Kematian Yang Dicemburui

Assalamualaikum buat semua pembaca IIUMC. Terima kasih kalau confession ini disiarkan.

Sebelum aku memulakan bicara, doa aku supaya Allah merahmati kita semua dalam apa jua pekerjaan yang sedang kita lakukan. Alhamdulillah Allah masih panjangkan usia kita dan memberi nikmat hidup buat kita semua.

Baru-baru ni ada viral tentang kisah seorang pemuda yang meninggal akibat kanser usus tahap 4 dalam media sosial. Pemuda ni adalah senior aku masa dekat kolej.

Sejujurnya aku tidaklah begitu mengenali peribadi pemuda ini sebab kami bukan satu kuliah. Tetapi melihat wajahnya yang selalu tersenyum, aku yakin wajah dan susuk tubuhnya masih aku ingat dan familiar dalam ingatan ketika aku masih di zaman kolej dulu.

Dua tiga minggu sebelum aku mengetahui tentang kematiannya, aku ada terbaca tentang kisahnya yang sedang ditimpa penyakit kanser.

Waktu tu dia baru nak menjalani pembedahan buat kali kedua. Aku hanya stalk melalui facebooknya. Begitu ramai sahabat dan kenalan yang datang menziarahi dan mendoakan beliau.

Walaupun dalam keadaan diuji dengan kesakitan wajahnya tetap manis dan tidak lekang dari senyuman. Allahu, benarlah orang-orang yang soleh itu apabila ditimpa ujian yang berat, ujian itu ibarat suatu kemanisan buat diri mereka.

Sehinggalah pada 27 Oktober yang lalu pada waktu subuh aku menerima berita tentang kematian beliau dalam satu group whatsapp. Berita ini sungguh mengejutkan aku.

Aku yang tidak berapa mengenali beliau turut merasa sedih atas pemergiannya dan memberi sedikit tamparan buat diri aku bahawa kematian itu tersangatlah dekat dengan kita.

Melalui pembacaan aku beliau adalah seorang yang sangat baik dan rajin menolong orang. Banyak melakukan kebaikan, aktif berpersatuan ketika di kolej, sangat ramah dengan orang di sekeliling dan seorang anak yang sangat taat kepada kedua ibu bapa.

Ketika kematiannya, kebaikan dan amalannya disebut-sebut oleh sahabat dan kenalan beliau. Solat jenazahnya dilakukan sebanyak dua kali kerana terlalu ramai yang datang menziarahi. Dan aku pasti melihat pada pengakhiran hidupnya sudah semestinya balasan syurga buat dirinya.

Kisah kematiannya memberi kesan yang mendalam buat diri aku. Masih banyak amalan kebaikan yang perlu aku lakukan. Aku pun masih struggle dengan setiap amal dan ibadah aku. Masih struggle melakukan kebaikan buat mak ayah aku.

Solat aku, sedekah aku, ibadah aku, aku tak tahu mana satu amalan aku yang akan Allah terima. Atau apakah amalan yang aku lakukan selama ini hanyalah sia-sia.

Allah… terbayang juga adakah bila aku meninggal nanti nama aku juga akan disebut-sebut oleh kenalan aku. Adakah bila aku sakit nanti sahabat-sahabat dan saudara aku akan mendoakan aku. Sungguh tidak dapat bayangkan bagaimana pengakhiranku nanti.

Benarlah kawan-kawan, orang yang baik-baik ni selalunya Allah tidak akan simpan lama di dunia ini. Mereka selalunya pergi dulu meninggalkan kita.

Semasa hayat nama mereka mungkin tidak masyhur di dunia ini. Tetapi setelah kematian, nama dan amal soleh mereka menjadi sebutan orang ramai. Apatah lagi penduduk langit yang sentiasa menanti kedatangan dan menyambut mereka dengan kegembiraan. Allahu, sungguh aku cemburu.

Buat mereka yang sedang diuji dengan kesakitan, kewangan, ujian rumahtangga, ujian dengan pasangan, jodoh dan sebagainya berbanggalah kerana kalian adalah insan yang terpilih yang akan Allah ganjarkan pahala yang tidak terkira buat mereka yang ‘SABAR’.

Janji Allah itu pasti, tiada satu pun yang akan dimungkiri. Allah tahu apa yang terbaik buat diri kita. Terimalah dengan hati yang redho, tawakkal yang tinggi kepada Allah.

Sedangkan hidup di dunia ini hanyalah sementara. Semua ujian dan kesakitan itu akan berlalu pergi. Bukankah kemenangan yang agung buat kita adalah apabila berahirnya hidup kita dengan kebaikan yakni Husnul Khotimah.

Akhir sekali, aku mohon pembaca-pembaca sekalian mendoakan aku. Aku juga ingin jadi seperti mereka. Mudah-mudahan Allah ampuni segala dosa-dosa kita yang lalu, terima segala amal ibadah kita.

Ya Robb, andai kematian itu adalah yang paling dekat dengan kami, engkau matikanlah kami dalam kebaikan bukan dalam keburukan.

– Bukan Bidadari Syurga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *