Dilema Anak Tiri

Assalamualaikum. Terima kasih kerana siarkan luahan hati saya. Saya berharap profil saya tidak didedahkan kerana berkemungkinan akan mengaibkan keluarga saya.

Terlebih dahulu, saya perkenalkan diri saya. Saya ialah anak tiri perempuan, silent reader IIUMC dan berumur hampir 30 tahun. Saya percaya, mungkin ada yang diluar sana mempunyai kisah seperti saya. Mungkin yang membezakan kisah kita ialah keadaan. Dan mungkin juga hampir sama atau sama. Semoga Allah S.W.T merahmati keluarga kita semua.

Saya rasa terpanggil untuk meluahkan isi hati yang saya pendam selama ini. Semasa menaip artikel ini, hati saya berbelah bahagi. Saya tersangat takut sekiranya pendedahan saya ini akan mengaibkan keluarga saya. Menggigil tangan saya untuk menaip ini. Tetapi saya kuatkan hati. Semoga luahan hati saya sampai kepada pembaca.

Seperti tajuk di atas, saya berasal dari keluarga yang bermasalah dan merupakan anak tiri yang dibesarkan dalam keluarga yang sederhana dan kecil. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah S.W.T kerana saya dikurniakan seorang ayah tiri yang baik. Tidak pernah sekali pun ayah lakukan perkara yang tidak baik walhal cubit sekali pun tidak pernah selama berkahwin dengan ibu.

Sebagai anak tiri juga, ibu selalu menasihatkan dan menegur untuk saya sentiasa menjaga pakaian, adab dan kelakuan saya apabila ayah berada di rumah. Ibu dan ayah berkahwin hampir 15 tahun. Ayah sebelum ini ada anak dengan bekas isteri. Namun semuanya tidak tinggal dengan ayah. Terkadang saja, hanya berhubung melalui telefon.

Yang menjadi dilema dan masalah besar kepada saya ialah ayah tak nak solat. Allah. Ini yang saya paling takut. Tersangat takut. Bukan dia tidak solat langsung. Kadang-kadang dia ada solat. Tapi tak sempurna 5 waktu. Dalam sehari, terkadang tidak langsung. Terkadang hanya satu waktu sahaja.

Saya takut untuk bersuara secara terus terang. Kalau anda berada di dalam keluarga macam saya, saya percaya anda akan faham macam mana perasaan saya untuk berhadapan dengan ayah tiri. Saya pernah suarakan perkara ini dan selalu suarakan kepada ibu. Ibu hanya mengeluh lemah.

Ibu setiap hari ingatkan pasal solat dekat ayah. Tapi hakikatnya umpama mencurah air ke daun keladi. Sia-sia. Tak ada perubahan. Untuk pengetahuan semua, umur ayah sekarang awal 60 an. Mesti semua pelik. Takkan dah masuk 60 tahun masih tak solat? Tetapi itulah hakikatnya.

Memang ayah umur awal 60 an. Namun, penampilan ayah bukan seperti umur awal 60 an tetapi seperti orang yang berusia 50 an. Ayah jenis yang berpakaian kemas dan segak sentiasa. Alhamdulillah. Allah S.W.T kurniakan ayah tubuh yang sihat. Disebabkan itu juga saya risau, takut sangat Allah S.W.T menarik nikmat kesihatan ayah sekali gus tanpa amaran.

Saya bekerja jauh dari keluarga, belum berkahwin dan sekarang tinggal sendiri. Saya pulang ke rumah ibu ayah apabila saya cuti panjang sahaja. Terkadang semasa di rumah, apabila saya marah, saya akan marahkan adik lelaki saya (masih muda dan kanak-kanak) walhal saya ingin marahkan ayah yang tidak solat.

Pernah saya sengaja membaca Al-Quran dengan nada yang kuat sebab saya nak ayah dengar, tergerak hati nak solat dan rasa malu dengan anak. Tapi, tetap tak diendahkan. Macam tu jugak dia. Saya tak tahu dan tak dapat nak menduga isi hati seorang lelaki macam ayah.

Bukan saya tak nak tegur secara terus terang. Tetapi saya sedar, takut dan saya hanyalah anak tiri. Ada batasnya. Dan saya perempuan. Ilmu agama saya masih banyak lagi yang perlu diperbaiki. Saya tak nak kerana teguran saya, hubungan dengan ayah akan bermasalah. Saya pernah tegur pasal solat secara gurauan tapi tak jalan. Ayah hanya diam tanpa jawapan.

Ibu pernah jumpa seorang ustaz bertanyakan pasal ayah. Ustaz tu cakap, dengan umur ayah sekarang, susah untuk berubah. Hati dah kering. Tak lut dengan lidah manusia. Hanya teguran dari Allah S.W.T sahaja ayah akan berubah.

Macam-macam cara dah ibu buat nak ayah solat. Rumahtangga pun hampir berantakan. Sebab ayah pun ada perangai yang saya tidak boleh nak kongsi dekat sini. Terlalu aib untuk saya ceritakan. Biarlah sekadar pasal solat sahaja point utama saya.

Berdosakah saya kerana saya membiarkan ayah melakukan dosa besar? Berdosakah saya kerana berkongsi cerita ini kepada umum? Macam mana cara untuk saya menegur ayah? Supaya ayah tidak rasa terkilan dan terasa dengan saya. Apa yang saya mampu lakukan sekarang ialah berdoa kepada Allah S.W.T supaya dilembutkan hati ayah untuk bersujud kembali kepadaNya.

Segala cadangan anda semua dan kesudian membaca kisah saya, saya ucapkan terima kasih. Saya mohon doakan ayah supaya ayah berubah kearah kebaikan untuk mendalami ilmu agama disaat-saat hujung usianya.

– Cik Dilema (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *