Assalamualaikum pembaca sekalian. Aku penulis yang dah beberapa kali menulis di ruangan iiumc ni. Mungkin korang boleh agak atau teringat selepas melihat gaya penulisan aku.
Kali ni, aku menulis untuk menceritakan beberapa kisah setelah 2 tahun berada di sektor kesihatan awam. Pengalaman walaupun hanya 2 tahun ini memang banyak mengajar aku erti sebuah kehidupan, kekeluargaan, perhubungan dan kebencian.
Disini aku bawakan pada kalian pembaca beberapa kisah utama diantara kisah kisah yang telah aku lalui sepanjang bekerja sebagai seorang Penolong Pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital. InshaAllah akan dikongsi lagi jika ada masa diwaktu hadapan.
…………………
KISAH 1
Masih aku ingat. Hari itu hari terakhir untuk cuti persekolahan. Hari ahad sekitar jam 10 pagi. MECC mengarahkan kami untuk bertindak merespon satu kes kemalangan jalan raya melibatkan seorang penunggang motorsikal berkuasa tinggi.
Sampai di tempat kejadian, mangsa tidak mengalami kecederaan luaran yang serius akan tetapi keadaan mangsa meracau racau sehingga kami tidak dapat menilai tahap kesedarannya secara tepat. Cuma ada kepatahan tulang tibia yang jelas nampak struktur tulang yang membengkok.
Aku suspek pesakit ini mengalami kecederaan kepala yang teruk dan berlaku pendarahan dalaman. Kami terus memberi rawatan awal dan memecut laju pesakit ke hospital secepat mungkin. Beberapa km sebelum sampai mangsa tidak sedarkan diri dan kami melakukan aktif resusitasi (CPR).
Sesampai sahaja di hospital cpr diteruskan hingga hampir 1 jam dan kemudiannya berhenti disebabkan tiada respon. Pegawai perubatan meminta waris untuk masuk dan ingin menerangkan tentang keadaan jantung pesakit yang sudah berhenti.
Tidak lama kemudian, masuk seorang wanita dengan perutnya yang memboyot diiringi 2 kanak kanak sekitar 8 dan 10 tahun. Menjerit meraung si anak memanggil si bapa hingga tidak keluar suara di hujungnya. Si isteri menangis sambil menyahut pilu memanggil sang suami yang tidak lagi bernyawa. “Saya dah pesan abangg kurangkan hobi ni. Macam mana saya nak besarkan anak anak ni banggg”. Kami cuma mampu terdiam kaku di tepi kumpulan keluarga itu.
Apa yang aku dapat dari situasi ni, kita ada hobi tak salah, tapi berpada pada. Memang seronok bawa motorbike layan corner tapi ingatlah keluarga kita di rumah. Masih ramai memerlukan kita terutama anak anak yang sedang membesar. Sanggup kah kita tengok anak anak membesar tanpa kasih seorang dari orang tuanya? Iyaa ajal maut dah ditentukan. Tapi kita masih boleh mengelakkan apa yang boleh beri kemudaratan pada kita.
………………
KISAH 2
Malam tu hujan tersangat lebat. Di zon merah kami ada 7 orang pesakit. Seorang pesakit berumur 28 tahun sedang di beri bantuan pernafasan aktif resusitasi (CPR) selepas menerima serangan jantung. Iya terlalu muda untuk mendapat serangan. Punca utama yang dapat dikenal pasti adalah ACTIVE SMOKER. 2 kotak dalam satu hari. Anaknya 3 orang menunggu di ruangan menunggu. Allahuu..
3 orang lagi pesakit sedang mendapatkan bantuan pernafasan oksigen disebabkan serangan asthma yang teruk. Mungkin disebabkan cuaca yang sejuk, hujan dari siang hari tadi. Keadaan mereka masih belum stabil. 2 lagi pesakit terlibat dalam kemalangan.
Seorang mengalami pendarahan dalam kepala dan lagi seorang mengalami haemathorax dan satu pasukan sedang cuba untuk memasukan tiub kedalam dada bagi mengeluarkan cecair darah dari paru paru. Seorang lagi pesakit telah menemui ajal. Jenazah nya masih di zon merah sementara menunggu pasukan forensik membawanya ke rumah mayat bagi pengurusan terakhir.
Keadaan di zon kuning pula kucar kacir. Total pesakit pada waktu semasa adalah 17 orang. Padat ya rabbii.. tidak kurang juga zon hijau. Pesakit zon hijau penuh membanjiri kawasan menunggu hingga ke luar jabatan kecemasan kami. Pada malam itu aku berada di kaunter triage, pusat atau kaunter kawalan bagi setiap jabatan kecemasan di hospital.
Ramai pesakit yang datang ingin mendapatkan rawatan pasti akan melalui kami terlebih dahulu. Aku bertugas bersama adam pada ketika itu. Tiba tiba kami dijerkah oleh seorang waris yang marah disebabkan “lama” menunggu di zon hijau. Apabila di periksa, pesakit baru sahaja menunggu selama 30 min dan aduan utamanya adalah sakit lutut selama 2 minggu dan masih boleh berjalan.
Aku memang senang hilang sabar dan pada ketika itu waris pesakit itu menjerit jerit memarahi kami kerana meletakkan abang nya di zon hijau. Apa yang saya lakukan ketika itu hanya tersenyum kelat cuba bertindak profesional sambil meminta dia menunggu dan menjelaskan bahawa kami kekurangan staff. Dia cuma balas dengan jerkahan “itu masalah korang bukan masalah akuu!” Terus aku minta dia ikut langkah aku menuju masuk ke zon merah.
“Encik nak cepat? Macam mana dengan diorang semua ni? Adil ke kami berikan rawatan utama pada abang encik yang sakit dah 2 minggu tu sedangkan pesakit pesakit dalam ni lebih memerlukan kami untuk membantu mereka bertarung sama ada hidup dan mati? Ini JABATAN KECEMASAN, KECEMASAN! encik faham?. ”
Diam, Pucat, Kaku tak terkata. Itu saja respon beliau. “Saya mintak maaf encik. Saya tak tahu. Tak apa, saya tunggu, maaf”. Kemudian berlalu.
Sesetengah orang merasakan sakit dia lah yang paling sakit. Perlukan rawatan segera. Nak cepat nak cepat, nak cepat!. Tak kira sakit orang lain. Ada yang kata, belum kena pada ahli keluarga boleh laa.. tunggu punya lama.. yess! Situasi yang sama! Belum kena kat keluarga korang kalau masuk zon merah! Tahu laa macam mana.
…………….
KISAH 3
Bell berdenting 3 kali. Menandakan satu kes zon merah akan masuk. Tak lama kemudian kamil, PPP dari klinik kesihatan berdekatan berpeluh peluh sambil membawa satu pesakit yang berlumuran darah. Dari sosok tubuh nampak seperti kanak kanak. Iya. Kanak kanak ini berumur 5 tahun. Terlibat dalam kemalangan. Kamil terus passover case kepada Dr Sharifah.
“Dr, budak ni terlibat kemalangan jalan raya. Car skidded. Mangsa total tadi 3 orang. Ayah meninggal di tempat kejadian, white tag. Adik ni tercampak keluar dari kenderaan dan suspect intra abdominal injury dan ada severe head injury. Ibu dia otw. Ada 1 team lagi respon” terang ppp kamil panjang lebar.
Apabila mendengar penjelasan kamil, kami berpisah menjadi 2 team di redzone. Satu team cuba untuk resus adik yang baru masuh tadi, lagi satu team bersiap sedia menunggu satu lagi pesakit yang bakal tiba. Adik Syahmi memang kritikal. Bacaan tekanan darahnya sangat rendah. Team 1 diketuai oleh Dr. Syarifah terus melakukan proses intubasi.
Beberapa beg darah sudah di booking. Tak lama kemudian 3 bell berbunyi lagi. Pasukan kedua tiba dengan keadaan PPP Syazwan sedang melakukan CPR di atas stretcher sementara ppk dan pemandu menolak laju ke zon kami.
Allahuakbar! PPP Syazwan memjerit dan memberitahu bahawa pesakit ini tiba tiba sahaja collapse (tidak sedarkan diri, tiada nadi) di dalam ambulans. Dan terdapat pendarahan yang banyak berikutan kaki kanan nya mengalami kecederaan yang dahsyat dan hampir putus.
Pada ketika itu kami benarkan ahli keluarga terdekat untuk masuk dan melihat ahli keluarga. Masuk seorang wanita tua menangis teresak mengajar anak perempuan kesayangannya mengucap. Allahhh.. Allahh… Allah.. dan berpindah mengusap rambut cucunya yang keras dek darah kian membeku.
Pada ketika itu juga, terdetik di hati aku kematian itu datang dengan pelbagai cara. Banyak jenis fasa kematian yang aku dah jumpa dan dah hadap.
Ada yang dijemput sekali satu keluarga, ada yang meninggal keseorangan di rumah berhari baru jumpa, ada yang cuba berjuang untuk hidup tapi ajal dah tiba, ada yang bosan nak hidup ambil jalan singkat cuba ambil nyawanya sendiri.
Moga kita antara insan yang terpilih mati dalam khusnul khatimah. Moga Allah terima juga amalan amalan kami dan berkati hidup kami selama kami membantu insan insan yang sakit untuk kembali sihat menjalani kehidupan hari hari mendatang. InshaAllah Aamiinn.
– Assistant Medical Officer, Penolong Pegawai Perubatan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit