Assalamualaikum, nama aku Lina (bukan nama sebenar), seorang ibu tunggal dengan dua orang cahaya mata. Umur aku awal 40an.
Biar aku ringkaskan cerita, aku dan bekas suami bercerai sudah hampir sepuluh tahun. Bercerai kerana bekas suami yang tidak bertanggungjawab kepada keluarga. Kami bercerai pun selepas aku membuat tuntutan fasakh selepas ditinggalkan tanpa nafkah selama dua tahun.
Selama bercerai, bekas suami memang tak pernah memberikan nafkah kepada anak-anak. Menjengah apatah lagi. Dalam tempoh lima tahun pertama bercerai (masa tu anak2 kecil lagi) semua perkara aku terpaksa urus dan tanggung. Makan pakai anak2, sakit pening mereka, persekolahan dan macam-macam lagilah.
Aku bekerja keras siang dan malam mencari duit untuk membesarkan anak-anak. Aku tak nak anak-anak hidup dalam kekurangan. Bagi aku, cukuplah mereka kurang kasih sayang seorang ayah asal mereka cukup yang lain-lainnya.
Selepas lima tahun, adalah sekali dua bekas suami datang menjengok anak-anak tapi tak pernah hulur walau satu sen pun duit pada aku. Ya, aku marah tapi aku simpan. Dan aku kata sendiri, ok tak apa, aku masih mampu tanggung anak-anak. Aku masih ada kuderat untuk mencari rezeki untuk mereka.
Keadaan itu berterusan sehinggalah masalah mula timbul sejak tahun lepas bila aku memberi kebenaran anak2 balik ke rumah bekas suami dan bermalam di sana. (Untuk makluman kami tinggal diberlainan negeri).
Aku izinkan sebab anak2 dah besar dan aku tak nak anak2 tuduh aku sengaja memutuskan silaturahim mereka dan bapa kandung. Salah satu sebab aku izinkan kerana bekas suami sudah berkahwin lain. Jadi aku tidaklah risau kalau anak perempuan aku mengikut ayahnya.
Sejak dari itu mereka kerap berbalas whatsapp. Aku curiga tapi aku tak pernah bertanya. Mulai saat itu juga aku lihat anak perempuan aku mula berubah. Dia sudah jarang bercakap dengan aku, suka menyendiri dan kerap mencipta situasi untuk membuatkan aku marah. Aku sedar perubahan itu tapi aku anggapkan itu perkara biasa kerana dia anak yang sedang meningkat dewasa.
Keadaan semakin ketara sejak dia mengikut bekas suami bercuti pada hari raya aidiladha baru-baru ini. Balik dari sana aku lihat anak perempuan aku sangat ceria. Ya, aku gembira dengan perubahan tersebut tetapi dalam masa yang sama aku kecil hati.
Kecil hati kerana bermacam-macam kebaikan tentang keluarga barunya yang dia ceritakan. Aku nampak dengan jelas betapa gembiranya dia bercerita tentang sikap ibu tirinya yang sporting, bersikap terbuka dan memahami tidak seperti aku yang lebih serius.
Ya, mungkin disebabkan ibu tiri yang baru diawal usia 30an lebih menyenangkan berbanding aku, ibu yang sudah 40an dan mungkin dianggap kolot. Aku semakin terasa bila dia kerap memuji barang2 pemberian ibu tiri dan ayahnya biarpun hanya sehelai tudung dan sehelai baju. Malah itulah barang2 yang sering dipakai dan diguna saban waktu.
Oh! Kecilnya hati aku sebagai ibu sedangkan selama sepuluh tahun itu bermacam-macam benda yang aku belikan dan laburkan untuk mereka. Ya, mungkin bagi mereka ianya tak seberapa dan tidak bernilai dibandingkan apa yang baru mereka perolehi.
Pada waktu coffession ini aku tulis, keadaan aku dengan anak perempuan aku sangat tegang. Puncanya kerana aku menegur tentang sikapnya. Ya, dia semakin sukar untuk ditegur dan sering memberontak setiap kali aku menegur.
Pernah satu ketika sampai berhari2 kami tidak berbicara. Bila keadaan jadi begitu aku lebih kerap ambil sikap berdiam kerana aku bimbang kemarahan akan memburukkan lagi keadaan. Kadang-kadang aku sendiri bingung bagaimana hendak memulihkan keadaan kami.
Perkara ini membuatkan aku terfikir untuk menyerahkan mereka pada jagaan bekas suami walaupun itu satu keputusan yang sangat melukakan. Tapi kalau itu saja jalannya yang ada dan boleh membahagiakan mereka, aku terpaksa reda.
Aku tak nak anak2 berdosa bila aku sebagai ibu mula menitiskan air mata dan tidak reda. Bukan aku tak pernah berdoa, saban waktu aku panjatkan doa kepada Allah yang esa supaya Dia lembutkan hati anak2 tapi mungkin belum masanya doa aku itu diangkat oleh-Nya.
Aku tahu anak-anak inginkan keluarga yang sempurna tapi aku tidak berkahwin sekali lagi juga kerana mereka. Aku takut andai bapa tiri tidak mampu menyayangi mereka dengan sebaiknya.
Andai inilah kekurangan yang membuatkan mereka tidak gembira dan bahagia hidup dengan aku, apalah yang mampu aku katakan lagi? Aku dah curahkan segala2nya dan mungkin sudah sampai masa ayahnya pula yang memikul tanggungjawab tersebut.
Kepada anak-anak ibu,
Kalau menegur kerana kamu melakukan kesilapan itu salah, ibu minta maaf.
Kalau ibu membebel kerana kamu melewat2kan solat itu menjengkelkan, ibu minta maaf.
Kalau ibu marah-marah untuk kebaikan kamu juga satu kesalahan, sekali lagi ibu minta maaf.
Tapi ketahuilah, kasih sayang ibu pada kamu berdua tak terbatas, tak terucap dan tak tergambar.
Ibu tahu kamu inginkan keluarga yang sempurna tapi maaf ibu tak mampu berikan. Mungkin berada di sisi ayah kamu, kamu akan dapat miliki keluarga yang kamu inginkan. Ibu hanya inginkan yang terbaik buat anak-anak ibu dan masa depan yang sempurna buat kamu.
Apalagi yang lebih membahagiakan hati seorang ibu selain melihat anak2 gembira? Tak kira walau dimana kamu berada nanti, doa ibu akan sentiasa bersama kamu sehinggalah ibu menutup mata.
Maaf andai coretan ini terlalu panjang. Banyak sebenarnya yang ingin diluah tapi tak mampu terluah. Apa yang mampu aku katakan, ya, aku bukan seorang ibu yang baik kerana aku gagal membina sebuah keluarga yang bahagia.
– Lina (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit