Assalamualaikum, maaf. Aku tidak tahu di mana lagi aku harus luahkan rasa hati ini. Makin di buku, makin pedih hati aku. Ingin dicerita pada teman teman, takut pula jika mengaibkan diriku, apatah lagi keluarga aku.
Ya, seperti tajuk confession ini, aku Along. Aku anak sulung perempuan dari empat orang adik beradik. Keluarga aku, tidak lah kaya, namun, tidak lah miskin. Sekadar senang, atau kata lainnya, sederhana.
Bergraduasi pada tahun 2018, bulan ini cukup satu tahun aku bekerja di sebuah kilang di Perak. Hidup aku, dengan rutin yang tidak menentu. Kadang aku balik, semua masih tidur, kadang aku balik, semua sudah mahu tidur. Dapat aku rasakan, hubungan aku dengan keluarga, makin renggang. Mungkin aku yang terlalu sibuk dengan hidup aku.
Sebelum itu, aku perkenalkan adik aku, dia tidak sambung belajar sehingga ijazah seperti aku, sekadar sama level dengan diploma. Tapi aku masih bangga dengan dia kerana dia mulakan kerjayanya terlebih dahulu dari aku. Bahkan, tanpa hutang pinjaman pengajian seperti aku.
Semuanya bermula apabila aku tamat belajar. Ibu mula nasihatkan aku agar jaga hati adik, kerana aku mempunyai ijazah, takut nanti dia terasa. Setibanya hari bergraduasi, seboleh bolehnya aku ambil pakej bergambar yang paling mahal. Ah, peduli pula aku pasal wang, asalkan aku dapat simpan memori ini bersama keluarga aku.
Seronoknya aku bila aku dapat pegang gambar graduasi, sesampainya gambar ku, terus aku pakukan dinding rumah. “Haah, penuh la rumah gambar kau je, toleh kiri kau, kanan kau”. Aku tersentak. Kata kata itu yang keluar dari mulut adik. Terngiang ngiang di telinga aku pesanan ibu, “jaga hati adik”. Aku turunkan dan simpan semua gambar gambar graduasi aku. Sudah berhabuk barangkali atas almari.
Bergraduasi pada nov tahun lepas, aku dapat tawaran kerja pada bulan dec 2018. Seronoknya, Tuhan saja yang tahu. Dalam keseronokan aku, rupanya adik dalam diam terasa.
Dia juga masih mencari kerja apa waktu itu kerana tidak tahan dengan tempat kerjanya yang sebelum itu. Tapi dia tidak ceritakan kepadaku. Diceritakan pada ibu. Selang beberapa hari, ibu memuat naik status whatsapp “belajar tinggi mana pun, jangan berlagak”. Lagi sekali, aku hanya mampu menelan rasa ini.
Paling aku terkilan, ketika aku menyuruh adik membayarkan pinjaman pengajian ku secara online, menggunakan duit aku. “Ish, bod*h”. Kata kata ini yang adik lemparkan dekat aku. Aku sedikitpun tidak melengahkan atau menyumpah seranah adik semasa dia meminta aku membayar hutang pengajiannya. Duit ptptn aku yang aku dahulukan. Bukan niat aku mahu mengungkit. Tapi aku terasa.
Yang terbaru, adik di hadiakan dengan kereta atas namanya. Mungkin tidak seberapa kerana hanya kereta terpakai. Aku pula? Masih mengumpul duit.
Mungkin inilah yang di katakan pengorbanan anak sulung. Tidak ada sesiapa yang boleh diluahkan perasaan ini. Hanya mampu menanggung sendiri. Mungkin amalan dia yang aku tidak tahu, lebih dari aku. Mungkin sedekahnya, lebih dari aku. Mungkin rezekinya di situ. Mungkin Tuhan mahu uji aku. Entah.
– Along (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit