Ada Apa Pada Pernikahan Yang Sah II

Untuk part I, (https://iiumc.com/ada-apa-pada-pernikahan-yang-sah/).

Assalamualaikum, terlebih dahulu, terima kasih atas segala maklum balas pada coretan saya yang lepas. Untuk puan2, kakak2 dan kaum wanita yg lebih berpengalaman, terima kasih atas segala kata2 nasihat, cadangan dan panduan. Untuk para lelaki yang juga berasa bahawa suami saya tidak normal, saya mengakuinya.

Untuk manusia2 yang memperlekehkan masalah saya dan mengatakan perkara yang tidak elok tentang saya, ketahuilah bahawa anda juga tidak terkecuali untuk berasa seperti ini jika Allah berkehendak. Doakan yang baik2 untuk saya dan suami bukannya lagi menambah garam dalam luka.

Berdasarkan komen, ada meminta saya untuk menceritakan latar belakang kami. Di sini saya ringkaskan bahawa saya dan suami berkenalan atas aturan keluarga dan bernikah atas kehendak sendiri iaitu suka sama suka.

Bercinta setahun sebelum mengambil keputusan untuk berumahtangga. Suami menghabiskan beberapa puluh ribu duit simpanannya untuk majlis kami dan persiapan kehidupan setelah bernikah (kiranya dia merasa susah untuk menghalalkan saya).

Suami merupakan seorang lelaki yang pemalu terhadap wanita, tidak ramai rakan perempuan dan tidak mudah mesra dengan perempuan kecuali yang dia telah kenal lama dan rapat (itu pun hanya beberapa orang). Berurusan dengan perempuan hanya atas sebab kerja.

Dia bekerja sebagai penjawat awam di lapangan (bukan pejabat) dan waktu kerja berdasarkan ‘on call’. Ada membuat kerja sambilan di sebuah bengkel (kepunyaan rakan suami) yang berdekatan dengan rumah kami mengikut waktu lapangnya (waktu kerja sambilan tidak tetap).

Saya mempercayai suami merupakan seorang lelaki yang baik daripada bujang sehingga di awal perkahwinan kami. Masalah kami jarang bersama bermula setelah 2 bulan bernikah.

Pada awalnya saya berpendapat bahawa kami masih lagi baru dan dia ingin membiasakan diri. Tetapi masalah ini berlarutan sehinggalah setelah setahun mendirikan rumah tangga. Kebanyakkan masa sepanjang perkahwinan ini, saya yang akan mengajaknya dahulu.

Telah banyak peluang yang saya berikan pada suami. Tetapi yang sekarang ini paling saya sedih dan sakit hati bagaimana dia boleh mengabaikan saya dan tanggungjawabnya di kamar sedangkan dia boleh sahaja dan ada masa untuk melayari benda2 yang sebegitu?

Masalah menonton video tidak elok ni bermula setelah saya memasuki trimester kedua. Sebelum itu telefonnya bebas daripada sebarang perkara buruk dan sia-sia. Adakah ianya berkaitan dengan kehamilan saya?

Suami sememangnya normal dan straight. Video2 yang dilayari juga melibatkan interaksi antara dua jantina bukannya satu. Dia akan terangsang apabila saya menggodanya tetapi dia menolak. Dia akan terus berkata “tidak boleh” atau “jangan” jika saya mula bertindak.

Suami akan menggunakan alasan bahawa dia penat, tidak berapa sihat, tidak ada mood, masa yang tidak sesuai atau dia ingin melakukan kerja lain. Kata2 yang keluar dari mulutnya berlainan dengan reaksi biologi tubuh badan yang diberikan.

Saya perasan, dia akan melayari video2 tersebut ketika saya tidur atau jika dia berseorangan. Waktu kami berdua, dia akan menonton movie di telefon. Bukannya saya tiada usaha tetapi apabila kerap berhadapan dengan penolakan, saya menjadi malu sendiri. Saya rasa seperti terhegeh-hegeh dan mengemis dengan suami sendiri.

Kami berdua memang mengamalkan solat jemaah bersama, tetapi entahlah, tidak tahu di mana silapnya, perkara sebegini terjadi. Suami juga rajin berjemaah di masjid yang berdekatan dengan rumah. Seperti yang saya telah katakan, suami memang menjalankan semua tanggungjawab dia dengan baik tetapi hanya satu yang dia gagal iaitu memberi nafkah batin dan melayani saya.

Saya tidak tahu punca masalah kerana saya telah ajak suami berbincang dari hati ke hati dan menanyakan tentang segala salah silap saya, jika ada yang dia pendam dan tidak puas hati tetapi suami hanya mengatakan bahawa semuanya okay dan saya merupakan seorang isteri yang baik. Jika begitu, mengapa nasib saya sebegini? Mengapa saya tidak sama seperti isteri nomal yang lain? Mengapa dia menyeksa batin dan perasaan saya?

Saya juga tidak sangka bagaimana saya masih lagi bertahan tidak merujuk kepada kaunselor mahupun pejabat agama. Mungkin dengan meluahkan melalui tulisan di platform ini merupakan langkah saya yang pertama untuk mencari jalan penyelesaian.

Saya telah baca segala komen, ianya lebih menguatkan kepercayaan bahawa hanya saya sahaja yang menjadi satu-satunya isteri hanya pada nama dan atas dokumen yang menghadapi masalah khasnya seperti ini. Hakikatnya, saya hanya seorang perempuan yang serumah dengan seorang lelaki sebagai teman berborak, membantu menguruskan kerja2 rumah atas sebab balasan kerana lelaki itu menanggung segala makan dan pakai saya.

Keluarga kedua-dua belah pihak dan rakan2 kami (rakan2 perempuan saya khasnya) berpendapat bahawa kami merupakan pasangan sempurna yang bahagia. Hakikatnya jauh panggang dari api. Suami tiada sebarang masalah dengan keluarga belah saya. Dia juga rapat dengan kedua ibu bapa saya.

Perempuan lain mengeluh penat melayani suami, ketahuilah bahawa itu merupakan suatu nikmat antara kita suami isteri untuk menambahkan lagi kasih sayang. Jika jadi seperti saya, bagaimana kami berdua mahu mengecas kasih sayang dan kebahagian dalam rumah tangga kami?

Kajian mengatakan bahawa apabila bersama, suami akan berasa lebih kasih terhadap isteri dan kepastian bahawa wanita itu merupakan miliknya. Isteri pula akan rasa lebih dilindungi serta diperlukan oleh suami. Saya rindu perasaan diperlukan oleh suami sama seperti ketika kami bercinta dahulu.

Alhamdulillah keluarga saya sempurna dan tiada masalah. Sebagai anak, saya bahagia. Saya tidak ingin bayi yang akan dilahirkan ini nanti berada dalam keluarga yang tidak sempurna; yang ibu dan bapanya telah bercerai.

Saya sangat berharap agar suami dapat berubah setelah anak kami ini lahir. Sekurang-kurangnya suami menyempurnakan nafkah batin saya dan membuatkan saya berasa seperti para isteri normal yang lain. Saya hanya menginginkan untuk mengecapi nikmat pernikahan yang sah itu semula. Doakan saya.

– Pn. Lebah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *