Betul Ke Salah Pilih Suami?

Assalamualaikum w.b.t. Salah memilih suami? Itu antara tajuk petikan yang pernah saya baca sebelum ini. Terkesan dengan tajuk tersebut apabila rasa seperti terkena batang hidung sendiri.

Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/tersalah-pilih-suami/).

Percaya atau tidak saya adalah seorang wanita yang tidak pernah bercinta. Perkahwinan sebelum ini pun hanya melalui perantara kebetulan bekas suami ketika itu sedang mencari calon isteri. Bekas suami cukup dikenali orang ramai dengan ilmu dan “title” nya sebagai ustaz

Saya seorang yang cukup “menjaga” dan ketika hendak di taarufkan dengan bekas suami sebelum ini saya bersyukur kerana saya tiada “apa-apa” tetapi menjadi pilihannya. Dengan title dan ilmunya dia sering menjadi perbualan dan sering mendapat perhatian orang ramai.

Hanya dua kali sahaja saya bertemu dan tidak pernah bertelefon, apa-apa urusan sahabat saya dan suaminya akan membantu. Dalam tempoh tiga bulan saya diijab kabulkan dengan suasana yang cukup meriah.

Saya berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa. Kebetulan bekas suami sebelum ini memang mahukan saya duduk di rumah dan tidak bekerja.

Perancangan Allah cukup cantik dan susun aturnya jelas dan cukup sempurna. Kisahnya bermula apabila saya berjaya ditawarkan untuk menyambung pelajaran di peringkat DPLI. Hanya memohon sekadar suka-suka sahaja kerana tahu bekas suami memang tidak membenarkan saya bekerja.

Sebenarnya adik yang bersungguh-sungguh dan apabila mendengar dia memohon saya hanya mengikutnya sahaja kerana anggapannya peluang untuk saya agak tipis.

Alhamdulillah tidak sangka saya di terima. Bagaimana dengan bekas suami saya ketika itu? Desakan kedua-dua buah keluarga suami akur dengan tawaran yang di terima. Kami sama-sama ke Tanjung Malim dengan membawa seorang anak yang ketika itu berumur setahun lebih.

Last semester saya di Tanjung Malim saya disahkan mengandung anak kedua. Tamat sahaja praktikal di sebuah sekolah pantai timur tanah air saya melahirkan mujahid yang kedua.

Bila saya di ceraikan dan kenapa? Perceraian yang tidak dirancang dan saya sendiri tidak mahu diceraikan. Rupanya pelangi yang Allah aturkan turut diselang seli dengan hujan dan juga ribut.

Baru sahaja habis berpantang dan baru seminggu saya berposting di sebuah sekolah bekas suami tidak balik-balik ke rumah seperti kebiasaan.

Memang rutinnya dalam seminggu beberapa hari dia akan keluar dan selebihnya dia pulang ke rumah. Sibuk dengan program dan titlenya sebagai ustaz dan sentiasa memenuhi jemputan.

Akhirnya khabar di terima dia telah berkahwin lagi itu pun sebab saya membuka emailnya dan kebetulan ada gambarnya bersama isteri barunya ketika itu.

Dia memilih untuk menceraikan saya dan pilihannya adalah yang kedua. Ketika itu isterinya menyerang saya di fb dan melemparkan fitnah yang Maha hebat kepada saya. Isterinya yang kedua mengatakan saya diceraikan dan saya pergi ke pejabat agama untuk memastikan status saya yang sebenarnya.

Alhamdulillah kisah itu sudah berlalu dan saya cukup bahagia hari ini. Alhamdulillah kebahagian itu datang setelah saya melalui pelbagai onak dan duri. Salah memilih suami?

Bagi saya tidak itulah adalah pelajaran dan pengalaman untuk saya belajar erti redha dan makna bahagia sebenarnya. Terima kasih yang kedua bagi saya dia bukan penyebab tetapi Allah membantu saya melalui wanita tersebut.

Ada ilmu, ada agama sekiranya di manfaatkan dengan cara yang salah dan semua orang akan terpedaya kerana statusnya. Allah membuka mata saya dengan cara begitu dan cuba keluarkan hidup saya bersamanya dengan jalan yang telah ditetapkan seperti itu.

Dulu saya pernah merayu supaya dia balik sebab anak masih kecil lagi namun saya ditegaskan olehnya anak-anak masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Keputusannya tetap memilih yang kedua walau apa pun yang berlaku.

Kini bukan sahaja kedua yang ketiga pun telah diceraikan. Rupanya sudah lama bekas isteri keduanya menghantar mesej kepada saya untuk memohon maaf apa yang dilakukannya sebelum ini dan saya baru membacanya beberapa tahun yang lepas.

10 tahun saya hidup sendiri di samping anak-anak. Cantik susunan Allah daripada saya sebelum ini seorang surirumah tangga sepenuh masa Allah aturkan saya untuk menjadi seorang pendidik dan lebih berdikari.

Doakan semoga saya dipertemukan seorang lelaki yang boleh menerima saya dan anak-anak. Lelaki yang dapat mendidik dan membantu saya membesarkan anak-anak.

Dulu saya rasa dengan kasih sayang saya seorang kepada anak-anak cukup namun rupanya salah kerana bila anak-anak semakin membesar dan melihat kelilingnya ada “ayah” si anak rasa “kurang” sebab dia tidak pernah menikmati itu.

– Ummu Muaz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *