Poligami Dari Pandangan Seorang Anak

Assalamualikum admin dan semua pembaca IIUM Confession. Saya gadis di penghujung 20an dan masih belum berkahwin. Tertarik untuk luahkan tentang poligami dari pandangan anak anak, ye lah selalu yang kita baca dari suami isteri kan.

Ayah berkahwin kali kedua semasa semua adik beradik di sekolah rendah. Sebelum perkahwinan kedua, boleh dikatakan keluarga kami keluarga bahagia, zaman kanak kanak saya dan adik beradik memggembirakan macam orang lain.

Semua berubah 100% bila ibu tahu ayah sudah bernikah dengan yang kedua. Pergaduhan pertama dan paling teruk pernah saya nampak dalam keluarga kami. Ibu kejut kami suatu pagi dan tanya, nak ikut siapa, ayah atau ibu?

Kami adik beradik terdiam. Ayah cuma suruh mandi dan turun bawah belajar untuk peperiksaan pertengahan tahun. Kami belajar di bawah, tapi masing masing diam sambil air mata berlinang. Dengar ibu hempas pintu, baling handphone ke dinding dan macam macam lagi.

Itu permulaan bagi sepuluh tahun kehidupan selepas itu yang kami adik beradik sifatkan macam neraka. Bangun pagi dengan jeritan dan makian ibu, ya ibu banyak berubah. Dulu ibu seorang yang lembut, walaupun wanita bekerjaya tapi jarang kami dimarah tanpa sebab.

Kami adik beradik mula diajar membuat kerja rumah tetapi dengan makian dan pukulan. Kadang kadang ibu maki tanpa sebab dan pernah jerit kata muka saya buruk macam tahi. Tidur malam tak pernah lena mendengar ibu dan ayah bergaduh dalam bilik. Ayah tak cukup duit. Adik bongsu baru lahir dalam keluarga kami, keluarga sana pula anak sulung lahir beberapa bulan selepas itu.

Saya lihat ayah kutip duit syiling di celah almari dan bila terjumpa RM10, ayah cium duit itu. Kami ditukarkan sekolah, dari swasta ke kerajaan. Di sekolah, saya semakin hari semakin pendiam. Murung. Kawan- kawan baik semakin lama semakin jauh..

Berbelas tahun berlalu. Cukuplah saya ceritakan separuh dari apa yang berlaku. Kami adik beradik sudah dewasa. Semua dihantar ke asrama dan alhamdulillah kami dapat merasa hidup lebih gembira dengan kawan-kawan. Keadaan ibu juga semakin baik. Kewangan ayah ibu semakin stabil. Cuma, entahlah. Semakin saya besar semakin kuat trauma yang saya hadapi kesan dari waktu kecil itu.

Pernah waktu saya basuh pinggan di dapur saya dengar suara ibu menangis. Macam macam saya fikirkan, kalau kalau ibu bergaduh lagi dengan ayah. Saya habiskan membasuh dan terus cari ibu, tetapi ibu okay. Ibu sedang menonton drama di tv dan tiada kesan baru lepas menangis. Rupanya apa yang saya dengar cuma imaginasi.

Dalam percintaan, saya jadi takut. Sebab saya fikir lelaki sebaik ayah pun akan kecewakan kami. Bila pasangan buat saya sedih walaupun atas sebab remeh, saya terus memilih berpisah. Sebab saya takut, makin saya sayang makin saya akan dikecewakan. Jadi untuk tidak mengecewakan sesiapa lagi saya pilih hidup sendiri beberapa tahun kebelakangan ini.

Ibu ajar kami hidup tanpa bergantung pada ayah. Dari segi perhatian, masa, kewangan dan macam macam lagi. Cuba tanya betul betul lelaki yang berpoligami, mereka akan jawab yang ia sangat sangat penat.

Waktu raya bahagi hari untuk balik tiga kampung, tiga negeri berbeza. Tuntutan kerja saja dah menyebabkan ayah memandu jauh setiap hari, apatah lagi untuk balik ke dua buah rumah yang jauh tempatnya.

Penat mencukupkan keperluan anak – anak, beberapa orang di universiti, di asrama penuh dan di sekolah rendah. Ayah seorang ayah yang baik, dan ibu pernah kata apa yang berlaku ayah anggap satu kesilapan yang tak dapat diundur, sebab ia datang dengan tanggungjawab iaitu anak – anak.

Akhir kata, saya minta pembaca doakan masalah trauma dan ketakutan untuk berpasangan akan kurang dan saya akan berkahwin satu hari nanti. Saya tak salahkan ayah atau ibu atas apa yang terjadi, semua manusia buat kesilapan. Buat para lelaki, fikir lah sebaiknya.

Saya pernah jumpa beberapa rakan dibesarkan dalam keluarga berpoligami dan mereka juga berkongsi perkara yang sama. Takut berkahwin sebab apa yang kami nampak berbeza.

Buat yang perempuan, tiada yang indah menjadi orang ketiga. Takkan pernah sama dengan isteri pertama. Dan, moga moga saya dan pembaca lain juga dijauhkan dari bertemu jodoh dengan lelaki yang dah berpunya.

– Cik S (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *