Bila Allah Tarik Si Dia

Assalammualaikum, admin, dan pembaca sekalian, Terima kasih andai kisah ini disiarkan, mungkin ada sedikit sebanyak yang boleh para pembaca ambil pengajaran dari cerita ini. Ya, ini cerita cinta, bukan cerita cinta yang berat sebelah, ini cerita cinta pada pandangan rasional seorang wanita.

Pada hujung tahun lepas, aku telah berkenalan dan ‘couple’ dengan seoarang lelaki yang beza umurnya dengan ku sangat tinggi, 6 tahun. Ya, dia berumur 27 tahun, dan aku pula sewaktu itu merupakan 21 tahun, baru sahaja menamatkan pelajaran pada peringkat asasi/diploma/stpm.

Hubungan kami, berlarutan, sehingga ke Bulan 7 tahun ini, ya, beberapa bulan. Dalam hubungan kami juga, ibu dan ayahku telah mengetahui mengenainya, telah memberi keizinan untuk dia rapat denganku. Rasionalnya, hubungan itu bermasalah, mungkin puncanya dari aku, mungkin dari dia, mungkin juga dari pihak lain, Wallahualam.

Perkenalan kami sangat tidak matang ku kira, kerana, dalam tempoh tersebut, aku tidak pernah berjumpa dengannya, hanya bersua muka melalui atas talian, sama ada video call pada waktu malam, atau pun mendengar suaranya pada waktu malam.

Dia merupakan seorang lelaki yang baik, dengan masa lampau yang agak gelap, kejujurannya pada awal perkenalan, mencairkan hati seorang wanita yang berumur 21 tahun pada waktu itu. Salahku kerana terlalu baik, ingin mencuba untuk merubahnya, merubahnya agar dia tidak lagi melakukan hal-hal yang bertentangan dengan islam.

Namun, tanpa aku sedar, kehadirannya juga membawa dugaan, hasutan syaitan, melemahkan aku, dan imanku. Aku tersentak, bagaimana aku ingin merubah seorang lelaki, jika aku sendiri masih lemah dalam soal iman.

Seperti hubungan lain, hubungan kami juga bermasalah, seperti, aku yang tidak mengizinkannya untuk berjumpa denganku, (kerana dia perlu menaiki kapal terbang, untuk berjumpa denganku kerana aku tinggal di kawasan yang agak jauh), masalah ketidakmatangan aku dalam hubungan itu sendiri, masalah dia yang masih struggle untuk melengkapkan keperluan hidupnya, dan berbagai lagi.

INGIN DIPENDEKKAN CERITA, KAMI BERTENGKAR, YA MUNGKIN PUNCANYA AKU, DAN KERANA ITU AKU MEMOHON MAAF, Merayu, dan menangis semahuku, hanya kerana takut kehilangannya.

Kesalahan pertamaku, adalah mencintai dia tanpa memikirkan bahawa Allah itu Maha Kuasa, mampu membolakbalikkan hati manusia. Saat itu, hanya tangisan yang menemaniku, ya aku menangis, hingga sampai satu tahap, aku memohon ampun pada ibuku, kerana mungkin sakit hati yang aku terima ini berpunca dari aku yang mungkin pernah mengguriskan hati ibuku.

Aku tertekan, umpama terlupa wujudnya tuhan sewaktu itu. Sebulan kemudian, aku melanjutkan pelajaranku, ke tempat yang sangat dekat dengannya. Dan, ya kami berjumpa, makan malam.

Dalam masa sebulan itu juga, dia telah bertunang dengan wanita yang jauh lebih baik dariku, bertudung labuh, mungkin juga seorang ustazah, sangat layak untuk dirinya dalam tempoh 2 minggu selepas putus denganku, mungkin jodohnya.

Pertemuan kami, hmm, sukar untuk aku katakan, manis atau pahit. Manis untuk seketika, dan pahit untuk selamanya. Dia memberitahu padaku rancanganannya untuk mempercepatkan perkahwinannya dengan tunangnya. Aku cuma mampu diam.

Selepas itu, aku dipindahkan ke kampus lain, di seberang sana. Aku bermunasabah, berfikir mana silapku, cuba untuk bertahan, menguatkan diri untuk tarikh perkahwinannya. Sepanjang aku berada di universiti ini, jujur ku katakan, terlalu banyak hikmah Allah siapkan untukku selepas perpisahan kami.

Antaranya, aku cuba perbaiki diri, dulu tudung ku tidaklah selabuh sekarang, aurat ku juga tidak dijaga dengan rapinya, ikhtilat ku juga sebegitu. Aku teringat katanya suatu dahulu, bahwa dia ingin seorang wanita melayu terakhir. Lama kelamaaan, aku sedar, aku bukan begitu, terlalu banyak khilaf dalam diriku yang aku perlu betulkan.

Kerana sakit yang aku rasakan, aku cuma mampu mengadu pada Tuhan, awalnya aku berharap untuk tuhan menyatukan aku dengan dia, dan aku tahu itu salah, kerana dia tunang orang. Sakitnya itu, tidak terduga. Mencintai seseorang, yang Allah haramkan untukmu doakannya.

Aku juga makin dekat dengan Allah swt, kadang kerana air mata ini tidak mampu berhenti mengalir, hanya pada tuhan aku bersujud, meminta dan bercerita lebih lagi. Kini aku cuma berdoa agar aku dipertemukan dengan orang yang terbaik untukku, dan untuknya, aku doakan urusan pernikahannya Allah permudahkan.

Ikhtilat ku, aku jaga. Selepas sahaja kami putus, jujur ada seorang lelaki ingin meminangku, dan aku menolaknya, kerana, aku tidak bersedia untuk bercinta semula, dan apatah lagi berkahwin dengan orang lain.

Sejak masuk universiti, beberapa orang mulai menyatakan perasaan, dan aku menolaknya dengan baik. Bagi aku, cukuplah sampai situ sahaja percubaan cinta yang aku cuba. Kini, aku cuma inginkan Allah mengurniakan aku seorang lelaki yang baik, dan boleh membimbing aku dan menghormati aku selayaknya.

Memasuki universiti ini juga membawa aku untuk berkenalan dengan ramai orang berbeza pengalaman, tapi mempunyai tujuan yang sama. Ya, untuk hidup, untuk hidup dalam redha Allah. Cliche bukan? Itulah hakikatnya, semua orang dalam perjalanan masing masing dalam mencari redha Allah.

Hubungan aku dan Al-Quran juga makin dekat, aku ingat janjiku untuk mengkhatamkan Al-Quran, dan kini hanya tinggal beberapa juzuk sahaja tinggal. Dia seorang lelaki yang dibesarkan dengan ibu dan ayah yang digelar ustaz dan ustazah.

Kerana itu, sewaktu aku berkenalan dengannya, aku berasa sangat segan, kerana dia orang yang beragama, pandai membaca Al-Quran, dan aku pula hanya insan biasa yang masih berusaha untuk memperbaiki diri dan agama.

Dan kini, walau aku masih menangis dan bersedih, aku yakin satu waktu nanti aku akan lihat hikmah yang Allah telah janjikan untukku, yang sangat besar dan akan membuatkan aku bersyukur atas semua kesedihan yang aku terima sekarang. Mungkin sahaja aku menginginkan sesuatu yang buruk bagiku, sedangkan Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku.

Untuk mereka yang juga sedang patah hati dan bersedih sekarang, teruskan berjuang, dan kuat untuk menempuh hidup. Apabila Allah tarik sesuatu darimu, itu mungkin kerana dia ingin memberimu seseorang yang lagi terbaik. Doakan aku untuk istiqomah dalam menuntut ilmu di sini.

– Haylahus (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *