Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kerana sudi post masalah aku ni. Mungkin kecil pada sesetengah orang tapi besar bagi aku.
Saat aku menulis, masa telah menginjak jam 12 malam. Anak dan suami sudah tidur. Aku ambil masa ini untuk menenangkan fikiran. Sambil mencoret di IIUM Confession sebagai salah satu ikhtiar untuk aku mencari jawapan pada permasalahan aku melalui nasihat dan perkongsian positif kalian.
Aku Emilia (bukan nama sebenar) seorang pensyarah di universiti swasta manakala suamiku seorang doktor pakar. Kami mempunyai seorang anak lelaki yang kini belajar di darjah 1.
Di akhir tahun ini, pastinya sekolah akan membuat majlis anugerah bagi pelajar cemerlang. Sekolah anak aku tidak terkecuali.
Apa yang aku ingin ceritakan. Aku kecewa. Sebab anak aku langsung tidak tersenarai dalam mana-mana anugerah tersebut. Aku meletakkan harapan yang tinggi kerana hanya dia anak yang aku ada.
Ketika exam akhir tahun menghampiri, aku bertungkus-lumus belajar buku-buku teks anakku dan mengajarnya kembali.
Aku rasa aku dah cover 100% silibus dalam buku teks anakku tapi aku ralat dan kecewa kerana dia tidak dapat markah 100% pun dalam mana-mana subjek. Malah ada jugak subjek yang dapat B.
Aku dan suami sewaktu kecil kami sering mendapat no 1 hingga 3 dalam kelas. Tapi tidak pada anak ku. Aku rasa kecewa dan sedih. Apatah lagi melihat rakan-rakan Facebook dan Instagram masing-masing post gambar keputusan cemerlang dan anugerah yang anak mereka dapat.
Aku rasa seolah-olah aku ibu yang gagal. Gagal dalam mendidik anak aku menjadi cemerlang. Aku tidak tahu mana silapnya, mana salahnya. Aku stress sorang-sorang.
Buka Facebook dan Instagram, semua orang post mengenai anugerah yang diterima, result cemerlang di sekeping sijil. Di ofis juga, sibuk bercerita anak masing-masing menghadiri hari anugerah sekolah.
Kata orang, kebijaksanaan anak-anak itu datang dari ibu bapanya. Sedangkan anak ku merupakan anak seorang doktor pakar dan pensyarah tapi tidak dapat keputusan yang sebegitu.
Belum lagi tekanan dari sepupu dan saudara-mara yang rata-rata dapat naik ke pentas menerima hadiah. Semua post gambar di group WhatsApp keluarga. Tapi anak aku?
Anak aku ini merupakan anak tunggal dalam keluarga kecil kami. Tinggi harapan aku dan suami untuk dia berjaya. Aku takut, aku tersilap dalam mendidik. Aku takut, aku tersalah dalam mengajarnya. Kerana peluang aku membesarkannya hanya sekali.
Aku tiada anak lain lagi. Dia lah satu-satunya anak aku. Aku cuma berharap dia berjaya dunia akhirat. Untuk makluman pembaca, aku sukar hamil. Jadi, tipis untuk ada anak lain lagi. Jadi, dialah anak tunggal yang aku dan suami ada.
Aku harap, pembaca dapat memberikan idea dan cadangan atau mungkin perkongsian bagaimana aku nak mendidik anak aku supaya cemerlang dunia akhirat.
Untuk hantar tuisyen, jadual anakku sudah penuh dengan sekolah sesi pagi dan petang, kemudian aktiviti sukan lain pada hujung minggu. Malam pula hanya tinggal masa untuk siapkan homework. Jadi, aku tidak tahu macam mana lagi untuk aku selitkan tuisyen dalam jadualnya.
Harap para parents yang mempunyai anak cemerlang sudi berkongsi tips dengan aku. Aku buntu. Aku stress kalau anak aku tak cemerlang. Aku ingin dia naik pentas juga.
– Ibu yang high expectation
– Emilia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit