perkahwinan kami lagi 2 bulan, jadi saya mengambil keputusan untuk menelan sahaja perasaan.
31 Ogos 2015 sepatutnya majlis pernikahan kami berlangsung. Namun kami putus pada 1 Ogos. Puncanya ialah apabila si dia meminta untuk menangguhkan majlis atas alasan tidak bersedia. Kami bertengkar dan keesokkan harinya dia keluar untuk menenangkan fikiran di Krabi dan dia membawa adik angkatnya.
Remaja itu sanggup memonteng sekolahnya semata-mata untuk bersama dengan abangnya. Saya mendapat tahu apabila rakan pejabat saya yang merupakan seorang pengacara sedang melakukan penggambaran terserempak dengan mereka. Team mereka mengambil gambar dan merakam video lalu menghantarnya kepada saya.
Atas permintaan saya, mereka sanggup untuk menyiasat dan ternyata, si dia bersama dengan adik angkat, kakak angkatnya dan seorang wanita yang tidak saya kenali. Seorang lelaki dan 4 perempuan. Silap saya menyerang perempuan2 itu, setelah beberapa hari mereka tiba di Malaysia, dan si adik angkat meraih simpati di media sosialnya dan saya mendapat pelbagai kecaman…
KAU DENGAN BUDAK KECIK PUN NAK GADUH,
DIAORANG KAWAN JE, APA YANG KAU RISAU SANGAT? NAK KAHWIN DAH KAN?,
DASAR PEREMPUAN CEMBURU BUTA,
ALAHH GF JE, BUKAN SUAMI PUN KALAU KAU NAK MEROYAN,
BERKAWAN JE, TAK PAYAH NAK SYAK WASANGKA SANGATLAH..
dan pelbagai kecaman lain… sehingga akaun facebook saya direport dan ditahan selama seminggu. Hubungan kami retak begitu sahaja dan kami membawa haluan masing-masing. Sepanjang pengtengkaran, saya mengeluarkan apa yang terbuku dan tangkapan skrin, menurutnya kesemua itu adalah hanya satu gurauan, namun saya tidak boleh menerimanya dan hubungan kami retak.
Setelah pada itu saya mengambil keputusan untuk menyibukkan diri dan melupakan si dia. Sikap sukar untuk move-on timbul di otak saya untuk mengarang dan memberi pelbagai cadangan kepada syarikat untuk mengulas isu mengenai kes saya ini dan kebanyakan cadangan saya diterima dan disokong. Namun, itu semua telah 4 tahun berlalu. And benarlah, kata-kata adalah doa.
Jika dahulu saya sering berkata “He’s the one and the last”. Saya kini sudah memasuki fasa 30an dan menjadi anak dara tua. Hati ini masih belum terbuka untuk menerima mana-mana lelaki kerana saya serik dan trauma dengan pengalaman silam. Mungkin ada yang tertanya tidak pernah berbincang untuk memperbaiki hubungan? Jawapannya sudah banyak kali, tapi hasilnya saya yang akan makan hati.
Nasihat saya di sini, mungkin ada yang boleh ambil ataupun tidak, janganlah biarlah pasangan kamu untuk mempunyai Teman Tapi Mesra ataupun adik-beradik angkat ni, melainkan dia mempunyai keluarga angkat. Biarlah orang cop kita cemburu buta janji hubungan kita selamat.
Tidak kisahlah walaupun kita ini lebih lawa dan cantik daripada mereka. Tapi kalau nak ada juga, seeloknya pantau lah, sebab setia itu mahal dan susah dicari, lebih baik kita latih mereka untuk menjadi setia sebagai langkah berjaga-jaga bagi tidak terjadinya perkara ini.
Maaf jika saya menulis dengan penuh emosi. Assalamualaikum.
– Ina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit