Fitnah Dunia

Assalamualaikum. Sebenarnya dah lama aku nak tulis luahan kat sini tapi asyik terbantut sebab tak tahu macam mana nak mula, macam mana nak kata.

Tiga tahun lepas rumah tangga aku diuji, seberat-berat ujian terhadap sebuah perkahwinan. Ini ujian kedua lepas diuji lambat dapat anak. Alhamdulillah lepas 3 tahun dapat seorang. Tak… suami aku tak curang. Tapi dia dituduh mencabul seorang budak yang kami kenal baru je tak sampai sebulan.

Mula-mula polis datang ambil dia, memang aku terkejut. Aku mula ragu. Aku rasa macam aku tak kenal siapa dia. Betullah orang kata 5 tahun pertama perkahwinan tu ujian memang hebat kan. Kalau orang yang tak kenal rapat mesti ragu jugak pada dia.

Selepas pertuduhan rasmi kat mahkamah, aku lega. Lega sebab suami aku tak bersalah. Aku tahu sebab tarikh dan masa orang tuduh dia buat tu, dia dengan aku. Dan kami ada dengan orang lain. Tapi kes kanak-kanak memang payah lepas. Kau cakap la apa sahaja, bawaklah saksi seramai mana pun… kau tetap kena. Naik ke mahkamah tinggi pun sama.

Sekarang tengah usahakan mahkamah rayuan tapi kos bukan sikit ye… sebelum ni pun dah habis 20k.. ni nak kena 20k lagi. Sebab tu fitnah adalah lebih dahsyat dari membunuh. Bukan setakat duit je habis, kecederaan emosi pun tak terkira. Berbulan-bulan suami aku trauma. Siapa je tak tertekan kalau baik-baik je hidup tak kacau orang… ke mana-mana dengan anak isteri, tiba-tiba kena angkut ke balai.

Kena pukul paksa mengaku benda yang dia sendiri tak tahu hujung pangkal. Kena tidur lokap yang kotor. Nak solat susah.. terpaksa tengok arah matahari. Seluruh keluarga terlibat.. semua orang trauma. Yang menuduh pulak bukan orang baik… bersekedudukan dengan teman lelaki bawa anak-anak. Entah-entah budak tu kena dengan orang lain kan. Wallahualam.

Sedikit info tentang kes kanak-kanak, ada undang-undang yang lindungi mereka. Apa saja yang mereka cakap, dianggap benar walaupun kenyataan tu pusing-pusing putar belit tak logik. Kononlah “budak-budak tak menipu” kan. Ye ke macam tu? Budak-budak sekarang bukan macam zaman dulu-dulu. Diorang lagi advance. Lagi kalau dah dilatih.

Lepas tu sesiapa yang memberi info tentang kanak-kanak tu tak boleh disaman ya kemudian hari walaupun lepas tertuduh berjaya dibuktikan tidak bersalah. Memang lah undang-undang ni dibuat untuk melindungi kanak-kanak yang betul-betul jadi mangsa. Tapi ramai yang ambil kesempatan, kenakan orang lain lagi-lagi cikgu.

Aku tahu kalau ada orang jahat baca ni, tambah la idea nak kenakan orang. Senang je nak aniaya orang. Gunakan budak. Tapi ingatlah, dosa tu tak terbayangkan akal. Api neraka tempatnya. Aku bagitau ni supaya kita semua lebih berhati-hati, lebih prihatin. Jangan nampak berita pasal kes seksual kanak-kanak je terus melulu share, komen kutuk macam-macam.

Hey belum tentu orang tu betul-betul bersalah tau! Public interest… semua gerenti sabit bersalah untuk keluar surat khabar lah. Banyak kes terpencil tak mampu nak ikat jamin, tak mampu teruskan rayuan perbicaraan.. masuk macam tu je la.

Sekarang pun aku sedang diuji fasa kedua perkahwinan. Anniversary ke 8 nanti suami aku takde di sisi. Aku tak pernah terbayang akan ada pengalaman melawat suami di penjara. Kali pertama aku tengok dia, dia menangis nak keluar. Tapi sebab prosedur makan masa, jadi kami terima ni ujian Allah. Lapan tahun tak pernah berpisah langsung, kami terima harga kena bayar 8 bulan ni.

Kami redha Allah uji sebab sayang. Kami terima part berjauhan ni, tapi masih belum putus asa atas sabitan. Tak kisah la kalau perbicaraan nanti lepas dia dah selesai hukuman pun, janji cuba bersihkan nama. Tak cuba nanti menyesal. Tak cuba nanti orang kata kenapa mengalah kalau tak bersalah? Ya, pandangan masyarakat bawang ni susah betul.

Kelmarin aku dengar khutbah Nouman Ali Khan. Korang dengar la… dia tafsir ayat quran. Bukan terjemahan ye. Salah satu lecture tu tajuk dia “Faith in Allah’s Plan” (https://www.youtube.com/watch?v=kfhdMWMEVcI&t=217s ). Dia kata hidup ni memang susah, penuh ujian. Tapi setiap apa yang berlaku tu sentiasa ada sebab, ada hikmah yang kita sendiri tak perasan.

Kadang-kadang kesusahan kita tu bukan hikmahnya untuk diri kita sendiri, tapi orang lain. Kita takkan pernah tahu sebelum ianya berlaku. Tapi yakinlah dengan aturan Allah. Orang yang tak beriman pun, orang jahat tu pun sebenarnya hamba Allah. Mereka pun sedang melaksanakan rancangan Allah tanpa mereka sedar.

Suami aku selalu kata, selalu ingatkan aku… semua yang berlaku, baik atau buruk semuanya atas izin Allah. Kita ni hanya pelakon-pelakon atas pentas yang Allah dah tentukan jalan ceritanya. Bersyukurlah kita terpilih dalam golongan yang beriman, bukan sebaliknya. Jangan sesekali kita bersangka buruk pada Allah walau apa pun dugaan yang kita hadapi. Sepatutnya segala ujian tu buat kita lebih dekat dengan Pencipta.

Ok dah la.. terpanjang pulak… Lain kali aku tulis pasal summary khutbah lain pulak kalau ada masa. Doakan semua urusan kami dipermudahkan ya.. semua doa tu akan kembali kepada korang juga nanti. Semoga kita semua terselamat dari fitnah dunia ini. InsyaaAllah.

– The Good Wife (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *