Dilema Anak Mangsa Dera

Assalamualaikum semua. Namaku Julia (bukan nama sebenar).

Aku mempunyai masalah dengan ibuku semenjak kecil di mana setiap hari aku didera secara fizikal dan mental oleh ibu. Setiap hari aku dipukul tanpa aku sendiri tidak tahu apakah kesalahan yang aku telah lakukan sehingga dia tergamak untuk memukulku sesuka hatinya.

Aku pernah dipukul dengan getah paip, penyangkut baju, penyapu lidi sehingga berbirat di atas belakangku. Kayu batang penyapu, kayu api, kasut, semua tu aku dah merasa. Ibuku juga selalu menghantuk kepalaku ke dinding.

Dia pernah baling bongkah ais seberat 1kg ke arahku dan hampir-hampir mengenai tubuhku. Banyak kali jugak dia ugut nak tetak aku dengan parang. Aku tak tahu apa salah aku. Aku ni jenis budak pendiam. Tak berkawan dengan sape2 dan dok terperap di dalam rumah.

Untuk pengetahuan semua, aku ada 9 beradik, anak keempat dan berkulit gelap. Hanya aku sahaja yang berkulit gelap dalam kalangan adik beradikku. Adik beradikku yang lain ibu layan baik sekali. Tak pernah naik suara kepada mereka apatah lagi memukul mereka.

Aku masih ingat lagi setiap kali nak pergi sekolah mak aku pasti akan lemparkan duit belanja ke mukaku dengan bengis padahal duit belanja tu ayah aku yang kasi dia suruh dia bahagikan kepada anak-anak. Bila turn kakak-kakak dan adik adikku boleh pula dia bermuka manis masa nak bagi duit belanja sekolah.

Aku sering kelaparan. Kalau aku balik sekolah lambat sebab ada kelas tambahan atau terlewat makan ibu memang sengaja akan suruh adik beradik yang lain makan tanpa tinggalkan apa-apa pun sisa makanan untukku. Bahkan bila time marah dia datang dia haramkan aku makan makanan atau nasik yang ada di dapur.

Setiap hari aku menangis. Baju sekolahku tidak pernah beli yang baru. Aku akan pakai baju sekolah kakak-kakakku yang tak muat sehingga lusuh sedangkan kakak-kakak dan adik-adikku sering bertukar baju baru setiap tahun.

Aku selalu terfikir mahu bunuh diri. Mahu terjun perigi. Mahu kelar tangan biar ibu puas hati. Agaknya dia benci padaku sebab aku berkulit hitam. Dia dera fizikal dan mental aku sehingga umurku 18 tahun.

Lepas dapat tawaran ke universiti aku lega sebab dapat berjauhan dengan ibu. Aku sikit pun tak rasa rindu nak balik kampung bila cuti semester. Kalau aku balik pasti dia akan berkira makan minum di dapur. Disuruhnya aku beli lauk pauk dan bayar bil elektrik guna duit biasiswa.

Dideranya lagi mental aku sehingga aku sampai tahap depression di mana aku hampir-hampir gila disebabkan perbuatan ibu aku. Lepas habis belajar 4 bulan aku jadi tak waras. Histeria, terpekik terloncat-loncat atas bumbung kereta jiran.

Last sekali kawan baikku ambik aku bawak balik rumah sewanya. Ibuku langsung tak tanya kabar berita. Dimomok-momoknya kepada orang kampung dan ahli keluarga yang lain kononya aku ni pura-pura sakit dan sengaja nakkan perhatian.

Tahun berganti tahun. Sekarang aku memegang jawatan tinggi di sektor kerajaan. Gajiku boleh tahan jugaklah. Aku dapat beli rumah sendiri dan beli kereta dengan wang gajiku. Tapi aku tetap bagi ibuku duit setiap bulan cuma hatiku rasa macam ‘tawar’ dengan ibu.

Aku takde rasa apa-apa kat dia. Takde rasa teruja ke apa nak balik kampung. Kalau aku balik pun rasa macam kosong. Entahlah. Berdosa ke aku berperasaan seperti ini kepada ibuku?

Aku perlukan pandangan dan nasihat daripada pembaca semua. Aku buntu. Sekian.

– Julia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *