Mak Ayah Miskin Harta Tapi Jiwa Besar Untuk Anak

Assalamualaikum. Saya Ibu 5 orang anak. Umur awal 50 an. Berkerja dalam industri profesional. Dalam waktu sama, saya terlibat dengan NGO bagi kerja kemasyarakatan terutama melibatkan kerja membangunkan pendidikan di kalangan anak miskin & B40.

Apabila terlibat dengan kerja ini banyak saya jumpa ibubapa yang kurang berkemampuan tapi berusaha untuk beri terbaik pada anak. Ada mereka hanya gaji hari, kerja buruh, penjaja dan jual pasar malam tapi hati mereka besar untuk sekolahkan anak tanpa berkira.

Pengalaman hidup lalu membesar sebagai anak penjaja sebenarnya banyak membawa saya dekat dengan golongan ini. Ibubapa saya buta huruf, adik beradik 10 orang. Ayah hanya penjaja ikan, dapat duit makan hari sahaja. Mak hari hari renyah dengan anak anak. Tak berkerja.

Jangan sebut hal keperluan hidup sentiasa tak cukup, makan minum dicatu, ayah dan mak selalu lari bila nampak tuan rumah. Malu sewa tertangguh berbulan.

Manakan susu adik sepatutnya susu formula ditukar dengan susu pekat sahaja. Kami memang tak ada kemampuan untuk semuanya. Cukup itu sahaja gambaran saya beri tentang kisah hidup lama saya.

Tapi satu yang saya kagum dengan mak dan ayah. Kesungguhan dan gigih mereka dalam ambil berat hal sekolah kami. Saya dan abang pernah beberapa kali nak berhenti sekolah. Malu bila ditanya cikgu acapkali tentang yuran sekolah yang tertangguh.

Belum lagi budak budak kampung yang kerap memperlekehkan kami anak orang susah. Tapi mak & ayah selalu menghalang, beri kami semangat dan ada waktu mereka tegas bila kami mula malas ke sekolah.

Macamana susah tak cukup sekali pun, tak pernah kami tak ada duit saku sekolah. Sentiasa ada. Barang sekolah tetap diusahakan, yuran tetap berbayar juga biar hampir cuti hujung tahun.

Ayah cakap sahaja ke mana hal sekolah, dia akan hantar dengan honda cup lamanya. Hampir mereput motor itu. Itu sahaja aset kami ada.

Hari ini bila kawan kawan pejabat ada yang mengeluh hal anak, saya diam, ada yang banyak bunyi sekolah minta itu ini bayar itu ini bunyi. Bagi saya sekolah minta buka saja saja untuk anak kita. Pejam mata niat beri sedekah untuk anak.

Yang banyak bunyi ni, saya tengok tukar kereta tiap tahun, baju jam tangan branded, tudung cap ‘itik’. Tapi bila hal sekolah belajar anak bunyi macam miskin sangat. Semua nak free semua nak dicatu.

Balik ke mak ayah kerja masyarakat saya terlibat, ada mereka bertungkus lumus cari duit untuk anak sekolah, boleh belajar macam anak orang lain. Jauh jika nak dibandingkan kita yang kerja dalam pejabat. Saya kagum pada mereka.

Bila kawan kawan tanya macamana anak saya belajar. Saya jawab, macam anak u all lah. Tapi saya hanya jawab dalam hati, kalau kita nak sesuatu perlu banyak pengorbanan. Nak anak menjadi perlulah banyak korban juga. Jadi janganlah banyak mengeluh hal anak. Korban masa, duit dan tenaga.

Saya boleh kata, susah payah mak dan ayah adalah antara salah satu punca saya boleh duduk sama tinggi sama rendah dengan orang lain hari ini.

Hari ini saya lakukan perkara sama pada anak anak saya, biarpun mungkin anak anak saya lebih senang tapi ujian anak senang lain pula. Anak saya sama nakal sama tak pandai macam anak orang lain. Tak kata semuanya bagus. Ada juga nakalnya.

Jadi hal pelajaran, hal patuhi masa, disiplin dan gajet memang menguji. Saya imbangkan cara ketegasan mak ayah saya dulu dengan membesarkan anak anak zaman sekarang. Antara saya buat, untuk elak anak ber glue dengan gajet.

Saya peruntukan masa mereka ke tuisyen seminggu 2 kali. Selebihnya waktu dia main. Tuisyen bagi saya sekarang satu keperluan sebab anak sekarang, tak macam dulu. Terluang sikit mesti nak buka handphone. Dengan waktu belajar khusus baru mereka akan buka buku.

Waktu games saya bagi tapi hanya selepas belajar dan setelah mereka selesaikan urusan solat, mengaji & chores. Makan malam kami perlu semua berkumpul. Jam 10.00 malam. Aktiviti games akan stop semua perlu tidur. Wifi akan saya off.

Hujung minggu saya hantar ke kelas skill, lepas nya baru family bonding time. Boleh kata, kami suami isteri banyak peruntukkan duit untuk hal sekolah anak.

Saya & suami kurang berbelanja untuk barang sendiri. Baju kami hanya musim raya kami belanja setahun sekali. Tidak ada istilah orang berkerja baju baru tukar sebulan sekali. Walaupun sebenarnya kami mampu. Kami fikir eloklah gunakan untuk anak anak lebih dahulu.

Apabila mengetahui anak ingin menjadi pilot, saya mula menabung awal dari anak pertama di tingkatan 1 dan hantar dia ke tuisyen bagi membaiki subjek wajib kelulusan memohon masuk je kursus penerbangan.

Saya rasa ramai tahu kos kursus ini sangat mahal. Tak lama lagi dia akan tamatkan kursus ini dan bakal menjadi pilot.

Anak kedua dan 3 sedang belajar di salah satu IPT, keempat dan ke lima masih sekolah.

Saya beri peluang pada anak untuk bincang apa sahaja masalah dan minat mereka tapi tidaklah sepenuhnya saya lepaskan kerana mereka masih muda. Nasihat dan guidance perlu diberi bagi mereka pilihan laluan atau buat keputusan.

Masa belajar dan keperluan belajar amat saya tegas. Semua anak kalau sebut hal sekolah, homework, tuisyen semua menolak kan.

Anak saya sama seperti anak mak ayah lain. Maka ketegasan ikut waktu main peranan. Kita mak ayah tidak perlu menekan sebaliknya bantu anak uruskan masa dengan efektif bukan lepas sahaja mereka buat bebas hati. Lama lama anak akan mula ikut dan terdidik buat rutin mereka tanpa mengeluh.

Memang diakui saya dan suami penat urusan anak. Kami kadang kala tertidur dalam kereta tunggu anak habis kelas.

Pernah berpusing pusing jam 12 tengah malam cari kedai bila anak minta barang projek sekolah waktu malam. Tapi bila terkenang mak ayah yang tak ada kemampuan boleh kenapa kami yang lebih senang ada kenderaan selesa kemampuan wang lebih mengeluh dari mereka.

Jadi penat macam mana pun, jauh macam mana pun, kami akan usaha penuhi untuk jadual anak. Itu sahaja mampu kami buat untuk anak anak. Harap susah payah kami Allah Taala pandang dan buka laluan hidup anak lebih baik masa depan.

Adik beradik saya 10 orang semua menjadi. Mak ayah boleh hidup senang hari ini. 10 orang berkongsi hulur.

Janganlah mengeluh hal anak dan sayangkan duit untuk melabur pada anak. Susah payah kita itulah Allah Taala akan reward suatu hari nanti. Tak ada anak akan berjaya tanpa sokongan mak ayah.

– Mas (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *