Bagaimana Kata-kata Boleh Mencederakan Seseorang

Sebelum anda membaca, pastikan anda sudah membaca dengan teliti amaran yang ditulis di bawah ini.

*AMARAN KERAS DARIPADA PENULIS.

Artikel ini panjang dan mengandungi fakta dan informasi sains, terutama dalam bidang psikologi. Untuk mereka yang tak suka membaca artikel kerana panjang dan meleret-leret ataupun golongan TL;DR ini adalah masa yang paling sesuai untuk anda tidak meneruskan pembacaan.

Bukan apa, saya nak cuba jimatkan masa anda supaya anda tak menulis ulasan mengenai kepanjangan artikel ini. Anda boleh meneruskan untuk komen dibawah untuk hal ini, dan saya ada tahu seorang makcik loyar buruk yang akan menyokong anda. Terima kasih.

—————————————————————

Marcapada, kebangkitan internet dan media sosial berkembang dengan sebegitu rancak sekali. Jika sebelum zaman kebangkitan teknologi telefon bimbit, manusia berkomunikasi di antara satu sama lain melalui percakapan depan-depan (atau fast to fast bak kata budak WeChat) mahupun menerusi perbualan telefon landline.

Kaedah yang ketiga adalah menerusi surat yang berbau bedak Pureen atau Johnson and Johnson, terutama sekali jika seseorang itu ingin menghantar warkah buat kekasih. (ceeewaaah).

Selepas kebangkitan zaman short message service (SMS), sedikit sebanyak manusia mulai masuk ke dalam cara komunikasi melalui penulisan yang dapat dibalas dengan pantas. Kemudiannya, selepas kebangkitan telefon pintar yang mempunyai keupayaan daripada GPRS, EDGE dan kini, 4G dan sedang menghala ke arah 5G, penulisan digital merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan oleh kita semua.

Kebangkitan Facebook dan beberapa laman web terkemuka mula kita jadikan sebagai satu tempat untuk meluahkan kata-kata. Kita juga boleh menulis komen kepada sesiapa pun, walaupun dengan orang yang kita tidak kenali.

Penulisan ini boleh jadi daripada jenis yang biasa dan sopan, sehinggalah tahap bawang yang terlalu besar sehingga menimbulkan fitnah, dan adalakalanya menyebabkan kesakitan emosi bukan sahaja pada penulis, malah daripada pembaca yang lain. Paling teruk adalah perkataan ini yang boleh menyebabkan kematian. Ribuan contoh yang kita dapati sebelum ini daripada kes di Sabah, Sarawak, Johor, Selangor dan lain-lain.

Pengenalan kepada cara berkomunikasi ini menjadi terlalu mudah untuk sesiapa sahaja yang mahu menghantar mesej mahupun pesanan kepada orang lain. Malangnya, perkara sebeginj mendedahkan sisi gelap seseorang yang mana menjadikan tuduhan, sumpah seranah dan makian sebagai satu rutin harian.

Perkara ini membuatkan pendapat yang kita ada semakin murah harganya taktala isu besar dan serius seperti isu agama, isu kesihatan mental dan juga apa-apa isu berkenaan dunia perubatan boleh dipermainkan. Kerana apa? Kerana kata-kata mahupun perkataan yang ditulis itu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Juga, mesej dan komen ini selalu disalah tafsirkan memandangkan mesej ini hanyalah berbentuk perkataan semata-mata, tiada emosi, tiada intonasi atau nada yang menjadikan si penerima mesej ini membuat andaian sendiri. Itulah sebabnya mengapa sesetengah orang mempunyai masalah untuk mentafsirkan mesej tersebut akan menyebabkan pertelingkahan berlaku walaupun pada awalnya, mesej yang dihantar itu bersifat harmless dan sarkastik.

Juga, pada kebanyakkan masa, kita tidak tahu siapa yang berada di hujung satu lagi. Adakalanya, secara tidak sengaja kita terpaksa berbahas dengan budak yang masih tidak mencapai akil baligh lagi, ataupun manusia yang sudah akil baligh dan mempunyai anak-anak, tetapi mentalitinya bersamaan dengan kanak-kanak berumur 8 tahun. Tak matang namanya.

Hujungnya, isu perbalahan tidak akan selesai, tetapi pihak yang berasa dirinya salah dan setelah bertungkus-lumus untuk cuba menegakkan benang yang basah berakhir dengan kegagalannya untuk membidas yang hanya akan membuang masa kita dan ditambah lagi dengan perasaan sakit hati kerana pengakhirannya bukanlah si komentar tersebut memohon kemaafan, sebaliknya dia akan sama ada delete komennya mahupun block dan disusuli dengan deactivate akaunnya. Biasalah, adakalanya harga untuk meminta maaf itu terlalu tinggi kerana disokong oleh tahap ego yang juga tinggi.

Kita boleh mengambil masa kurang daripada 15 saat untuk menulis komen dan menjadikan apa yang kita tulis itu tersebar ke netizen daripada seluruh dunia. Mudah bukan? Terlalu mudah. Konsep ‘sekali anda tulis sesuatu di internet, perkataan demi perkataan yang anda tulis itu akan kekal selamanya” kelihatan seperti tidak difahami oleh beberapa insan-insan sebegini yang tidak henti-henti menulis sesuatu yang mencetuskan provokasi.

Sehingga sampai satu tahap, barulah kita sedari yang dia mencuba sedaya-upaya bukan untuk dirinya mendapat ilmu pengetahuan, sebaliknya hanya inginkan perhatian semata-mata. Malangnya, orang sebegini akan mendapat sokongan daripada orang lain.

Kita boleh menulis komen-komen tanpa berfikir dengan panjang dan tanpa kita ketahui, komen tersebutlah yang akan meninggalkan kesan mendalam kepada seseorang. Mudah bukan? Sekarang, cuba kita lihat terlebih dahulu mengenai satu aforisme bernahasa orang putih ini iaitu

“Sticks and stones may break my bones

But words will never harm me”

Aforisme ini berasal daripada zaman 1830-an dan sesungguhnya, ini adalah salah satu jenis peribahasa yang agak kompleks untuk kita ulaskan, namun, ikhtisar yang saya boleh katakan di sini adalah peribahasa ini sudah lagi tidak relevan dengan perkembangan dan penciptaan beberapa cara lain untuk kita berkomunikasi.

Apabila kita bercakap mengenai isu dan kajian yang berkaitan dengan emosi, personaliti dan juga sifat seseorang individu yang sering berubah-ubah, agak sukar untuk para saintis menganalisis minda seseorang secara objektif kerana pada asasnya, manusia ini lain-lain sifat mereka.

Hal ini adalah kerana perkembangan teknologi perubatan dan kajian saintifik bersama-sama membawa kepada penciptaan scientific tools yang boleh menukarkan sesuatu yang subjektif kepada sesuatu yang objektif. Sesuatu yang bersifat objektif atau quantitative ini membolehkan keputusan kajian diterjemahkan dalam bentuk carta dan graf.

Scientific tools yang dimaksudkan ini adalah merujuk kepada alat yang bernama functional Magnetic Resonance Imaging (fMRI). fMRI ini sedikit sebanyak membolehkan seseorang saintis menyelidik tentang kesan terhadap apa-apa stimulus terhadap otak kita.

Dalam hal ini, sudah tentu kita perlu mengkaji mengenai konsep ‘kesakitan’. Kesakitan, sekiranya saya ingin membuat perbandingan secara asas boleh dibahagikan kepada 2 kategori mengikut kepada kesannya terhadap seseorang manusia. Yang pertama adalah kesakitan fizikal, iaitu kesakitan yang kita alami akibat terkena apa-apa elemen yang boleh mencederakan kita daripada luar. ditoreh, dicucuk, ditikam, jari kaki tertendang kaki meja mahupun terpijak lego di balik permaidani yang tebal merupakan beberapa contoh kesakitan fizikal.

Dan jenis kesakitan yang kedua ini digelar kesakitan emosi dan mental. Kesakitan sebegini boleh diberikan oleh seseorang hanya menerusi kata-kata mahupun perbuatan sesetengah orang kepada kita sahaja. Mudah dan sangat efektif. Modal air liur sahaja bak kata makcik-makcik yang suka membawang di media sosial.

Saya tertarik dengan satu artikel yang diterbitkan di laman web perubatan terkemuka iaitu WebMD dalam satu penulisan yang dikongsikan pada 2 April 2010 mengenai beberapa kajian dan penyelidikan menerusi fMRI seseorang sebagai satu respon kepada kesakitan.

Satu bahagian otak kita, iaitu Anterior CIngulate Cortex merupakan pusat kawalan utama untuk menerima data dalam bentuk elektrik yang dihantar oleh saraf-saraf kita menerusi reseptor atau nerve ending yang mampu mengesan apa-apa stimulus yang bersifat menyakitkan.

Pusat kawalan ini amat penting kerana ianya memainkan peranan bagi membuatkan seseorang itu mengelak dan melarikan diri terhadap ransangan yang menyebabkan kesakitan ini. Fitrah dan respon kita ini berasal daripada bahagian otak yang primitif, satu mekanisma perlindungan untuk meneruskan kelangsungan hidup sesuatu organisma itu.

Akan tetapi, setakat ini, hanya manusia sahaja yang mempunyai keupayaan mental yang tinggi untuk terkesan dengan perkataan. Apa yang dimaksudkan dengan perkataan atau kata-kata ini merangkumi aspek jenis perkataan itu sendiri, nada suara dan juga gaya penyampaian seseorang itu. Haiwan seperti anjing boleh memahami sekiranya kita sedang marah, dan interpretasinya adalah nada suara kita sendiri, bukannya jenis perkataan yang kita gunakan.

Kajian Professor Thomas Weiss menunjukkan bahawa sesetengah perkataan yang membawa maksud bertemakan kesakitan boleh menyebabkan seseorang individu itu merasai kesakitan berdasarkan kepada pengimejan fMRI.

Apabila subjek kajian mendengar perkataan seperti sakit, pedih, bedenyut-denyut dan lenguh akan menyebabkan bahagian otak yang sama dengan stimulus daripada kesakitan fizikal menyala (terma menyala ini bermaksud kawasan yang digunakan oleh bahagian otak kita untuk memproses sesuatu perkara itu diaktifkan). Perkataan yang bersifat negatif tetapi tidak berkaitan dengan kesakitan seperti jijik, busuk, hodoh dan bodoh juga memberi kesan yang sama terhadap otak kita.

Kemudian, perkataan yang bersifat provokatif, kutukan dan makian terutama sekali yang datang daripada orang yang kita kenali akan meninggalkan kesan yang sama. Perasaan yang timbul daripada sesuatu perkara yang besar seperti kematian ahli keluarga atau sahabat yang terdekat mahupun apa yang dialami oleh seseorang sebaik sahaja dia putus cinta atau perhubungan akan mempunyai impak negatif yang lebih teruk kepada kawasan otak yang sama untuk memproses kesakitan fizikal.

Terdapat 2 perkara utama sekiranya seseorang itu putus cinta mahupun sekiranya seseorang itu dibuli. Yang pertama adalah perasaan dan kata-kata yang dilemparkan ketika perhubungan yang putus itu dengan sendirinya akan dianalisis oleh pain center seseorang sebagai ‘sakit’.

Yang kedua adalah perkara ini akan secara automatiknya tersimpan di dalam memori seseorang yang mengalaminya buat masa yang agak panjang. Akan tetapi, mengapakah kita ingin menyimpan pengalaman buruk dan menyakitkan ini sebagai satu memori? Bukankah itu satu perkara yang tidak bagus untuk manusia?

Ya, saya setuju memang perkara menyimpan memori yang buruk ini akan menyebabkan bukan sahaja kesakitan, malahan perkara tersebut akan hadir dan berulang-ulang di dalam pemikiran kita sehingga kita mendapat pelbagai kesan buruk daripadanya di mana yang paling berbahaya sekali adalah penyakit yang berkaitan dengan mood kita iaitu Major Depressive Disorder dan juga Bipolar Disorder.

Masa yang paling kritikal untuk kita bertindak adalah pada masa yang terletak di antara stimulus tersebut terjadi dan perkembangannya yang menyebabkan seseorang itu menghidapi penyakit mental.

Masa yang singkat ini selalunya tidak akan kita perasan, akan tetapi, usaha untuk mengerjakan perkara yang bersifat kerohanian seperti yang berkaitan dengan agama (bacaan Al Quran dan solat sunat/taubat) atau apa-apa sahaja yang selalu kita lakukan untuk menghilangkan perasaan stres perlu dilakukan dalam timeframe ini sebelum ianya bertukar menjadi penyakit (disorder).

Inilah antara beberapa sebab mengapa cadangan aktiviti bersifat kerohanian ini akan menjadi kurang keberkesanannya apabila seseorang itu sudah melangkaui garisan yang membezakan di antara depress/stress yang normal secara fisiologinya (normal reaction untuk stressor sebegitu) dengan major depressive disorder/clinical depression/bipolar disorder.

Apabila seseorang itu sudah tiba pada peringkat yang sedemikian, segala rawatan dan kaunseling akan bertukar kaedahnya kerana hal pada masa tersebut, orang yang mengalaminya akan dipanggil sebagai pesakit.

Balik kepada sebab mengapa perkara buruk ini akan disimpan di dalam memori kita. Hal ini adalah salah satu jenis mekanisma yang bersifat defensif yang mana dengan memori sedemikianlah baru seseorang itu tidak akan melakukan perkara dan mengulangi kesilapan yang sama.

Cuma itulah, kesan sampingan daripada hal ini akan menyebabkan pemikiran yang berulang-ulang terutama sekali apabila seseorang itu berada dalam keadaan berseorangan dan tiada apa-apa benda yang boleh mengalih perhatiannya daripada pemikiran tersebut.

Saju lagi hipotesis menyatakan bahawa akibat daripada gaya hidup seseorang pesakit depression ini yang selalunya tidak berbuat apa-apa sepanjang hari, maka daripada situlah seseorang itu akan mempunyai banyak tenaga yang tersimpan di dalam badan mereka. Tenaga tersebut akan menyebabkan otak kita mulai berfikir perkara yang sama dan berulang-ulang sebagai satu langkah untuk membuangnya keluar.

Bukan itu sahaja, gejala restless leg syndrome (RLS) akan menyebabkan seseorang pesakit tidak dapat menenangkan dirinya akibat daripada kakinya yang senantiasa ingin bergerak untuk membuang kesemua tenaga ini keluar. Salah satu penyelesaiannya adalah dengan memaksa pesakit-pesakit ini untuk bersenam.

Secara kesimpulannya, kata-kata yang hadir daripada bentuk penulisan ataupun percakapan ini telahpun terbukti bahawa ianya boleh menyebabkan seseorang itu berasa sakit apabila membaca atau mendengarnya. 3 jenis perkataan atau jenis komunikasi yang bakal menyakitkan seseorang itu adalah daripada jenis devaluing, disqualification dan juga deconfirmation (saya akan ulas dalam artikel seterusnya).

Justeru, ingatkah, kata-kata itu lebih tajam daripada mata pedang dan terbukti secara saintifik bahawa kata-kata itu mampu menyakitkan seseorang daripada dalam. Fikirlah terlebih dahulu sebelum menulis atau mengeluarkan kata-kata.

“Stick and stones may break my bones,

But heartless words cut deeper,

For wood and stone harm flesh alone,

But language cost are steeper”

Rujukan :

https://www.psychologytoday.com/us/blog/tech-support/201308/why-words-can-hurt-least-much-sticks-and-stones

https://www.webmd.com/pain-management/news/20100402/words-really-do-hurt

Terima kasih.

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *