Ini sebuah coretan daripada seorang pemandu e-hailing ataupun drebar kepada penumpang e-hailing yang senang dipanggil sebagai rider.
Ramai yang kenal grab, mycar, dacsee lebih daripada istilah e-hailing tu sendiri. Anyway, e-hailing tu cabang daripada gig economy. Eh.. apa pulak gig economy tu pulak? Ha.. adik-adik student IPT boleh la gugel. Jangan ada yang ambil kursus economy pun tak boleh jawab bila drebar tanya nanti.
Dipendek cerita, abang baru bergelar drebar e-hailing beberapa bulan, buat secara part time. Belum tiba lagi rezeki kerja full time seperti pekerjaan tetap sebelum ini.
Penumpang-penumpang e-hailing ni daripada pelbagai golongan dan lapisan masyarakat. Ada muda juga tua, rakyat tempatan juga orang asing, yang kerja professional juga bekerja biasa-biasa sahaja. Dan semestinya bermacam ragam dan perangai. Dan coretan ini abang pilih untuk tujukan kepada rider. Rasanya sebahagian besar target reader ada dalam forum IIUMC ni. So, hopefully spot on.
Bersempena tahun 2020 yang bakal menjelma, abang nak bagi beberapa nasihat untuk rider yang guna servis e-hailing ni. Bukan untuk manfaat abang drebar tukang tulis ni tapi keseluruhan komuniti e-hailing yang berkembang pesat di Malaysia. Moga-moga bermanfaat dan moga-moga rider perbaiki mana yang terkhilaf sebelum ni.
1. Butiran booking kena tepat dan betul.
Minta tolong pastikan lokasi pick-up dan drop off tu tepat dan betul. Kalau memang tiada lokasi yang paling tepat, letak sikit nota atau catitan kat booking tu. Ataupun telefon drebar maklumkan bila booking tu dah diterima.
Mudahkan la encik dan puan drebar ya. Kesian kat drebar kadang-kadang terpaksa melilau cari lokasi betul. Kalau tempat tumpuan yang biasa orang pergi tu ok la juga, tapi kadang-kadang ke ceruk kampung pun kami masuk. Kena pulak drebar yang dah berumur dan kurang IT savvy, kan lagi pening.
Kalau lokasi tu terlampau umum, contohnya shopping mall ataupun apartment, nyatakan lokasi yang lebih spesifik. Contohnya, North Entrance, South Entrance, Blok A, Blok B, dan sebagainya.
Bila drebar masih pusing-pusing cari lokasi, minyak pun habis jugak. Setitis petrol kereta yang dibakar dalam enjin umpama sekeping duit yang hangus tiada guna. Tambah pula, bila drebar dapat job harga yang murah. Minyak ni overhead untuk drebar selain daripada kos maintenance kereta.
Kepada penumpang yang memang tabiat suka membanding harga antara e-hailing operator (EHO), itu hak anda. Tapi ingat jangan sampai menganiaya drebar. Drebar ni manusia biasa, memang akan sakit hati bila job dah diterima tapi dibatal pula. Lagi-lagi dibatal bila dah sampai lokasi.
Seeloknya, lepas buat perbandingan harga, buat booking dengan satu EHO sahaja. Tak perlu booking dua tiga EHO, kononnya nak cari siapa yang pantas. Kalau rasa urgent sangat, buatlah booking awal-awal. Rancang perjalanan anda, jadilah rider yang bijak dan cerdik.
2. Get ready and be ready.
Bila booking dah diterima, minta kerjasama supaya rider tunggu di lokasi yang diberi. Bersiap sedia. Get ready to board. Usah drebar pula tunggu anda yang sedang berlenggang kangkung berjalan. Kena drebar yang lurus bendul dan sabar tahap tinggi, 30 minit pun boleh tunggu. Adil kah macam tu?
Cuba buat macam tu bila nak naik bas atau kapal terbang. Yang booking kat dalam bangunan contohnya kondo, apartment atau hotel, terus standby dekat lobi atau pick up point yang disediakan premis.
3. Pilih kelas/ jenis kereta yang sesuai.
Untuk rider yang suka naik ramai-ramai tu baca betul-betul pengkelasan kereta kat apps dan web e-hailing tu. Kalau booking tu untuk 4 orang sahaja, jangan la nak naik lebih 5 orang. Walaupun semua rider tu saiz kecil, tapi peraturan tetap peraturan. Pelaku senario macam ni biasanya budak sekolah dan pelajar kolej dan universiti.
Kes yang berkaitan, bila ada rider (1 – 4 orang) dan bawa sejumlah bagasi atau luggage bag besar, tolonglah booking guna sekurang-kurangnya 6 seater ataupun mpv compact. Cuba rider booking jenis kereta biasa, tiba-tiba dapat pula kereta proton saga. Agak-agak muat tak barang korang tu dalam bonet? Cuba fikirkan.
Ada pulak kes untuk drebar mpv compact macam jenis kereta yang abang bawa sekarang ni. Drebar terima sahaja booking untuk kereta biasa dengan hati terbuka dan minda positif. Ye lah, nama pun nak cari rezeki untuk keluarga. Dapat pula rider 4 orang dengan beg-beg bagasi yang besar. Agak-agak apa yang abang drebar rasa? Bila abang tegur dengan niat nak educate, ada yang langsung takda perasaan.
Put yourself in our shoes. Malahan tiada ucapan maaf yang keluar. Abang bila dah rasa teraniaya macam tu, abang tadah tangan minta doa. Doa orang teraniaya kan makbul. Itu bila di tahap sabar. Tapi kalau tahap marah meluap-luap, terima sahaja la ‘makanan’ daripada drebar yang rider sendiri ‘sediakan’.
4. Kereta yang adik-adik naik tu milik drebar. Bukan milik anda.
Minta tolong rider hormat drebar dan harta kereta milik mereka tu. Aset mereka ni pun tak habis bayar lagi kat bank. Sayang mereka kat aset yang satu ni kadang-kadang tak terucap. Buka tutup pintu atau bonet tu, biarlah buat dengan cermat. Jangan dibuka ditutup kasar dan dihempas kuat-kuat. Ini salah satu yang boleh naikkan amarah drebar.
Bila naik kereta tu, kalau rider memang tak boleh tahan nafsu nak makan minum dalam kereta tu, tolonglah makan minum dengan cermat tanpa tinggalkan sebarang kotoran. Kalau kasut atau selipar tu kotor, berpasir ataupun berlumpur, bersihkan la sikit sebelum pijak dalam kereta tu.
Kepada geng-geng yang suka bersembang dan membawang tak kira tempat, minta kawal tahap suara awak tu. Jangan terlampau loud speaker. Kawal volume anda sebelum ada sound effect daripada tempat duduk depan sebelah kanan.
5. Jangan mudah berprasangka buruk.
Penampilan diri dan karakter drebar ni memang pelbagai. Dah nama pun manusia. Yang muka kacak segak jangan disangka baik. Yang sedikit serabai jangan disangka orang jahat-jahat pula. Sebab tu kena bersangka baik. Orang arab panggil husnozzon.
Ada rider yang tunjuk ketara sangat tahap suspicious tu. Nak bayar tambang dan turun kereta punyalah kalut. Bila drebar mulakan greet dan small talks, memang tak layan langsung. Sombong. Drebar ni dilatih untuk ramah dengan rider, mungkin boleh ceriakan hati rider yang tengah berduka dan berikan solusi. Mungkin boleh cadangkan solusi, who knows?
Sebab drebar ni ada yang ex-professional dan street-smart. Sembang-sembang positif ni juga boleh naikkan motivasi drebar yang kadang-kadang dirundung 1001 masalah. Tapi kalau rider pilih untuk silent mode, drebar akan hormati dan rider boleh la layan peranti pintar di tangan anda.
Ada rider yang on sendiri GPS atau waze untuk cek laluan yang dibawa oleh drebar. Bagus tu. Tapi janganlah panik sangat bila drebar melencong sikit masuk shortcut. Ada drebar yang memang ada ilmu jalan yang tinggi.
Kalau berprasangka tak dapat dijauhkan juga, maklumkan kat saudara atau kawan yang terhampir. Bagi butiran booking. Tapi janganlah tak pasal-pasal terus tekan butang emergency kat apps tu.
Lagi satu, jangan mudah sangat buat aduan dan komplen kat customer service e-hailing ni. Kalau perkara kecil dan tiada mudarat besar, selesaikan cara baik ataupun maafkan sahaja. Bukan apa, drebar ni pun kadang terkhilaf juga. Tangan kat steering tapi otak tengah fikir duit tak cukup nak bayar yuran anak sekolah.
Itu yang kadang terbrek kuat-kuat sampai rider tersengguk. Sebabnya, ada sesetengah EHO terus ambil tindakan ‘ban’ drebar bila ada aduan tanpa usul periksa yang terperinci. Tapi kalau drebar buat hal yang besar dan sukar dimaafkan, sila buat laporan.
6. Sediakan duit tambang awal-awal.
Rider pun dah tahu awal-awal harga tambang, jadi terus sediakan. Nak lagi bagus, letak siap-siap duit tu berdekatan dengan drebar. Senang hati drebar dapat rider macam ni.
Untuk rider yang suka naik kereta berjemaah dan jenis tong-tong duit tambang, kiralah awal-awal anggaran duit yang setiap orang kena beri. Kumpulkan awal-awal dalam kereta ataupun sebelum naik kereta lagi. Bila sampai terus sahaja bayar kat drebar.
Senang, bukan. Tapi ramai yang masih gagal buat. Lagi satu, nak ingatkan yang drebar ni bukan tempat untuk rider pecahkan duit. Tambang RM6, rider bagi duit RM50 atau RM100. Korang rasa macam mana tu?
Rasanya, cukup dulu enam perkara nasihat yang abang drebar coretkan kali ini. Kalau ikutkan tempo jari tukang penulis ni ligat menari-nari, mahu senarai ni mencecah 20 perkara sempena tahun 2020 yang bakal bertandang.
Kalau baca betul-betul, nasihat di atas sebenarnya common sense. Tak perlu belajar tinggi-tinggi untuk berfikir dengan waras. Lebih kepada adab yang kita diajar sejak di sekolah dahulu. Hormati orang lain dan anda akan dihormati.
Oh ya. Kat sini semua cerita pasal rider sahaja. Habis tu, drebar semuanya baik-baik sahaja ke? Mesti ada pembaca yang tanya macam tu kan. Memang betul drebar ni pun ada macam-macam perangai yang kurang baik. Contohnya, hisap rokok dalam kereta, suka memaki mencarut, pantang tengok wanita berdahi licin, suka meminta-minta tips. And the list goes on.
Tapi rasanya majoriti drebar masih berperangai baik. Ada drebar yang baik tetapi berubah menjadi kurang baik akibat tidak tahan dengan karenah negatif rider. Inilah golongan drebar yang tersakiti. Sama macam cerita badut tu. Bila kedua-dua pihak drebar dan rider berperangai baik, dengan izin Allah, hubungan menjadi simbiosis.
Moga-moga ada manfaatnya untuk pembaca yang mungkin juga rider tegar. Moga ada perubahan positif di tahun baru. Yang penting di tahun baru nanti, belum ada lagi EHO di Malaysia yang menawarkan kereta terbang. Yang ada cuma motor terbang. Titik.
– MucHas (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit