Hai, pembaca semua dan terima kasih kepada admin sekiranya menyiarkan penulisan aku yang tak seberapa ini. Aku kenalkan diri sebagai Qaseh umur 27 tahun, mempunyai kerjaya yang baik. Aku bersyukur di atas setiap rezeki yang dikurniakan kepada aku.
Kebelakangan ini aku selalu lihat page IIUM Confessions dipenuhi dengan hal perkahwinan dan sekarang ini aku nak tambah satu lagi cerita yang termasuk dalam kategori yang sama. Aku tak ada tempat nak meluahkan apa yang terbuku dihati, aku harap pembaca semua dapat bagi nasihat sebaik mungkin untuk aku.
Aku ada seorang teman lelaki sebaya dengan aku, aku kenal dia sewaktu masih di bangku persekolahan lagi kerana aku dan dia di sekolah yang sama. Kini hubungan aku dan dia sudah menganjak usia 13 tahun. Ya aku berjaya setia dengan seorang lelaki selama 13 tahun.
Selepas sekolah masing-masing masuk universiti, dia mengambil diploma sementra aku pulak mengambil pengajian peringkat ijazah. Selepas dia tamat diploma dia mendapat peluang pekerjaan yang biasa-biasa dia kata. Waktu aku tahu itu aku lah orang yang paling gembira sekali sebabnya kami memang merancang untuk berkahwin setelah masing-masing habis belajar dan mendapat kerja.
Dia kerja tapi tak sampai setahun pun sebab dia cakap kerja dia buat sekarang tak ada kena mengena dengan apa yang dia belajar sewaktu diploma dahulu. Di sinilah bermula segala cerita aku dan dia.
Selepas itu, dia mula buka perniagaan kecil-kecilan untuk dia teruskan kehidupan dia. Aku ini walau apa pun dia buat aku tetap bagi dia semangat, bagi dia sokongan supaya dia tak rasa down dengan hidup dia. Bila aku tengok perkembangan perniagaan dia semakin ok aku pun mula bertanyakan soal perkahwinan kami, bila dia nak masuk meminang aku dan sebagai nya.
Waktu ini aku pun dah tamat pengajian ijazah aku. Dia kata sekarang dia nak fokus dekat perniagaan dia dahulu kemudian baru akan fikirkan soal perkahwinan. Aku terima keputusan dia dengan berlapang dada dan aku usulkan untuk aku sambung pengajian aku ke peringkat master, dia ok. Kali in dia janji akan masuk meminang selepas aku habis master.
Dalam masa aku sambung master tu aku dapat tahu dia dah stop perniagaan yang dia buat disebabkan dia nak beralih arah untuk bantu perniagaan bapa dia. Macam biasa aku tetap bagi sokongan dalam apa jua kerja yang dia buat. Sebabnya untuk masa depan aku dan dia jugak. Tiba masanya aku tamat pengajian master aku selama 2 tahun. Aku tuntut janji dia dulu.
Jawapan yang dia bagi kali ini memang buatkan aku risau. Dia kata buat masa sekarang dia tak boleh lagi nak berkahwin sebabnya perniagaan bapa dia mengalami masalah dengan supplier barang. Kalau tak ada supplier yang nak kerjasama dengan dia habislah perniagaan bapa dia, aku cuba faham dengan keadaan dia walaupun aku tak sedap hati.
Dalam masa sama aku pun sibuk hantar resume aku ke merata tempat, alhamdulillah aku diberikan rezeki mendapat pekerjaan sebagai pengurus di bahagian logistik di sebuah syarikat yang tak jauh dari rumah aku, ini lah kerja aku sehingga sekarang. Aku dah kerja dengan syarikat ini hampir 2 tahun, tempoh 2 tahun ini jugak teman lelaki aku tu menggangur.
Pabila aku dapat kerja dia pulak sudah melingkupkan perniagaan bapa dia. Dia yang cakap dia lingkupkan kerana gagal untuk mencari supplier. Hasil nya dia jadi penggangur terhormat. Jangan ditanya soal kahwin segala dia tak akan bagi sebarang respon dan lebih selesa mendiamkan diri. Awalnya aku ingat dia down, setelah 2 tahun adakah boleh dianggap sebagai down lagi.
Aku suruh dia cari kerja lain, dia kata sedang mencari. Bila aku suruh dia buat balik perniagaan dia, dia bagi beribu alasan. Aku pun bila asyik sangat fikir keadaan diri dia dan jugak soal hubungan kami yang tak ada kata putus ini, aku jadi cepat stress dalam semua keadaan. Sekarang berat aku dah susut dari 58 kg ke 49 kg. Aku tak nak fikir pun tapi tetap terfikir jugak. Apa akan jadi hari-hari akan datang.
Aku sayang sangat dengan dia dan aku sayang dengan hubungan kami selama 13 tahun ini. Tapi dia aku tak nampak langsung dia berusaha nak halalkan aku. Dia tak kerja tapi memang dia masih boleh hidup sebab keluarganya dari kalangan orang yang berada. Keluarga dia masih bagi duit belanja untuk dia sehari-harian. Disebabkan ini dia tak pernah nak fikir untuk ubah diri dia jadi lebih baik. Aku tak mintak dia kerja hebat-hebat tapi aku nak dia berusaha.
Walaupun kami ini sudah 13 tahun berkawan, tidak pernah sekali pun dia berjumpa ibu dan bapa aku, sudah puas aku mengajak dia berkenalan dengan keluarga aku, dia akan cakap nanti-nanti dan nanti. Aku pun tak pernah mengenali keluarga dia, sebabnya dia tak izinkan aku jumpa mereka, belum tiba waktunya dia cakap. Padahal rumah ibu bapa kami tu jarak dalam 10 km ja, kami ni tinggal dalam kawasan yang sama di negeri selatan sana.
Sungguh aku sayangkan dia dan sayang perhubungan aku yang sudah 13 tahun ini, selalu aku berfikir hidup aku tanpa dia macam mana, aku rasa tak boleh nak hidup tanpa dia setiap hari aku ada dia selama tempoh 13 tahun. Aku tak tahu berapa lama lagi aku nak tunggu dia sedangkan dia langsung tak tunjukkan usaha dia untuk berkahwin. Umur masing-masing sudah lewat 20 an.
Aku berharap pembaca semua dapat berikan jalan yang terbaik untuk aku ambil tindakan, aku sayang dia.
– Qaseh (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit