Aku kira tema cinta tetap menjadi tema utama dalam apa-apa penulisan. Aku tak pasti patut kah untuk aku tulis kisah sebegini. Bukan aku tak mahu move on, tapi lebih kepada nak menghargai setiap momen dalam hidup.
Aku teringat kisah lalu, sewaktu aku mula menjejakkan kaki ke menara gading jauh dari keluarga. Itu bukan pertama kali aku berpisah dari keluarga, tapi kali ini menceccah ratusan kilometer jaraknya. Jadi budak baru, di tempat baru, memang mencabar. Siapa yang tak takut, siapa yang tak cemas. Aku pilih jurusan kejuruteraan.
Jujur aku tak tahu apa benda kejuruteraan tu. Aku pilih ikut-ikut kawan. Mana budak yang paling bagus dalam kelas sewaktu matrikulasi, aku dekati dia dan aku tanya apa perancangan masa depan dia. Dan dia jewab, dia akan pilih kejuruteraan. Tanpa berfikir panjang aku pilih jurusan tersebut. Jangan jadi macam aku.
Sememangnya jurusan ini tak mudah. Penuh cabaran, susah dan perlukan kekuatan mental dan ketahanan jiwa. Semua subjeknya boleh kata pecah kepala untuk aku hadapi.
Mula-mula nak biasakan diri, aku agak lost. Aku tak tahu apa yang aku belajar. Aku pergi kelas sekadar nak mendapat berkat ilmu. Aku niatkan mudah-mudahan suatu hari nanti aku dapat ajarkan ilmu yang aku dapat ni kepada yang lain. Walaupun entah apa-apa yang aku hadap.
Selang beberapa ketika, kami semua diuji dengan test dan kuiz. Untuk pertama kalinya, kebanyakan markah aku tak begitu baik. Sipi-sipi lulus dan ada yang dapat kosong. Sedihnya. Aku rasa macam tak boleh nak hadapi. Aku mesti berusaha untuk baiki keputusan. Mengenangkan ibu dan ayah di kampong, tentu mereka berdua sedih jika tahu aku tak mampu untuk teruskan pengajian.
Aku usahakan sesuatu dengan berjumpa dengan pelajar yang paling bagus markahnya dalam kelas aku untuk ajar aku. Tapi agak kekok bila dia seorang lelaki. Aku segan. Tapi aku perlu ketepikan malu aku untuk belajar. Dengan anggapan ini hanya sebagai usaha aku untuk menuntut ilmu. Aku minta dia untuk ajarkan aku beberapa mata pelajaran yang agak susah.
Setiap hari sabtu, seawal 7 pagi aku akan turun ke ruang belajar di kolej kediaman dia untuk cover balik apa yang aku tak faham di dalam kelas. Kami habiskan masa paling banyak selama 3 jam untuk belajar setiap hari sabtu itu. Hal ini berlanjutan selama beberapa bulan. Kemudian, kami semua dihidangkan dengan test dan kuiz untuk kali kedua.
Aku agak berdebar-debar. Aku risau aku tak mampu buat. Tapi dia meyakinkan aku, dia cakap aku dah berusaha, pasti Tuhan akan tunjukkan hasilnya. Aku bersyukur sebab kali ini aku mampu menaikkan semula keyakinan diri aku untuk teruskan pengajian dengan mendapat keputussan yang baik untuk test kali kedua.
Yang pasti dia orang yang aku lihat agak gembira dengan pencapaian aku. Aku bangga. Sepanjang belajar bersama, tipu kalau aku cakap dalam hati aku tak pernah ada perasaan suka terhadap dia. Inilah bahayanya. Berhubungan dengan lelaki yang bukan mahram. Hal berkaitan hati dan perasaan pasti timbul.
Aku atasi dengan berusaha mematikan segala tunas-tunas cinta yang mula mekar. Aku racun perasaan itu dalam-dalam. Aku ulang-ulang kepada dia dengan mengatakan aku hanya anggap dia sebagai kawan belajar. Tak lebih. Kalau pun aku ada rasa itu, akan aku racun putiknya. Begitulah aku menerangkan kepada dia.
Ini bukan sebab aku tak suka dia. Sungguh aku sangat terpikat dengan peribadi dia. Walaupun dia takde rupa yang menarik tapi kebaikannya menarik hati aku. Aku sedar dia lahir dari keluarga yang baik-baik. Aku pula jauh beza. Aku malu dengan dia sebab aku dan keluarga aku bukan orang yang bagus. Pipit sama pipit. Enggang sama enggang. Pipit dan enggang tak mungkin terbang sama. Waktu itu aku tidak sekufu dengan kefahaman agama yang dia ada.
Sepanjang belajar, ada sahaja perkara yang kami bualkan. Aku pernah mengaku dekat dia yang aku ada teman lelaki. Tapi aku tak berapa happy dengan adanya teman lelaki. Dia tak pernah komen tak pernah respon. Sebab aku sekadar merai seorang lelaki yang sukakan aku walaupun aku tak berapa suka. Aku lebih kepada kasihan.
Mana tahu kalau ada orang perempuan disisi, boleh jadi motivasi untuk berjaya. Bukankah trendnya begitu? Jadi aku sedar kedudukan aku dimata dia. Dia layak untuk bertemu dengan orang yang baik-baik.
Masa berlalu dan kami semua masuk ke semester kedua. Seperti biasa kami masih belajar sama-sama. Kali ini aku lebih cemerlang dari sebelumnya.. Sehinggakan dia pun cakap mungkin aku tak perlukan dia lagi untuk belajar sebab aku dah mula mampu berdiri sendiri tanpa bantuan dia. Namun aku masih minta dia sekali sekala bantu aku untuk subjek yang agak sukar. Perjumpaan kami pun tidak kerap. Kadang-kadang datang belajar, aku bawa teman.
Tiba-tiba ada satu masa, aku dapat SMS dari dia yang mengatakan adalah lebih baik aku tak teruskan belajar dengan dia. Aku yang masa itu menganggap dia antara orang yang dekat dengan aku terasa sedih benar dengan permintaan tersebut. Aku minta dia bagi sebab. Dan katanya, dia takut jarum-jarum syaitan menusuk ke jantungnya.
Senior dia tegur perbuatan kami tak molek disisi agama. Aku balas yang aku akan matikan rasa itu. Walaupun aku sakit waktu aku taip kata-kata itu. Sebab aku tahu, aku patut bantu dia menjaga agamanya. Cuma aku yang kurang ilmu dan kesedaran untuk bertindak macam mana.
Sesungguhnya aku berusaha menafikan perasaan yang ada dalam hati aku, walaupun aku tahu sebahagian dalam hati aku berhajat untuk bersama dengan dia pada masa akan datang. Aku tahu berdosa rasa ini hadir.
Aku menangis sepanjang malam. Tak tidur mengenangkan aku akan hilang dia. Terbayang-bayang SMS dia bila dia katakan yang dia sayang aku.. Tapi sebab aku perempuan, dia tak berani ucapkan. Dia takut Tuhan. Allah… aku rasa jahatnya aku rasa sebab mengganggu iman seseorang.
Esoknya aku tak hadir kesemua kelas pada hari itu. Mengambil masa untuk merawat luka dalam hati. Aku mula berjinak-jinak dengan aktiviti surau. Aku mula dekatkan diri dengan program yang baik-baik di university. Aku dah sangat jarang SMS dia. Sudah tentu kami dah tak belajar bersama lagi.
Aku nekad untuk putuskan rasa ini. Aku mengelakkan diri dari duduk satu kelas dengan dia. Walaupun adakalanya aku rindu sangat dengan dia. Kalau dengar namaya aku rasa gembira. Tapi aku takut itu cuma godaan syaitan yang cuba rosakkan hati aku.
Setelah aku menggabungkan diri dengan hal-hal yang baik, aku sedar memiliki teman lelaki itu adalah perkara yang tidak disukai oleh Tuhan. Aku tak tahu mahu minta putus, aku berdoa pada Tuhan supaya Tuhan uruskan masalah aku.
Aku mula pakai tudung labuh, yang mana mengundang marah teman lelaki. Dia kata dia tak boleh bawa aku pergi panggung menonton wayang dengan pakaian begitu. Aku bersyukur sangat Tuhan pelihara diri aku. Tak lama, kemudian, bila mula berada di hujujung semester tiga, teman lelaki aku minta putus.
Aku sangat bersyukur. Aku zahirkan dengan sujud syukur, aku menangis tanpa henti. Dalam kelas air mata aku tak terbendung alirannya. Aku gembira sangat-sangat. Aku menangis sebab aku gembira. Aku khabarkan kepada dia, aku sudah jauhkan diri aku dari perkara yang Tuhan tidak redha. Aku tak tahu kenapa kepada dia aku khabarkan berita ini. Mungkin sebab aku masih menaruh hati. Dia diam tanpa balasan.
Waktu aku mula bertudung labuh, aku perasan dia perhatikan aku. Aku memang mahu tunjuk perubahan aku padanya. Aku berusaha untuk jadi baik. Ini bukan untuk mencuri hati dia, tapi lebih kepada keinginan aku yang dah pendam lama. Kehidupan bernuansa keislaman yang aku dambakan selama ini. Cuma aku berhati-hati menjaga hati, aku selalu memohon kepada Tuhan biarlah perubahan ini kerana Tuhan, aku mohon Tuhan pandu setiap langkah kaki aku menuju Dia.
Pernah dalam semester ke 5 aku dapat SMS daripada dia. Dia meminta aku memakai stoking tangan. Katanya, sudah manis berbaju sopan, bertudung labuh, lebih elok jika aku lindung tangan aku. Katanya adakalanya hujung lengan baju aku akan menampakkan aurat ketika aku angkat tangan bertanya soalan kepada pensyarah. Aku anggap itu sebagai teguran kasih sayang sebagai sahabat.
Walaupun dalam hati yang dalam masih ada putik-putik baru yang cuba tumbuh. Ya Tuhan.. aku betul-betul berusaha untuk tidak terjatuh ke lembah cinta sebelum masanya. Aku sibukkan diri dengan aktiviti NGO kemanusiaan. Aku tak hiraukan rasa hati aku. Aku lenyek perasaan suka aku kepada dia, sampai akhirnya aku boleh bercakap dengan dia tanpa ada debaran dalam dada. Alhamdulillah.
Jika dia sukakan aku, aku doakan Tuhan urus perasaan dia. Aku tetap hargai dia yang ajar aku, jaga aku dengan tidak menabur cinnta palsu. Aku senang dengan dia. Pernah tak hal macam ini berlaku dalam kehidupan kau? Kau respect dia, kau hargai dia, tapi tak semestinya kau mampu memiliki dia, dan kau tak upaya beri hati kau pada dia? Sebab kau tahu kau ukan orang baik-baik. Dia wajay mendapat pasangan yang suci dan baik-baik juga.
Bila jumpa semula dia aku masih simpan segan. Dihujung pengajian kami dia pernah ucapkan, banyak perubahan ke arah kebaikan yang dia nampak dalam diri aku. Dia gembira. Alhamdulillah, aku bersyukur dengan apa yang berlaku.
Bila Najwa Latif secara rasmi keluarkan single KLIA, aku dengar bait-bait lagunya, aku tahu itu aku yang dulu. Lagu ini buat aku terimbau kisah aku dan dia. Setiap kehidupan kita Tuhan dah takdirkan. Jika bukan dia, uruskan dengan baik hati-hati kita, kalau tak mampu, Tuhan ada untuk bantu. Selangkah kau dekat kepada Tuhan, seribu langkah dia dekat kepada kau.
Jika kau pelihara diri dari perkara yang Tuhan tidak redha, yakin Tuhan akan berikan kau kehidupan yang lebih baik, lebih manis. Untuk dia aku berterima kasih sangat sebab beri aku pelajaran yang besar dalam hidup. Ni aku lampirkan bait-bait lagu yang buat aku trigger dengan dia.
Mungkin ini yang terbaik
Terbaik untuk kita jalani
Jalani hidup tanpa cinta
Mungkin aku dan kamu
Tidak ditakdirkan bersatu
Walau ku tahu hatimu itu
Mungkin ini takdirnya
Takdir kita harus berpisah
Dan mungkin kita hanya
Perlu berfikir demi cita-cita
Mungkin apa yang kuperlu
Hanya kekuatan dari-Nya
Untuk menjalani liku hidup
Tanpa
Mungkin ini takdirnya
Takdir kita harus berpisah
Dan mungkin kita hanya
Perlu berfikir demi cita-cita
Walau ku tahu kau kan lupa
Lupakan diriku
Walau ku tahu ku kan terluka
Terluka tanpamu
Kau Lupa Itu Aku
Tapi part cinta pertamamu tu aku boleh buang. Haha.
– Aura Solehah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit