Aduan Kepada Penjawat Awam

Assalamualaikum. Isteriku seorang penjawat awam yang berpangkat rendah di kementerian yang berkaitan kesihatan. Minggu lepas, isteriku mendapat surat aduan. Gempak gempita seantero bumi Si Putum apabila isteriku tidak dapat menerima aduan dibuat ke atasnya.

Maka, selaku hero Malaya, aku di desak untuk menyaman pihak pengadu kerana pada isteriku, aduan yang dibuat ialah fitnah ke atas dirinya yang ikhlas melaksanakan tugas/kerja.

Untuk pendahuluan, aku jelaskan bahawa si Pengadu telah menghantar aduan melalui sistem aduan kepada penjawat awam dengan mengatakan bahawa isteriku telah mencaci-maki si Ayah pengadu. Kerana aduan tersebut, pihak atasan telah menyuruh isteriku membalas surat aduan tersebut.

Perlu dijelaskan di sini bahawa aku berpendapat sistem aduan kepada penjawat awam adalah suatu perkara yang bagus; dalam erti kata; warga awam dapat menyalurkan ketidakpuasan mereka kepada penjawat awam melalui keadah/laluan yang rasmi dan benar.

Isu kenapa sampai bumi Si Putum begelora adalah kerana si Pengadu membuat aduan yang berunsur fitnah. Hal ini dibuktikan apabila aku dan isteri dapat membuktikan melalui hasil kesaksian dari saksi yang berada berhampiran dan rakaman CCTV.

Kemuncaknya adalah apabila pihak kementerian menelofon si Pengadu untuk bertanya kenapa pengadu mengatakan isteriku mencaci-maki walaupun hasil penyelidikan yang dilaksanakan membuktikan sebaliknya; dengan selamba si Pengadu mengatakan bahawa ia berpunca kerana isteriku tidak memberi MC (baca: cuti sikit).

Maka, selama seminggu si hero Malaya ini dipaksa oleh isterinya untuk membalas fitnah si Pengadu. Aku berpegang kepada Surah as-Syura, ayat 40. Lalu, aku memulakan penyiasatan.

Kaedah pertama yang aku lakukan adalah membuat penyelidikan (baca: stalking media sosial) dengan bersumberkan nama pengadu. Tujuan aku mengintai sosial media si Pengadu adalah untuk mengetahui samada beliau adalah penjawat awam atau tidak. Aku ada jumpa satu akaun fb dengan nama yang sama dengan si pengadu, tetapi akaun itu telah di -private-kan.

Apabila kaedah pertama gagal, kaedah kedua yang aku lakukan ialah dengan menggunakan surat aduan tersebut, aku pergi kepada balai polis untuk mendapatkan detail si Pengadu.

Pegawai polis yang menerima aduan tercengang kerana tidak pernah lagi orang kecoh macam ni sekali. Kendatipun pegawai polis itu meminta aku “be the bigger person”, terpaksa aku menolak permintaan beliau dengan baik kerana aku hero Malaya (baca: isteri kat rumah mengamuk kena fitnah; angry wife, not so happy life).

Hasil dapatkan polis menunjukkan bahawa si pengadu beralamat di sekian sekian dan bukanlah penjawat awam. Kerana bukan penjawat awam, aku tak boleh lah nak mengadu melalui sistem aduan penjawat awam bahawa si pengadu ni kaki fitnah.

Kaedah ketiga ialah saman malu; seantero bumi si Putum ketawa. Benda kecik je pun, dah kenapa nak sampai saman menyaman. Tapi, bila perempuan tengah marah, sel-sel otak biasanya tak bersambung. Maka, kami berbincang dengan kawan yang berlatar belakang guaman.

Beliau memaklumkan bahawa terdapat dua jenis perundangan di Malaysia iaitu perundangan sivil dan perundangan jenayah. Untuk kes isteriku, iainya peundangan sivil iaitu harus ambil peguam untuk isu saman fitnah dan kos untuk buka fail ialah RM5000, menang kalah lain cerita. Isteriku ON.

Semalam, pegawai polis menelofon aku balik. Dia memberitahu bahawa si Pengadu dan keluarganya berasal dari keluarga yang bermasalah. Itulah puncanya kenapa si Pengadu kaki fitnah dan tetap degil menyalahkan isteriku walaupun semua bukti telah dipamerkan. Bila aku tengok balik alamat si Pengadu iaitu beralamat di sekian sekian, hati aku mula lembut.

Akhirnya, selepas air bacaan yasin dan 3 Qul di sembur ke muka isteriku, hatinya mula lembut untuk memaafkan dan “be a bigger person”.

Khulasah yang aku dapat konngsikan ialah,

A. Untuk penjawat awam apabila menerima aduan berkaitan kerja anda.

1. Sekiranya anda benar, jawablah surat aduan tersebut dengan jujur.

2. Sekiranya anda di fitnah, anda mempunyai hak untuk menyerang balik si Pengadu, boleh guna kaedah yang aku kongsi di atas.

3. Walaupun anda bengang kerana si pengadu menfitnah, tetaplah professional. Jangan menyerang ke rumah pengadu, mahupun pergi ke kawasan kampung si Pengadu untuk mendapatkan maklumat dia.

B. Untuk pengadu.

1. Sekiranya anda tidak berpuas-hati dengan penjawat awam, buatlah aduan melalui sistem yang disediakan.

Kalau anda mengunakan sosial media untuk menyuarakan ketidakpuasan hati anda, memang anda menempah maut kerana ada kemungkinan boleh jatuh bawah perundangan jenayah (baca; polis yang akan menjalankan siasatan dan kejar anda).

2. Sekiranya anda tidak puas-hati kerana perkara A, buatlah aduan berkaitan perkara A, janganlah menambah perisa. Contohnya, anda tidak puas-hati tidak dapat MC, buatlah aduan kerana tidak dapat MC.

Tahukah anda berhak untuk pergi ke pejabat klinik/hospital untuk membuat aduan sekiranya anda gagal mendapat MC walaupun anda layak? (baca: kalau anda memang layak, kenapa harus takut untuk meminta MC?, kalau memang anda mengada-ngada, itu salah anda sendiri).

Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu.

Sekian.

– Syafiq Hakim (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *