Murtadnya Seorang Sahabat

Assalamualaikum WBT. Demi Allah kisah ini adalah benar-benar terjadi dalam hidup aku dan Sahabatku. Semoga menjadi tauladan kepada semua pembaca.

Terima kasih admin kerana menyiarkan confession aku. Aku ada seorang sahabat yang baik sejak dari kecil. Biarlah aku namakan dia Ina. Ina ini sejak dari kecil lagi memang selalu dibuli. Keluarga selalu mendera jiwanya.

Pendek kata dari kecil memang nasibnya tidak baik. Abangnya sendiri pernah berkata didepan aku, dia tak mengaku Ina ni adik dia. Sedangkan Ina tidak pernah berkasar apatalagi bersosial bukan-bukan.

Apabila meningkat remaja, Ina menjadi lebih pendiam. Pelajaran di sekolah sederhana sahaja. Puas aku mengajak Ina belajar sama-sama, tetapi Ina tidak mahu. Balik dari sekolah, terperap di rumah. Ina selalu berkata, hidupnya ibarat zombi, (mayat hidup). Hanya terpaksa hidup kerana masih ada nyawa.

Di sekolah, Ina masih dibuli, diejek oleh guru, malah guru kaunseling yang sepatutnya dipercayai juga mengheboh luahan peribadi Ina kepadanya. Habis satu sekolah tahu kisah peribadi Ina dan oleh sebab itulah Ina menjadi lebih pendiam. Aku masih ingat guru tersebut. Salah satu penyebab mengapa Ina murtad juga adalah disebabkan olehnya.

Tamat sahaja SPM, aku mendapat keputusan yang bagus, aku terus ditawarkan belajar di Mesir dalam bidang Syariah. Masih terbayang wajah Ina menghantar aku ke lapangan terbang. Dia begitu bangga dengan percapaian aku. Sejak dari itu, Ina terus menyepi, surat menyurat, email semua tidak dibalas olehnya.

5 tahun kemudian, aku kembali ke Malaysia mencari Ina. Terkejut aku apabila ibu beritahu Ina hilang sejak 3 tahun lepas. Aku ke rumahnya, malangnya tiada siapa pedulikan kehilangan Ina. Ibuku beritahu mungkin Ina lari ke Australia kerana berdasarkan perbualan terakhir antara ibu dengannya, Ina pernah meluahkan hasrat ke sana.

Aku cuba mengesan dan cuba melaporkan kehilangan Ina di balai Polis. Tapi malangnya ibu bapanya tidak mahu bekerjasama kerana takut perkara ini menjadi heboh dan memalukan nama keluarga. Aku cuba bertanya mengapa mereka begitu membenci Ina? Ibunya berkata, sebenarnya mereka tidak merancang untuk menerima Ina didalam keluarga. Maksudnya TERpregnant.

Adakah itu alasan mengapa Ina dibuang jauh? apa salah Ina kepada mereka? Dia juga tidak minta untuk dilahirkan didalam keluarga tersebut. Aku cukup kesal dengan keadaan keluarga Ina yang tidak kisah langsung tentang keadaan Ina, adakah dia masih hidup atau sudah mati?

Akhirnya setelah setahun usaha aku untuk mengesan Ina, aku berjaya mendapatkan profile Ina di Linkedin. Gambar di page tersebut memang gambar Ina, cuma tidak bertudung dan namanya bertukar menjadi Lisa Smith. Mulanya aku ingatkan orang lain. tetapi dah hidung pun hidung melayu, kulit pun kuning langsat, memang sah itu Ina.

Aku tidak message Ina, aku terus mendapatkan company tempat Ina bekerja iaitu di Adelaide, dan terus terbang kesana. Mulanya agak nervous kerana aku takut Ina akan reject aku. Tetapi rupanya dia berlari memeluk aku apabila aku ke pejabatnya.

Ina, yang dahulunya seorang yang pendiam, sentiasa “invisible”, dibuli dan dikeji, rupanya sudah berjaya menjadi seorang Pegawai di syarikat Farmasi. Pakaiannya juga tidak melambangkan orang islam dan rambut dicat warna hazelnut serta memakai salib dileher. Dia begitu gembira dan tidak sangka sekali aku dapat mencarinya di Adelaide.

Dia membawa aku kerumah keluarga angkatnya. Keluarga yang kuat ajaran Catholic. Aku terpana. Mahu sahaja aku sembur mereka kerana bagi aku merekalah yang mempengaruhi Ina menjadi seorang Catholic.

Tapi apabila mereka menyapa aku, terus emosi marah aku hilang, baiknya akhlak mereka, menyambut aku dengan senyuman, cukup tertib dan berseri wajah mereka. Suasana dirumah mereka juga memiliki aura yang bahagia. Aku terus duduk dibilik Ina dan bertanya kepadanya apa yang terjadi.

Ina terus mulakan cerita.

Selepas Ina tamat belajar di sekolah, keluarga Ina memaksanya untuk berkahwin dengan lelaki yang memang Ina tidak suka kerana ingin melangsaikan hutang keluarga. Kerana sebab itu, Ina lari ke balai polis mendapatkan bantuan. Tetapi malangnya, polis terbabit menelefon keluarga Ina dan mengarahkan Ina pulang.

Ina disepak terajang dan diikat sehinggalah 3 hari sebelum tarikh nikah, Ina berjaya lari dari keluarganya. Ina terus ke pejabat agama untuk mendapatkan nasihat, malangnya tiada siapa pedulikan luahannya.

Kerana tidak tahan dengan keadaan di Malaysia yang tidak langsung memihak kepadanya apatahlagi menolongnya, Ina lari ke Sydney untuk mendapatkan bantuan. Di Sydney badan organisasi yang paling kuat untuk Human Rights adalah Catholic Christian (St Vincent Organisation). Sebab itulah Ina mendapat perlindungan disana.

Ina beritahu aku, tiada siapa yang memaksanya untuk menjadi Catholic. Dia sendiri yang jatuh cinta tentang agama tersebut kerana mereka cukup mementingkan hak perlindungan dan mengajarkan menjadi seorang yang baik. Dia juga mendapat keluarga angkat yang baik dan menyayanginya lebih dari anak sendiri. Itulah yang didambakan selama dia hidup, ingin memiliki keluarga yang menyayanginya.

Pada pandangan aku, aku setuju dengan pendapat Ina, pada dahulu lagi aku ada ramai kawan dari agama Catholic. Sesiapa yang datang dari keluarga yang begitu kuat ajaran Catholic, memang mereka cukup baik akhlak malah lebih baik dari orang melayu kita sendiri.

Buat pengetahuan semua, Kristian ini ada banyak cabang. Yang selalu menjadi anti islam adalah cabang yang lain, bukan dari aliran Catholic. Catholic mengajar pengikutnya menjadi seorang yang baik dan menjadikan Jesus (Nabi Isa As) sebagai ikutan peribadi yang mulia.

Berbalik kepada Ina, aku tidak mampu untuk menasihatinya. Kerana pada dahulu lagi yang membulinya adalah orang melayu Islam. Ina beritahu aku sewaktu dia mula bertapak di Sydney, dia cuba untuk bekerja di Syarikat orang Islam, malangnya management disitu begitu jahat dan mengambil kesempatan. Itu menambahkan perasaan anti Islam didalam diri Ina.

Aku cuba untuk meyakinkan Ina, yang ramai lagi golongan Islam yang begitu baik, tetapi pendirian Ina cukup kuat. Aku tidak menyalahkan Ina 100% kerana trauma yang berlaku didalam dirinya adalah disebabkan orang melayu islam kita. Dari keluarga sampailah ke guru, semua pernah membulinya. Ina hanya percayakan aku kerana akulah satu2 sahabat yang paling baik untuknya.

Sepanjang aku dirumah keluarga angkat Ina, aku melihat sisi gembira Ina bersama mereka. Mereka juga amat menghormati aku sebagai Muslim, mereka sanggup membeli pinggan mangkuk dan periuk baru untuk aku kerana tahu aku tidak boleh makan seperti mereka.

Setiap kali aku berbual dengan Mrs Smith, mak angkat Ina, dia pasti menasihatkan aku, walaupun apapun agama yang kita pegang, jadilah manusia yang baik dan tidak menghina orang.

Mrs Smith juga berpesan, mereka tidak sesekali memaksa sesiapa untuk menjadi seperti mereka. Mereka ingin menjadi contoh yang baik kepada masyarakat dan itu akan menonjolkan agama mereka adalah agama yang terbaik.

Aku kembali ke Malaysia dengan tangisan. Aku rasa aku sudah kehilangan sahabat aku. Aku ingin selamatkan akidahnya. tetapi aku tak pasti macamana. Banyak email yang aku hantar kepada Imam Muda, Daie dan juga Ustaz-ustaz malangnya hingga kini tiada jawapan dari mereka.

Mungkin kes ina ini tidak viral, so tidak popular untuk mereka membalas kembali email aku. Itulah yang terjadi pada masyarakat kita, sifat yang angkuh dan bongkak, hanya mementingkan diri sendiri membuatkan Islam dipandang keji oleh agama lain.

Apa yang terjadi pada Ina adalah hanya 1% dari beribu orang yang sudah murtad. Mereka murtad bukan kerana mereka membenci Allah, tetapi kerana masyarakat kita sendiri memandang remeh tentang isu ini. Hak asasi wanita teraniaya cukup dipandang ringan oleh negara kita. Sebab itulah ramai wanita disini menjadi mangsa aniaya manusia tetapi cukup susah untuk mendapat pembelaan.

Kepada semua pembaca, hargailah saudara-saudara Islam kita, berilah layanan yang baik dan tonjolkan yang Islam juga agama yang lemah lembut dan baik.

Kepada ibu bapa, didiklah anak dengan baik, mereka tidak minta untuk dilahirkan. Percayalah apa yang jadi pada diri Ina banyak sudah terjadi pada masyarakat kita. Cuma kita tidak sedar kerana mereka lari ke luar negara.

Kepada para sahabat sekalian, aku memohon pandangan dari semua, adakah masih ada peluang untuk aku kembalikan Ina kejalan Allah? Aku perlu bantuan dan idea untuk cuba menyelamatkan akidahnya.

Sekian…

– Asikin (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *