Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-tak-gila-3/).
Assalammualaikum. Terima kasih atas kata-kata semangat positif yang diberikan oleh setiap pembaca. Kepada yang memberikan kata-kata negatif juga diucapkan terima kasih. Saya membaca setiap komen-komen anda tanpa tertinggal satu pun.
Saya terpanggil menulis siri yang kedua ini untuk memberitahu bahawa kisah ini ditulis bagi mengubah stigma masyarakat terhadap golongan yang mempunyai penyakit psikatri bukan golongan yang tidak mempunyai anak.
Ya, saya mengalami tekanan bukan disebabkan masalah anak melainkan saya mengalami tekanan disebabkan pelbagai faktor penyakit seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini.
Saya pernah terbaring di atas katil selama bertahun dan berjalan menggunakan tongkat serta kerusi roda akibat komplikasi penyakit-penyakit yang saya hadapi. Buang air kecil, besar dan muntah semua di atas katil. Tiada yang menguruskan selain suami di sisi. Berjalan seperti orang gila dan suami yang mencari akibat kami dikatakan tidak aktif di taman.
Bagaimana mahu aktif sedangkan saya sakit dan suami harus berkerja dan menjaga saya. Hanya senang dilabelkan gila oleh mereka tanpa membantu. Stigma masyarakat juga telah membuatkan saya trauma untuk bergaul dengan orang asing.
Kemalangan yang menimpa memburukkan lagi keadaan trauma dan tekanan saya. Saya juga baru sahaja menjalani prosedur RF (radio frequency) yang menyakitkan untuk sakit tulang belakang saya. Selain itu, saya juga pernah menjalani rawatan ivf untuk memperolehi zuriat tetapi gagal.
Sebelum ivf saya pernah mengandung dua kali, selepas ivf gagal saya mengandung kembar tetapi semuanya mengalami keguguran dan semasa saya menulis kisah ini juga saya sedang berpantang setelah keguguran anak kelima. Saya bercerita tidaklah untuk meraih simpati melainkan ingin menjelaskan perkara sebenar yang terjadi.
Maka, ingin saya nyatakan dengan rendah hati bahawa tulisan saya adalah untuk mengubah stigma masayarakat mengenai pesakit psikatri dan bukannya pesakit yang tidak mempunyai anak kerana pesakit psikatri sering dipandang serong oleh masayarakat tanpa mengenal mereka terlebih dahulu.
Terima kasih diucapkan untuk setiap titipan kata-kata positif dan doa-doa indah buat saya dan suami. Kami hanyalah insan biasa yang bukan merungut menulis disini kerana tidak mempunyai anak melainkan ingin berkongsi kisah agar stigma masyarakat kita dapat diubah.
Bagi yang mengatakan tiada anak tak perlu fikir macam-macam, anda mempunyai anak jadi anda boleh berkata apa sahaja. Selamilah jiwa setiap insan yang mempunyai apa sahaja masalah sebelum mengeluarkan kata-kata. Kata-kata bukan hanya kata-kata tetapi kata-kata boleh membunuh.
Pesakit psikatri perlukan sokongan bukan setakat mengatakan bahawa mereka tidak beragama dan perlu kembali pada agama. Mereka punya Allah dan percaya pada Allah dan kerana itu mereka terus hidup dan digerakkan Allah untuk mencari penawar terhadap penyakit mereka. Bukan sekadar hidup dalam kata-kata masayarakat yang tak membawa mereka kemana-mana.
Penyakit psikatri bukan seperti kanser yang terlihat teruk tetapi keadaaan mereka juga teruk bukan kerana lemah jiwa, hidup dalam kata-kata nista masyarakat dan tidak punya agama melainkan penyakit psikatri adalah kanser dalam diam yang membunuh penghidpanya.
Terima kasih kepada iium confession-bm sekiranya kisah saya ini tersiar. Akhir kata bantulah kami pesakit psikatri dengan mendekati dan menyelami jiwa kami bukan sekadar membuta tuli (walaupun anda tak buta) menjatuhkan hukuman dan menghantar kami ke alam kubur.
Doakan saya dimudahkan segala urusan.
Yang Benar,
– Khawla Azwa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit