Baru-baru ini ada satu confession berkenaan seorang suami yang mempunyai isteri vaginismus. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/isteriku-vaginismus/).
Apa dia vaginismus? Vaginismus adalah suatu disfungsi seksual pada wanita yang berupa kekejangan abnormal otot vagina di sepertiga bagian luar dan sekitar vagina.
Saya merupakan seorang mantan suami yang pernah mempunyai isteri vaginismus. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka. Mendapat restu kedua-dua belah keluarga. Malah, kami menjaga hubungan kami sebelum bernikah. Segala-galanya diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
Setelah berkahwin, bermulalah cabaran utama dalam rumahtangga kami. Jika sebelum berkahwin beliau seorang yang lembut, riang dan suka berkongsi, tetapi segalanya berubah selepas berkahwin.
Pada waktu itu, saya anggap perkara biasa, lumrah perubahan kepada pasangan yang berkahwin. Cuma, perkara yang paling besar menjadi kerungsingan beliau ialah tidak dapat bersama hubungan suami isteri.
Pada awalnya, saya anggap perkara biasa. Iyelah, kedua-duanya kali pertama. Mungkin teknik saya salah. Ataupun beliau tidak bersedia. Tetapi kami sentiasa mencuba.
Cuma, selepas 5 ke 6 bulan tidak berjaya, isteri saya down. Saya tidak kisah kerana memang mencintai beliau sepenuhnya. Malah, saya anggap inilah cabaran rumahtangga yang perlu saya hadapi. Jadi, kami pun mula cuba mendapatkan rawatan.
Saya yang mencadangkan agar berjumpa dengan pakar O&G. Pada awalnya beliau menolak. Iyelah, saya rasa pastinya beliau malu dan merasakan maruah tercalar. Tetapi saya tetap memujuk dengan pelbagai cara. Saya tidak sanggup melihat beliau kemurungan kerana perkara ini. Kalau tidak dapat bersama dan ok sahaja, tidak mengapa.
Tetapi jika saya sudah nampak tanda-tanda kemurungan, solusi perlu dicari. Sekurang-kurangnya beliau tahu suami sentiasa memberi sokongan dan tidak pernah menghina beliau dengan apa yang terjadi.
Serius, saya tidak kisah. Mungkin kerana memang ‘tidak pernah dapat’. Lagipun, pada saya perkara tersebut bukanlah perkara utama dalam rumahtangga. Target saya adalah syurga bersama si isteri.
Rupa-rupanya dalam masa yang sama, memang beliau mempunyai masalah kemurungan sejak dahulu. Tetapi tidaklah serius sangat. Saya perasan kerana beliau semacam seolah-olah trauma kerana dari kecil melihat sikap abangnya yang terlalu kurang ajar dengan kedua ibu bapanya.
Saya pernah bertanyakan, adakah abangnya itu pernah melakukan sesuatu kepadanya. Tetapi memang tidak pernah ada. Cara beliau cerita pun, rileks, tenang dan tiada sangkut-sangkut. Saya percaya, kerana melihat perangai abangnya itu pun memang tiada masalah dengan adik-beradik.
Hanya dengan kedua ibu bapa sahaja. Tetapi memang jika mengamuk, macam orang gila juga. Alhamdulillah, nasib baik dia memang tidak pernah buat perangai sewaktu saya ada. Mungkin hormat kerana latar belakang akademik, kerjaya atau pun mungkin takut kerana badan saya agak sado (ketika itu, saya memang selalu ke gym dan 80% macam badan ‘The Rock’).
Kemurungan + vaginismus. Memang cabaran besar. Tetapi isteri tidak mahu berjumpa dengan pakar. Hanya dua tiga kali sahaja. Setiap kali saya bersama, dan doktor O&G yang memberikan nasihat dan rawatan baik-baik dan memberikan semangat. Cuma mungkin isteri saya mengharapkan kesembuhan yang segera.
Selain daripada itu, beliau juga meminta saya belikan beberapa alat senaman khas yang beliau sendiri baca daripada internet yang boleh membantu. Alat-alat tersebut dari luar negara dan harganya agak mahal. Tetapi saya tidak kisah. Malangnya, tidak pernah digunakan pun.
Rawatan lain, kami juga cuba kaedah berurut, rawatan Islam dan akupuntur. Apabila tidak konsisten, susah mengharapkan kesembuhan. Beliau harapkan rawatan sekali dan sembuh.
Perkara ini berlarutan sehingga usia perkahwinan kami lebih daripada 3 tahun dan akhirnya berpisah. Kami berpisah kerana punca yang tiada kena mengena dengan perkara ini.
Saya mohon kepada warga IIUMC agar tidak bertanyakan atau membuat sebarang andaian punca perpisahan kami. Saya tidak mahu sahabat-sahabat di sini mendapat dosa dengan membuat andaian yang tidak benar dengan komen-komen maklumbalas di sini.
Akhir kata, penyakit vaginismus ini wujud. Rawatan juga ada. Cuma perlu banyak bersabar dan konsisten dengan rawatan yang diberikan, inshaAllah kuasa kesembuhan milik Allah.
Kepada yang mempunyai masalah sebegini di luar sana, jangan risau atau rasa maruah anda jatuh. Jumpa pakar O&G, kerana mereka sedia membantu. Kepada si suami, banyakkan bersabar dan terus memberikan sokongan kepada isteri.
Banyak cara kita ke syurga, dan mungkin ini adalah salah satu daripadanya.
– The Brahma Bull (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit