Assalamualaikum dan hai admin. Nama aku Hida. Aku anak ke-4 dari empat orang adik beradik. Aku belajar di sebuah ipta di negeri bawah bayu. Ini adalah confession pertama aku.
Sebelum tu aku ingin menerangkan serba sedikit tentang penyakit yang aku alami ini. Umumnya Bipolar Disorder adalah penyakit mental yang melibatkan perubahan emosi yang melampau. Seseorang boleh menjadi terlalu gembira mahupun terlalu sedih.
Aku bermula sakit pada bahagian jari. Jari-jari aku mula bengkak pada hujung tahun lalu. Pada mulanya aku tak ambil kisah tapi semakin hari keadaan jari-jari semakin teruk sehingga tidak mampu menggenggam dan mengganggu aktiviti aku sebagai seorang pelajar. Aku tidak mampu menulis dengan lancar tetapi pada masa itu aku belum decide nak jumpa doktor, sehinggalah cuti sem 1.
Masa tu keadaan aku semakin teruk sehinggakan tulang-tulang dan semua sendi aku mulai sakit dan perih. Nak berjalan sangat payah. Ujian darah pun dibuat untuk mengesahkan penyakit aku sebab doktor syak aku kena rheumatoid arthritis iaitu penyakit autoimun yang menyerang sendi-sendi. Namun keputusan darah adalah negatif.
Sepanjang cuti sem selama sebulan aku dapat rasa yang aku stress sangat. Dalam tempoh tu aku cuma berkurung di dalam bilik sebab tidak mampu bergerak seperti biasa. Nak berjalan terpaksa dipapah dan demam hampir setiap malam dengan suhu yang terlampau panas.
Sehinggalah suatu malam aku tidak dapat lelapkan mata sehingga subuh dan bangun dalam keadaan sangat happy tanpa sebab. Mata pun mata panda waktu tu sebab memang hampir setiap malam sukar melelapkan mata. Pagi itu aku pengsan sekejap selepas tu aku terbangun dalam keadaan separa sedar. Aku merasakan ada sesuatu yang mengawal diri aku.
Pagi itu aku dibawa berubat di sebuah kampung. Dari itu bermulalah episod aku sedar tak sedar. Pada masa itu juga aku mula berhalusinasi. Aku nampak apa yang orang lain tidak nampak.
Antaranya aku nampak tsunami nak datang dekat, nampak seorang nenek tua tengah perhati aku, aku disuruh mengucap oleh seseorang tapi dia kata sebutan aku salah padahal aku sebut dengan betul syahadah ‘laailaahaillallah’. Aku juga dengar suara jeritan seolah2 dalam neraka. Aku takut sangat waktu itu. Aku takut segala yang ada di bumi. Seolah olah segalanya menghantui hidup aku.
Aku pernah ditahan di dalam wad selama seminggu. Di sana aku nampak dan dengar bermacam-macam. Aku sempat mengaku diri aku dajjal dan firaun sebab aku fikirkan dosa aku tak Allah ampunkan. Aku betul-betul ingat yang aku tengah hadapi sakaratul maut. Aku selalu rasa ada benda nak keluar daripada kerongkong aku.
Seminggu di hospital aku menjadi seperti orang yang kurang waras. Tangan aku diikat kerana melawan doktor. Tangan berlumuran darah sampai bengkak sebab aku leraikan jarum yang ada di pergelangan tangan. Doktor dan nurse sempat marah sebab aku tidak memberi kerjasama. Tetapi pada masa itu aku memang tidak sedarkan diri.
Semasa ditahan di dalam wad, aku ditempatkan di tingkat 7 dan ironinya aku nampak cuaca di tingkat 7 seolah-olah mendung lalu aku minta dibawa ke tingkat bawah. Kebetulan doktor nak check jantung di tingkat paling bawah sekali. Dengan serta merta aku melihat cuaca yang sangat cerah. Aku pun meronta untuk dilepaskan sebab aku nak ke langit seorang diri sebab cuaca masih cerah.
Setiap malam aku meminta kakak untuk memeluk aku sampai tertidur sebab takut aku akan terbang ke langit seorang diri. Sekurang kurang nya jika ada kakak adalah kawan di langit. Perasaan berani dan takut pada masa yang sama berulang seperti roda.
Aku sebenarnya tak ramai kawan. Di sekolah menengah aku merupakan seorang yang sangat pendiam. Aku cuma bercakap dengan seorang kawan yang duduk semeja dengan aku itu pun tidak terlalu rapat. Aku ibarat tunggul di dalam kelas. Cikgu sempat menggelar aku sebagai halimunan sebab terlalu pendiam. Aku menyifatkan sikap aku ni introvert yang ekstrim sampaikan aku disisihkan oleh kawan sekelas.
Sampailah aku masuk ke universiti awam. Pada mulanya aku ingat aku akan sendiri tanpa kawan yang aku kenal rupanya kawan rapat masa sekolah rendah dapat tawaran yang sama dengan aku di universiti yang sama. Bayangkan kami telah berpisah bertahun-tahun kerana keluarganya berpindah ke semenanjung tanah air, aku pula di negeri bawah bayu.
Perasaan pertama yang wujud dalam diri aku adalah sangat happy pada mulanya tetapi semuanya tidak seindah yang disangka. Aku bukan nak memburukkan kawan aku sendiri tetapi aku nak bagitau watak kawan aku supaya pembaca faham situasi yang sebenar. Aku gelarkan dia sebagai A.
A ni nice suka tolong orang, ambivert. Ada masa dia pendiam ada masa dia happy go lucky. Tapi satu hal yang aku kurang suka dengan sikap dia ialah dia suka cakap main lepas walaupun semasa berada di tempat awam, di hadapan kawan-kawan yang lain dan sepanjang tempoh 1 sem bersama-sama dengan A aku dapat rasa dia cuma layan aku di dalam bilik (oh ya kami roommate) tetapi di luar aku seolah olah asing bagi dia.
Dia ada ramai kawan sebab sikap dia yang peramah bertempat tetapi aku masih sendiri. SUNYI. Bukan nak minta simpati tapi perasaan rindu sebagai seorang kawan rapat yang terpisah lama masih membeku. Aku masih rindukan dia tetapi dia seolah olah berubah. Atau mungkin aku tidak pandai berkawan kerana terbiasa sendiri selama ni. Aku pun tidak pasti.
Sampailah satu saat kami bertengkar disebabkan assignment waktu tu dengan naif aku berkata nak terjun bangunan sebab terlalu tertekan malah dia cuma mengesyorkan aku untuk terjun sekarang juga. Sejak itu perhubungan kami agak renggang.
Sekarang kami lost contact sebab aku masih mahu menjaga hati masing-masing. Doakan persahabatan kami kembali erat seperti dahulu. Semoga A boleh memahami aku dan aku juga memahami dirinya.
Sepanjang berada di universiti aku selalu berjalan seorang diri. Naik dan turun ‘tangga merah’ seorang diri demi menjimatkan tambang bus. Memang ada bus yang percuma untuk ke kampus tetapi pelajar perlu beratur panjang dan demi menjimatkan masa aku pun nekad turun menggunakan tangga seorang diri ke kampus.
Laluan di sepanjang jalan menuju ke kampus pula adalah hutan belukar. Kalau terserempak monyet yang berkeliaran mahupun mengejar nasiblah tetapi alhamdulillah tidak pernah terjadi dalam diri aku. Aku cuma diganggu oleh suara-suara dari hutan belukar dan merasa ada sesuatu yang mengikut dari belakang sepanjang jalan. Meremang juga lah bulu roma namun apakan daya begini lah nasib aku.
Selain memakan ubat yang diberi oleh doktor di hospital, family juga ikhtiarkan untuk berubat secara tradisional di kampung iaitu perubatan islam. Kebanyakan mengatakan bahawa aku terkena sihir malah aku hampir dibawa untuk melakukan pembedahan batin dengan kos mencecah RM3k. Tetapi alhamdulillah tidak menjadi.
Aku pun tidak pasti apa yang aku alami tetapi secara fizikalnya doktor mengatakan bahawa aku menghidap gangguan bipolar disorder.
Sepanjang di hospital juga rambut aku gugur dengan banyak sekali. Aku tidak dapat bangun kerana badan aku terasa amat berat sekali. Aku juga sempat sawan sehingga menggigit lidah sendiri sehingga kebas seluruh lidah. Setiap kali menggigit lidah aku rasa amat perih tetapi aku seperti dikawal oleh sesuatu.
Pada mulanya family tidak mengetahui keadaan aku dan bagaimana perjalanan hidup aku sebagai seorang pelajar. Sebenarnya kehidupan aku di rumah dan di sekolah jauh berbeza sama sekali. Aku di rumah seorang happy go lucky tetapi di sekolah dan universiti aku menjadi seorang yang introvert. Sehinggalah aku mendapat penyakit ini.
Aku fikir ada hikmahnya Allah memberi aku ujian sakit ini sebab dengannya keluarga seolah olah belajar memahami diri aku. Aku juga kurang dimarahi oleh adik beradik yang lain berbanding sebelumnya. Semuanya sebab aku telah meluahkan hampir semua yang ada di hati waktu tu.
Kakak telah membaca diari aku yang aku tulis semasa tahun 2017 yang aku simpan. Aku seolah-olah hilang sikap malu. Aku bercakap dengan tidak henti-henti sepanjang sakit.
Dan kini diari aku berada di tangan seorang sahabat di sekolah menengah. Aku keliru ke mana perginya perasaan malu aku ketika itu. Aku sempat menghubungi kawan-kawan yang aku kenal dari dalam contact number untuk datang menjenguk aku di rumah. Aku bercakap dengan strangers tanpa segan silu, aku juga menjadi seorang yang sangat boros ketika itu.
Aku berjalan ke sekolah lama seorang diri dan buat kecoh dengan mengarut bermacam-macam dengan cikgu-cikgu yang ada. Aku mengingatkan orang-orang bahawa kiamat akan datang. Tanpa segan silu aku ke rumah jiran menyuruh jiran untuk solat 5 waktu.
Kini aku masih mengambil ubat yang diberi oleh doktor. Pertengahan bulan 9 doktor ingin mengambil ujian darah buat kali ke-2 untuk memastikan penyakit sendi ini bukanlah rheumatoid arthritis. Doakan aku.
Ini sahaja kisah pendek daripada aku. Kalau ada masa aku tulis kisah penuh tentang perjalanan aku dan bipolar disorder. Sekian…
– Hida (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit