Assalamualaikum semua pembaca sekalian. Isu semasa masa kini, selepas pengumuman keputusan peperiksaan UPSR, sudah semestinya isu yang berkaitan dengan penempatan sekolah anak-anak ke peringkat sekolah menengah, selepas tamatnya persekolahan sekolah rendah…
Ada diantara ibu bapa yang telah merancang lebih awal, untuk menempatkan anak-anak mereka ke SBP (Sekolah Berasrama Penuh), ada yang merancang untuk menempatkan ke sekolah biasa dan ada yg merancang untuk menempatkan ke sekolah aliran agama dan sekolah tahfiz sepenuh masa..
Semua perancangan tersebut, sudah pastinya ada yang telah dirancang lebih awal, sebelum peperiksaan UPSR berlangsung. Faktor perancangan awal dari ibu bapa, pastinya banyak dipengaruhi oleh pencapaian akademik anak-anak, minat anak-anak dan mungkin juga oleh hasrat atau matlamat ibu bapa itu sendiri untuk mencorakkan anak-anak.
Bagi ibu bapa yang merancang untuk menempatkan anak-anak ke sekolah tahfiz, sudah pastinya ibu bapa itu sendiri yang mempunyai niat dan alasan tersendiri. Walaupun pada era masa kini dengan segala informasi yang boleh diperolehi, masih ada pandangan negative tentang institusi tahfiz di Malaysia.
Masih ada yang menganggap bahawa pelajar lepasan sekolah tahfiz “tiada masa depan”. Masih ada kata-kata “tengoklah budak-budak tahfiz tu, tak jadi apa. Bukan boleh jadi engineer, lawyer pun.” Itulah sisi negative yang masih melekat dalam pemikiran sebahagian pemikiran masyarakat.
Sedangkan perjalanan pendidikan antara orang yang berjaya sebagai pensyarah University Oxford, Dato’ Dr Muhammad Afifi Al-Akiti, merupakan pelajar sekolah pondok dan tahfiz.
Begitu juga dengan pensyarah Fakulti Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin, juga mempunyai latar belakang pendidikan sekolah tahfiz. Dan ramai lagi lepasan sekolah tahfiz yang berjaya.
Bukan itu sahaja, sisi negative berkaitan perilaku pelajar tahfiz juga akan dikaitan. Isu semasa pelajar tahfiz yang melakukan salahlaku di sekolah tahfiz, akan terus diambilkira sebagai perkara utama, untuk tidak menempatkan anak-anak ke sekolah tahfiz.
Kenapa ini boleh berlaku di sekolah tahfiz? Kerana masih ada ibu bapa yang menganggap sekolah tahfiz adalah “sekolah pemulihan akhlak” anak-anak. Ada ibu bapa yang melepaskan tangan untuk membentuk anak-anak, dengan cara menghantar anak-anak yang punyai masalah akhlak ke sekolah tahfiz.
Mereka berharap agar sekolah tahfiz dapat membentuk anak-anak mereka menjadi seperti yang mereka harapkan. Kesan buruk yang akan berlaku jika ini berterusan, adalah kes buli pelajar di sekolah tahfiz pasti akan berlaku. Inilah cabaran kepada institusi tahfiz, kesan dari sikap ibu bapa sendiri.
Kami antara ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz. Latar belakang akademik dan kerjaya kami, adalah dalam bidang professional. Masing-masing ada kerjaya sendiri sebagai dalam bidang kejuruteraan.
Malah ada ibu bapa kepada sahabat anak kami di sekolah tahfiz, punyai latar belakang kerjaya dan pendidikan yang jauh lebih hebat dari kami.
Ada diantara mereka memegang jawatan penting dalam negara, tetapi tetap memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz, walaupun keputusan anak mereka jauh lebih cemerlang dan sudah pastinya jika mereka ingin menempatkan di sekolah berprestij yang lain, cukup mudah.
Apabila kami menyuarakan hasrat kami menghantar anak ke tahfiz, ramai sahabat kami yang memberi pendapat yang bertentangan dengan kami.
Alasan mereka, “anak masih kecil dan tidak sesuai untuk ke asrama, jangan paksa anak untuk belajar dalam bidang yang ibu bapa paksa, biar anak-anak sendiri yang buat pilihan, sekolah tahfiz banyak masalah disiplin”….dan paling menyedihkan, “engkau letak anak engkau ke sekolah tahfiz, bukan jaminan untuk kau boleh masuk syurga pun.”…… banyak lagi pendapat mereka.
Memang benar, jika kami tempatkan anak-anak kami di sekolah tahfiz, ia bukan jaminan untuk kami ke syurga Allah, tetapi kami telah menjalankan tanggungjawab dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa yang memberikan ilmu pelajaran dan ilmu agama kepada anak-anak kami.
Walaupun kami tidak mengajar sepenuh masa kepada anak-anak, tetapi kami telah mengambil inisiatif untuk memberi anak-anak dgn ilmu agama dengan menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz.
Walaupun kami menerima cabaran dari orang sekeliling, tetapi tujuan kami tetap sama, kami tetap ingin mendidik anak-anak kami mengikut ajaran Allah. Kami ingin anak-anak kami memahami ilmu agama kerana hanya ilmu agama yang dapat melindungi anak-anak kami, jika kami telah tiada di dunia nanti.
Hanya ilmu agama sahaja yang dapat memberi kejayaan sebenar, iaitu kejayaan akhirat yang perlu kita capai.. hanya ilmu agama yang dapat memberikan syafaat kepada kita setelah kita mati….. Kerana setelah kita meninggal dunia, hanya 3 perkara yang akan kita bawa, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak-anak yang soleh.
Bagi kami, anak-anak yang masih belum matang berfikir, kita sebagai ibu bapa perlu “paksa” anak-anak. Paksa bukan bermakna kita tidak mendengar terus pendapat mereka sebagai anak-anak, tetapi paksa bagi kami adalah memberikan penunjuk atau jalan untuk mereka faham apa tujuan kita sebagai ibu bapa, untuk menbentuk mereka menjadi hamba Allah di dunia ini.
Kita tidak boleh terlalu liberal atau terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak untuk berfikir bagi mencorak diri mereka. Cabaran mereka pada masa sekarang tidak sama seperti zaman kita dibesarkan dahulu. Mereka banyak didedahkan dengan dunia internet, gajet dan hiburan yang banyak melalaikan.
Sudah pastinya usia anak-anak yang masih belum matang, mereka hanya memikirkan keseronokkan, kerana mereka belum faham apa tujuan hidup sebagai hamba Allah. Inilah peranan kita “memaksa” anak-anak untuk berfikir, bagi tujuan merancang masa hadapan mereka. Begitu jugalah cara Rasulullah saw menyuruh kita “memaksa” anak-anak untuk solat.
“Suruhlah anak-anakmu bersolat ketika mana mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mengerjakan solat) ketika mana mereka berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur antara mereka (iaitu anak lelaki dan perempuan)” (HR Abu Daud : 495)
Kenapa kami berniat “memaksa” anak-anak ke sekolah tahfiz?
Kerana kami sedar, anak-anak adalah amanah dari Allah swt. Bagaimana kami corakkan mereka, begitulah “persoalan” dari Allah swt kepada kami di akhirat kelak. Matlamat kami, anak-anak yang diamanahkan kepada kami akan menjadi manusia yang beriman kepada Allah.
“Wahai orang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah Al-Tahrim, ayat 6)
Pada mulanya, anak sulung kami amat memberontak, setelah kami “paksa” dia bersekolah di sekolah tahfiz. Ada sahaja yang tidak sesuai untuk diri dia di sekolah tahfiz yang kami tetapkan. Sedangkan segala kemudahan serta facility di sekolah tersebut cukup lengkap.
Dan hampir setiap minggu selama 6 bulan, kami berulangalik ke sekolah dia, untuk melawat dan memberikan sokongan kepada dia. Tetapi anak kami masih tetap sama… menyalahkan kami kerana memaksa dia ke sekolah tahfiz..
Akhirnya kami hanya berserah kepada Allah, atas semua keputusan yang bakal kami pilih nanti. Saya memohon doa hampir setiap masa dan pasti saya menangis bila memikirkan dengan apa yang berlaku. Dan saya tetap mendoakan agar Allah swt membuka hati anak kami, untuk memahami tujuan dan niat kami menghantar beliau ke sekolah tahfiz.
Alhamdulilah, dengan kuasa Allah, pada bulan ke tujuh anak kami di tahfiz, beliau datang memeluk kami dan memujuk agar jangan tukarkan beliau ke mana-mana sekolah lain. Dia kata dia cukup seronok dan gembira bersekolah sekarang. Dia juga “berterima kasih” kepada kami kerana “memaksa” dia untuk ke sekolah tahfiz.
Sehingga kini, kami sendiri tidak tahu apa punca anak kami berubah…. Apa yang menyebabkan dia tiba-tiba lembut hati untuk ikhlaskan diri menghafaz Al-Quran dan memahami ilmu agama di sekolah tahfiz tersebut… Hanya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui…
“Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah paala yang besar.” (Surah At-Thaghabun, ayat 15)
Alhamdulilah, kini kami boleh lega sedikit setelah anak kami gembira bersekolah di sekolah tahfiz. Pencapaian akademik juga banyak yang meningkat dan paling mengembirakan kami, beliau antara pelajar yang bagus dalam hafazan Al-Quran (ulasan dari guru tasmik beliau).
Alhamdulilah, sekarang ni, banyak juga perkara positif yang kami dapat lihat dari perubahan anak kami. Malah jika kami tersalah dalam sesuatu perkara, pasti dia akan menegur kami dengan dalil dan ilmu yang beliau belajar.
Untuk ibu bapa yang masih ragu-ragu untuk membuat pilihan sekolah anak-anak, semuanya bergantung kepada niat masing-masing. Apa tujuan dan matlamat kita sebagai ibu bapa untuk mencorak anak-anak.
Doa dari ibu bapa kepada anak-anak adalah senjata utama kejayaan anak-anak. Keredhaan kita sebagai ibu bapa adalah kunci untuk anak-anak mendapat keredhaan Allah swt…teruskan berdoa kepada Allah untuk anak-anak kita berjaya.
Jika ibu bapa memilih sekolah biasa, anak-anak tetap boleh berjaya di dunia dan akhirat. Semuanya bergantung kepada peranan ibu bapa itu sendiri dalam mendidik anak-anak. Kejayaan anak-anak bukan terletak 100% pada guru, tetapi peranan ibu bapa dan pelajar itu sendiri yang ingin berubah untuk berjaya atau terus tidak mahu berubah…
“Mempunyai anak yang kaya dan berjawatan, namun miskin akhlaknya, amatlah pincang anak itu.” Dan akhlak yang baik semuanya bermula dari pendidikan ibu bapa…
Matlamat pendidikan dalam Islam adalah untuk mencapai perwujudan diri kesempurnaan kendiri yang meletakkan kesempurnaan roh dan bukannya jasad.
“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!” (surah Al-Fajr, ayat 27)
Semoga anak-anak kita semua akan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat dan semoga anak-anak kita sentiasa dalam lindungan Allah swt…. Aamiin.
– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit