Tabahnya Ibuku

Assalamualaikum guys. Thanks admin andai confessionku disiarkan. Aku saja nak share kisah hidup ibu aku. Aku anak perempuan & anak sulung daripada 5 adik beradik. Tapi, ini bukan kisahku. Kisah ibuku.

Ibu aku dilahirkan dalam keluarga yang serba kurang dari segi harta tapi cukup harmoni dalam kasih sayang. Genap umur 23 tahun, ibu aku dinikahi dengan seorang lelaki atas aturan keluarga yang sampai sekarang masih bergelar suami (dah 30 tahun hidup sekali).

Kenapa aku cakap sampai sekarang? Sebab betapa stugglenya ibu aku hidup dengan manusia toksik yang bukan suami dia seorang a.k.a ayah aku. Sekali dengan seluruh keluarga toksik sebelah ayah.

Ya. Ibuku seorang yang sangat tabah. Sepanjang hidup dengan keluarga toksik ni, dia tak pernah berkira. Kenapa keluarga ayah aku ni, aku panggil toksik? Semuanya berpunca daripada mulut nenek aku. Betullah, kata-kata seorang ibu boleh membuatkan keseluruhan hidup anaknya musnah KALAU anak dia taknak berubah.

Bermula dari caci-maki, carut-marut daripada bibir nenekku seolah-olah itulah zikir hariannya buat anak-anak dia dan itulah yang terjadi kepada ayah aku. Ayah aku selalu dicarut-marut, namun hal rumah tangga nenekku memang kelihatan sempurna. Sempurna hingga melebihi adat daripada sunnah. Ayah aku selaku anak sulung terlalu dimuakan, kerja rumah bukan tugas lelaki kata ibunya.

Jadi sedari awal perkahwinan, semua kerja ibu aku buat seorang. Mereka jika sembang hal sunnah, hanya lelaki boleh menikahi empat dalam Islam. Itulah satu-satunya sunnah yang mereka pegang.

Strugglenya ibuku sebagai penjawat awam, seorang ibu kepada 5 orang anak yang masih kecil dan berhadapan dengan kerja rumah yang langsung tiada bantuan seorang suami. Kehidupan ibuku bermula seawal jam 4 pagi hingga 12 tengah malam. Cuti bagaikan tiada cuti.

Sempurnanya ibu aku sebab dia terdidik dengan harmoni, paginya terisi dengan tahajjud seawal 4 pagi. Waktu kami kecil, dia akan bangun, bertahajjud lalu menyiapkan sarapan/bekal kami ke sekolah serta bekal ayah ke tempat kerja merangkap makan tengah hari sebab tugasnya yang jauh dari rumah membataskan dia menyiapkan makan tengah hari untuk kami.

Kami diasuh oleh jiran berdekatan, dan tugas jiran hanyalah mengambil kami sekolah dan memanaskan lauk yang telah dimasak oleh ibuku sendiri. Ibuku juga tidak meninggalkan solat dhuha, dan waktu maghrib hingga isyaknya terisi dengan bacaan Al-Quran dan mengajar kami mengaji sendiri. Oh lupa, ibuku bersekolah agama waktu mudanya.

Banyak kebaikan ibuku yang aku tak dapat luahkan. Ayahku juga telah jauh berubah daripada zaman mudanya. Cukuplah kami anak-beranak yang tahu apa yang dia dah buat kepada ibuku. Betapa kuatnya ibuku mempertahankan rumah tangga dia demi kami, anak-anaknya. Kami pun dah besar dan berjaya dalam lapangan bidang masing-masing.

Cuma satu yang buatkan aku runsing, aku terlalu takut untuk hidup berumah tangga. Asbab kehidupan kami sedari kecil yang disogokkan dengan perbuatan-perbuatan zalim ayah kami kepada ibuku. Banyak, dan tak sanggup aku nukilkan. Cukuplah aku mengagungkan ibuku.

Ayahku juga telah banyak berubah, mungkin juga faktor usia. Namun, sepanjang perjalanan sewaktu kecilku telah membataskan hubungan kami kerana padaku, aku sudah dewasa dan tidak perlukan perhatiannya lagi yang sepatutnya aku terima sedari mula.

Pesanku kepada rakan-rakan pembaca. Pernikahan satu perjudian. Kalau kau memilih dia, jangan kau gentar untuk meneruskan kehidupan dengan pasanganmu dan jangan terlalu cepat memutuskan ikatan kerana terlalu ramai rakanku yang usia perkahwinan baru mencecah 2/3 tahun telah pun bergelar janda dengan anak-anak yang masih kecil.

Semoga wanita yang ditindas dalam perkahwinan, mampu bertahan. Demi maruah diri dan anak-anak.

Semakin kuat iman seseorang, semakin Allah kasih dan ditimpa ujian. Namun, yakinlah. Tidaklah ujian itu diberi luar batas mampu kita. Semoga apa yang aku nukilkan memberi sedikit manfaat setidak-tidaknya rutin harian ibuku dan sifat mahmudahnya yakni SABAR.

Terima kasih kepada semua yang sudi membaca confession picisan aku. Maaf andai perlakuanku sebagai anak terhadap ayahku mengundang amarah kalian. Aku tak mampu meninggalkan jarak hubungan dengan dia. Doakan agar aku mampu menerima dia seadanya dia.

Menyayangimu ibu,

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *