Ayah: 7 Januari

Di ruang tamu rumahku pernah beradanya satu jasad terbujur kaku tapi cukup tenang. Jasad yang sungguh tidak asing bagi pandangan mata aku.

Perginya jasad itu, seperti mimpi, tiada air mata dari aku ketika itu bukan bererti aku tidak bersedih, malah sampai sekarang aku tidak punyai jawapannya kenapa. Hanya Allah mengetahui yang tersurat dan tersirat didalam hati ini ketika itu.

Dua, tiga hari sebelum ayah pergi buat selama-lamanya, tiba-tiba pada suatu mlm satu persoalan menjengah di fikiran. Jujurnya aku takut setiap kali persoalan itu muncul. Malah sering aku mengelak dari berfikir.

Tetapi malam tu, sebelum persoalan tu benar-benar menjadi kenyataan, aku tenang melafaz kata REDHA, ya aku redha andai kata aku bakal berhadapan dengan satu kehilangan yang sangat besar dalam hidup aku nanti. Walaupun sudah hampir 5 tahun berlalu tetapi bahangnya masih terasa.

Masih segar diingatan, seolah-olah sebuah wayang kehidupan dipentaskan kembali. Bermain-main dimata. Masih jelas gambaran, melihat susuk tubuh ayah yang berkerusi roda berwarna biru dan akulah yang setia menjadi tukang tolaknya. Hari ini, jika aku terpandang kembali kerusi roda itu, pasti aku menjadi sebak tak terkata.

Wahai kerusi roda biru, sungguh mulia kau untuk ayah, sungguh hebat & gagah kau membawa ayah di saat ayah benar-benar tidak lagi mampu berjalan. Sedangkan aku tidak mampu mengangkat ayah, kudrat ku terbatas namun sebagai anak jauh disudut hati, aku sanggup berkorban sekalipun nyawaku sebagai cagaran.

Masih aku ingat, setelah 3 minggu berusaha mendapatkan perubatan terbaik buat ayah (3 minggu aku sekeluarga berkampung di tempat orang) ayah mahu pulang ke rumah. Barangkali rindu bertamu dihati ayah akan rumahnya sendiri.

Doktor Razin, iaitu doktor yang merawat ayah membenarkan ayah dibawa pulang dengan syarat,seminggu berikutnya perlu datang berjumpa dengannya lagi. Dibekalkan segala kelengkapan seperti ubat-ubatan, barang-barang rawatan khas untuk seminggu, makanya bonet kereta penuh dengan barangan itu sahaja.

Sebaik sampai di rumah, aku lihat ayah tersenyum (lama sungguh, tak tengok ayah senyum comel macam tu). Itulah senyuman terakhir yang aku dapat lihat dari orang yang benar-benar kukasihi dan kucintai yang bernama ayah. Benarlah ayah sangat rindukan rumahnya sendiri.

Nurse yang merawat ayah, Fatihah, sibuk mengajarkan ku cara untuk mengguna insulin injection dengan betul kerana nanti akulah yang bertanggungjawab memberi suntikan itu kepada ayah. Apa yang mengejutkan aku, sebaik sampai dirumah, sudah ramai kawan-kawan ayah, jiran-jiran sudah menunggu untuk menziarahi ayah. Sehingga ke tengah malam, orang yang datang menziarah masih ada.

Sebenarnya, sudah beberapa hari ayah nampak lain macam. Setiap patah perkataan tidak begitu jelas dituturnya. Ada beberapa peristiwa telah terjadi kepada ayah. Tiga minggu sebelum ayah dijemput ilahi, ada sekali tu ayah beritahu aku supaya segerakan pakaikannya baju. Sebab katanya malu ada ramai orang tengok sambil tangan ayah tunjuk ke arah sisinya (maksudnya ‘orang-orang’ tersebut ada di tepi katil) padahal cuma kami berdua ketika itu.

Pernah juga pada satu malam, aku sediakan 3 biji telur separuh masak utk ayah (atas saranan pemakanan doktor yang merawat ayah, ayah perlu mengambil telur 6 biji sehari tanpa dicampur dengan apa-apa bahan perasa samada kicap atau lain-lain) lalu ayah menghirup kesemuanya dalam satu mangkuk. Sedikit demi sedikit.

Siapalah yang mampu makan telur sebegitu tiap-tiap hari. Orang yang suka telur pun aku jamin tak lalu nak telan. Tapi demi kesihatan, ayah layan kan sahaja. Esokkan pagi, ayah beritahu aku, hampir ke subuh ayah tak dpt tidur. Kenapa?

Sebab, ayah rasa telur yang dihirup nya macam melekat di kerongkong. Rasa tak selesa. Dah banyak air masak diminum tapi tetap tak membantu untuk berasa lega. Berlarutan sehingga 2, 3 pagi keadaan masih sama. Semasa ayah cuba untuk tidur, katanya ada ‘seseorang’ telah menghulurkan cawan berisi air kepada ayah. Lantas ayah menyambut cawan itu dan terus minum. Selepas minum air yang ‘diberikan’ itu, ayah boleh tidur dengan lena.

Aku berkata entah-entah ayah bermimpi. Ayah menafikannya. Aku tanya ayah lagi, siapa yang bagi air tu, ayah jawab tak tahu siapa sebab tak nampak muka. Ayah nampak seperti ada tangan yang menghulurkan cawan tersebut. Ketika itu, semua ahli keluarga sudah pun tidur. Jadi siapa yang telah hulurkan air itu kepada ayah??

Malam itu, (semasa berada dirumah sendiri) ayah kerap menyebut-nyebut nama arwah datuk ku datang sambil mata ayah memandang-mandang ke atas manakala kedua-dua tangan ayah dihulur ke depan. Aku cuba menenangkan ayah, membaca Al Quran disisinya. Aku berpendapat, tubuh badan orang yang sakit sememangnya lemah dan mungkin ada benda-benda luar cuba dekat dan berdampingan. Padahal sudah jelas, itu semua tanda-tanda kematian tetapi tiada siapa pun menyedarinya.

Malam itu tiada siapa yang tahu bahawa itulah malam terakhir ayah didunia. Ketika itu semua ahli keluargaku sudah tidur kecuali aku seorang. Semua sudah keletihan membersihkan rumah memandangkan 3 minggu rumah ditinggalkan. Aku berada disisi ayah sambil membaca AlQuran sehingga ke pagi. Akhirnya, aku mulai penat dan masuk tidur selepas ayah pun aku rasakan sudah tidur.

Esokkan nya, pagi-pagi lagi sudah ada kenalan ayah dan mak yang datang menziarah. Semakin menjelang tengah hari semakin ramai orang yang datang. Ada beberapa orang ustaz yang menawarkan diri untuk membantu memulihkan ayah, seperti mahu memulihkan semangat ayah. Rata-rata beranggapan, ayah akan sihat seperti sedia kala. Memandangkan ayah jatuh sakit agak lama (gout tahap kritikal), mereka mencadangkan supaya ayah mencuba perubatan islam.

Ada yang tidak putus-putus membaca Al Quran disisi ayah. Ada yang buat solat hajat supaya diberikan kesembuhan kepada ayah. Oleh kerana sangat ramai orang yang datang menziarah, aku, kakak dan abang-abang lambat sedikit menguruskan keperluan ayah. Maksud keperluan adalah menukar ganti pakaian ayah, menukar pampers ayah, menukar kain baru untuk luka kaki ayah.

Luka kaki ayah sebenarnya bukan sebarang luka, luka itu sangat besar sehinggakan nampak daging kaki berserta tulang kaki (daging yang rosak telah di operate akibat penyakit gout) Ini kerana, asid urik yang terlalu tinggi menyebabkan dalaman kaki ayah rosak teruk. Daging pada kaki ayah yang tak elok telah dibuang sehinggakan doktor pakar mengeluarkan surat kebenaran untuk memotong kaki ayah. Di khuatiri kuman akan merebak ke seluruh badan.

Apa yang memeranjatkan, sebaik sedar dari operation di bilik ICU, doktor yang menjalankan operation keatas kaki ayah memberi ayah surat untuk ditandatangani bagi persetujuan memotong kaki ayah. Dan ayah bersetuju. Ayah kata ayah sakit sangat ayah mahu segerakan urusan seterusnya (sepatutnya tak perlu doktor tersebut terus memberitahu ayah, sekurang-kurangnya tunggu ayah keluar dari ICU dulu, hormatilah perasaan ahli keluarga yang risaukan keadaan ayah, risau ayah semakin down emosinya)

Memandangkan, ayah bukan penghidap diabetes jadi kaki ayah masih boleh diselamatkan. Seluruh keluarga tidak bersetuju kaki ayah akan dipotong. Kami tidak mahu kaki ayah pergi dulu sebelum jasadnya. Kami berikhtiar mencari doktor lain yang terbaik untuk ayah (ketika ini ayah mendapat rawatan di hospital swasta).

Alhamdulillah, selepas itu kami menjumpai seorang doktor pakar yang membuka pusat rawatannya sendiri. Sejak itulah kami sekeluarga berkampung ditempat orang selama 3 minggu untuk rawatan ayah. Masih terngiang-ngiang suara ayah mengerang sakit ALLAHUAKHABAR…! ALLAHUAKHABAR…! YA RASULULLAH…! YA RASULLULAH…! Ayah terlalu sakit apabila nurse membuka kain balutan dan membersihkan luka kaki ayah.

Masakan tak sakit, luka tersebut sangat besar dan dalam sehingga daging kaki kemerah-merahan berserta tulang temulang jelas kelihatan. Bayangkan, nak selimutkan kaki ayah pun sakitnya bukan kepalang padahal cuma terkena kain selimut yang nipis. Tambahan pula, ubat bius tak diletakkan, dibersihkan luka tersebut dalam keadaan sedar, sakitnya Allah sahaja yang tahu macam mana.

Setiap kali tukar kain balutan yang baru untuk dibersihkan, ayah akan memanggil aku berada disisinya. Ayah berpaut tangannya pada tangan dan lenganku. Sehingga kemerah-merahan lengan aku kerana ayah menekan-nekan tangannya menahan sakit.

Sedihnya aku melihat ayah. Sampaikan aku perasan ayah sering mengalirkan air mata. Aku sempat beberapa kali membersihkan sendiri luka ayah (biasanya ada dua orang nurse yang melakukannya). Mula-mula tu tak sanggup tengok luka tu. Menangis kami adik beradik dan mak dengar suara ayah menahan sakit.

Namun Allah telah memberikan aku kekuatan untuk berhadapan dengan luka ayah dengan tenang. Luka ayah perlu dibersihkan setiap hari. Dengan menggunakan madu yang dikhaskan dan beberapa jenis cecair yang lain. Alhamdulillah semakin hari luka ayah kelihatan semakin baik. Daging-daging baru mulai tumbuh dan telah menutupi tulang-tulang kaki yang kelihatan.

Sedikit sebanyak ianya telah memberi kegembiraan kepada kami sekeluarga. Sempat juga kami berbincang dengan doktor untuk mendapatkan kasut khas untuk ayah. Kami optimis bahawa ayah akan sembuh. Kata doktor, ayah juga akan dapat berjalan dan memandu kereta seperti biasa dengan kasut tersebut.

Akan tetapi, manusia hanya mampu merancang, dan sebaik-sebaik Perancang hanya Dia Yang Maha Berkuasa. Ayah cuma sempat berada dirumah betul-betul sehari dan semalaman, setelah 3 minggu di tempat orang. Rupa-rupanya, kepulangan ayah ke rumah kali ni adalah kepulangan yang terakhir ayah dan merupakan destinasi penutup buat ayah.

Anggaran, 5 ke 10 minit sebelum ayah menghembuskan nafas yang terakhir, aku dapat mendengar tutur kata ayah yang jelas dan nyata. Masa tu tiada siapa sedar dan langsung tak perasan yang ‘masa’ ayah sudah hampir. Ayah bercakap seperti biasa. Katanya mahu makan mee goreng mamak.

Mujur ada mee goreng di dapur tapi bukan mee goreng mamak seperti yang dipinta. Makanlah ayah sesuap dua. Kemudian disuapkan sebiji kurma dan seteguk air zam-zam. Sebenarnya sudah lama ayah tak makan apa-apa, hanya minum air susu sahaja selain daripada telur separuh masak yang akhirnya langsung tak dapat ayah jamah lagi akibat sangat jemu.

Selepas minum air zam-zam, ayah beritahu nak mandi. Ayah buka satu persatu butang baju kemejanya. Sedangkan masa tu kami baru sahaja menukar baju dan kain ayah yang baru. Baru sahaja mandikan ayah sekadar membasahi seluruh badan ayah dengan kain. Bila sampai butang baju terakhir, nafas ayah berubah.

Nafas yang masuk cukup berat untuk dilepaskan. Tersekat lama, baru dapat hembus. 3 kali ditarik kemudian 3 kali dihembus dalam masa kurang 2 minit dan akhirnya ayah pergi meninggal kami buat selama-lamanya. Patutla ayah beriya-iya nak mandi, rupa-rupanya ayah tahu ayah akan dimandikan buat kali terakhir. Aku yang melihat ayah ketika tu, nampak ayah seolah-olah sedang tidur. Tak nampak langsung bahawa ayah sudah tiada.

Aku duduk disisi ayah, mengamati susuk tubuh ayah dalam-dalam. Aku bertanya akan mak, betul ke ayah sudah tiada. Berulang-ulang kali bertanya, masa tu tak pula aku menangis. Sehinggalah ada pegawai dari pihak hospital sampai, lalu mengesahkan ayah sudah tiada dan aku mulai kelu 1000 bahasa.

Allah benar-benar menguatkan hati aku, bila difikirkan balik agak tabah aku ketika tu. Masih sempat aku memberikan bakti terakhir untuk arwah ayah. Aku mencabut satu persatu helaian daun Pohon Dara (sejenis pokok diambil air dari daunnya digunakan untuk memandikan jenazah) yang penuh dengan duri untuk memandikan jenazah ayah. Aku blend daun-daun tu kemudian ditapis. 7 kali blend dan tapis silih berganti seorang diri. Ada yang mahu membantu tetapi aku tekad lakukan sendirian.

Di saat aku melihat jasad yang berselimut putih menunggu masa meninggal perkarangan rumah, itulah detik-detik yang sungguh berat aku rasakan. Ketika mencium wajah ayah buat kali terakhir, aku nampak raut wajah ayah seolah-olah sedang tidur nyenyak. Dan kemuncaknya, bila jenazah ayah diturunkan ke dalam lahad dadaku seperti hendak pecah dan ketika itulah aku menangis semahu-mahunya.

Kalau di ikutkan hati, mahu sahaja aku sekat dan tahan jenazah ayah daripada diturunkan ke dalam tanah. Tetapi ibarat barang yang dipinjam mestilah dipulangkan kepada Tuannya kembali. Mana mungkin dapat dimiliki selama-lamanya. Aku redha.

Banyak sekali, kekuatan yang Allah berikan kepada ku. Aku masih mampu lagi memandu ke tanah perkuburan. Sama-sama mengiringi dengan yang lain ke sana, memulangkan ayah menuju sang pencipta.Ayah meninggal jam 6 petang 19 November 2014. Segala urusan pengebumian dilakukan dengan pantas.

Inilah hadiah Allah kepada ayah yang aku rasa hebat. Penutup perjalanan ayah yang bukan sebarangan orang boleh dapat. Dalam masa 3 jam semuanya diselesaikan dengan lancar. Hanya 3 jam. Si tukang yang memandikan jenazah kata, inilah pertama kali sepanjang dia menguruskan jenazah, proses yang paling cepat dan pantas pernah dia hadapi.

Subhanaallah, hebatnya ayah. Cita-cita ku pun mahu seperti ayah. Ayah, berehat lah dengan tenang disana. Sesungguhnya rehat sebenar orang mukmin adalah di barzakh.

Sahabat-sahahat, sedekahkan surah Al-Fatihah buat arwah. Semoga ayah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

7 JANUARI 1952 – 19 NOVEMBER 2014

– Ex- Engineer (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *