Apa Itu Bercerai?

Beberapa hari lalu aku tiba-tiba ditanya oleh isteri majikan aku. Mejanya hanya sebelah meja aku, dan dia sangat baik, walaupun dia majikan tapi dia layan aku seperti kawan dia. Dia buka topik tentang penceraian.

Aku waktu tu agak terkejut dan tertanya tanya adakah majikan aku ni nak bercerai. Rupanya ada seorang kawan baik dia nak bercerai. Usia kawannya sudah menjangkau 30an dan sudah berkahwin 10 tahun dan dia menangis semalaman bila fikirkan kawan baik dia nak bercerai.

Untuk makluman semua majikan aku bukanlah beragama Islam. Jadi soalan yang dia ajukan kepada aku bagaimana perceraian dari segi agama Islam. Aku bukanlah seorang yang arif tentang hal ini tapi menjelaskan tentang jenis-jenis cerai secara asas itu bolehlah aku ceritakan kepada dia.

Lama dia termenung dan dia kata pada aku dia tak faham dengan pemikiran orang muda sekarang, terlalu ambil mudah semua benda.

Panjang dia berleter pada aku, katanya kalau orang tengok dia dan suami dia orang mungkin akan sangka kami tak dapat hidup sama sebab kami sangat berbeza. Tapi kami berjaya lalui ujian hidup kami sudah lebih 20 tahun hidup bersama dan rupanya kami saling mengisi kekosongan antara kami.

Lama aku menung, suasana jadi sunyi sambil menghadap kerja masing-masing di komputer. Ada betulnya apa yang Ms (panggilan aku kepada isteri majikan aku) aku katakan. Jika dilihat statistik penceraian di Malaysia kian meningkat. Kita tak boleh nafikan lagi kerana hari-hari akan ada kes penceraian baik kita yang beragama Islam atau yang bukan.

Aku tidak pernah menggalakkan perceraian. Ini cuma pandangan aku dan boleh jadi ianya benar atau tidak. Bagi aku perceraian biarlah menjadi pilihan yang paling akhir sekali bagi setiap pasangan. Selagi boleh selesaikan setiap permasalahan yang timbul, selesaikanlah. Hidup berumahtangga bukanlah sesuatu yang mudah, ia perlukan pengorbanan, kesefahaman, kesabaran, keredhaan, kekuatan mental dan spiritual. Ia bukanlah medan dimana sentiasa bahagia dan tiada ujian.

Namun, kebelakangan ini isu perceraian semakin serius. Ada banyak sebab dan punca yang menjadi perceraian. Antaranya kes curang. Sama ada suami ataupun isteri sama sahaja. Seterusnya kes suami berkahwin lain atau madukan isteri secara rahsia. Bukanlah aku menolak poligami, sedangkan poligami itu mulia tapi yang banyak merosakkan kemulian itu adalah kita.

Jika ingin berpoligami, fikirlah sehabis baik. Jangan hanya pandai kata poligami itu sunnah tapi hakikatnya diri sendiri tidak mampu berlaku adil sehinggakan ada pihak yang ‘makan hati’. Monogami juga satu sunnah ya. Seterusnya antara punca yang boleh aku senaraikan pasangan memiliki nafsu songsang.

Perkara ini dahulunya jarang kita dengar, tapi sekarang sudah sering. Bahkan sudah berkahwin bertahun-tahun baru tahu pasanganya bernafsu songsang. Selain itu masalah orang ketiga iaitu ahli keluarga mertua. Ini selalu menjadi punca yang sering dialami oleh pasangan. Ada ipar yang suka menjadi batu api, ada mertua yang tidak sukakan menantunya ada yang suka masuk campur urusan rumahtangga anak menantu dan macam-macam lagi.

Seterusnya setelah berkahwin hati dan perasaan sayang pada pasangan hilang. Apa sahaja yang dibuat untuk pasangan tiada rasa ikhlas atau cinta melainkan rasa tanggungjawab sahaja. Aku ada terbaca satu kisah seorang wanita yang telah berkahwin selama setahun tapi hatinya tidak mencintai suaminya. Adakah ia sesuatu yang konyol? Tidak. Kerana ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Tapi ada pula yang mempersoalkan mengapa berkahwin jika tiada perasaan?

Bukankan jodoh, maut, berpisah, berkenalan itu takdir Allah. Bertunang lalu putus, ia juga jodoh. Tetapi jodohnya hanya setakat itu sahaja. Dah berkahwin 5 tahun lalu pasangannya meninggal. Ia masih jodoh namun hanya setakat itu sahaja. Berkahwin lalu berpisah. Ia masih jodoh namun hanya setakat itu sahaja. Banyak lagi punca-punca yang boleh menyebabkan seseorang itu terfikir untuk bercerai.

Bercerai itu perkara halal yang dibenci Allah. Namun ia tidak salah. Allah mewujudkan perceraian untuk ‘membebaskan’ pasangan yang berada dalam keadaan tidak aman. Bukankah perkahwinan itu seharusnya ada sakinah, mawadah dan warahmah. Jika tiada lagi ketiga-tiga perkara itu ia bukan lagi menjadi rumahtangga.

Perceraian ini kadang asbabnya boleh menjadi wajib, harus dan haram. Ia mengikut kepada situasi-situasi yang dialami oleh suami isteri. Kesedaran terhadap jenis-jenis talak dan tanggungjawab serta peranan masing-masing dalam rumahtangga menyebabkan ramai suami yang salah gunakan kuasa mereka dan isteri-isteri merasa hukum Allah itu tidak adil kerana meletakkan kuasa-kuasa pada suami.

Hukum Allah itu sangat mudah, tidak ada yang susah melainkan kitalah yang banyak menyusahkan dan menampakkah hukum Allah itu sukar.

Jadi aku nak kongsi sikit secara ringkas jenis-jenis talak yang ada dalam Islam dan dibenarkan syarak.

1) Cerai Talaq

Perceraian secara talaq berlaku apabila kedua-dua pihak suami dan isteri bersetuju untuk bercerai secara baik, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talaq. Ia juga terbahagi kepada dua iaitu Talak sharih (langsung) dan Talak kinayah (tidak langsung).

2) Cerai Ta’liq

Ta’liq didefinisikan mengikut Undang-undang Keluarga Islam sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah. Perceraian secara ta’liq berlaku apabila suami melanggar ta’liq yang dibuat olehnya semasa upacara akad nikah.

Contohnya dalam lafaz ta’liq suami berkata “Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya.

Kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khulu’.”

3) Cerai Khulu’

Perceraian secara khulu’ merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran dari pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan.

Perceraian berlaku dengan lafaz talaq oleh suami apabila dia bersetuju dengan pampasan tersebut. Perceraian jenis ini juga termasuk dalam kategori talaq ba’in sughra. Oleh itu, ia tidak boleh dirujuk.

Ia boleh terjadi apabila isteri tidak lagi merasa boleh hidup bersama dengan suaminya kerana merasa tidak cinta atau dizalimi dan merasa takut untuk menanggung dosa tidak taat dan bersifat jahiliah tetapi suaminya tidak mahu menceraikan dia lalu isteri boleh meninta khulu’. Seperti kisah yang terjadi kepada Zaid bin Tsabit isterinya yang meminta Khulu’ kepadanya.

4) Cerai Fasakh

Fasakh merupakan pembubaran perkahwinan melalui kuasa yang diberikan kepada Hakim (judicial decree). Walaupun hak untuk memohon fasakh terpakai kepada kedua-dua suami dan isteri, namun secara amalannya hak fasakh diberikan kepada isteri memandangkan suami mempunyai hak untuk melafazkan talaq.

Perceraian secara fasakh boleh berlaku apabila hakim memutuskan untuk memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan alasan yang boleh memudaratkan pihak-pihak dalam perkahwinan tersebut dan ia tidak dapat diselamatkan lagi.

Contohnya apabila:

i) Suami tidak memberi nafkah zahir dan batin selama empat bulan berturut-turut.

ii) Suami meninggalkan isteri selama empat bulan berturut-turut tanpa sebraang khabar berita.

iii) Suami tidak melunaskan mahar (mas kahwin) yang telah disebutkan dalam akad nikah, baik sebahagian ataupun seluruhnya.

iv) Terdapat perlakuan buruk oleh suami seperti penganiayaan, penghinaan, dan tindakan-tindakan lain yang membahayakan keselamatan isteri.

Jika bukti-bukti dari pihak isteri telah sah, maka Hakim berhak memutuskan hubungan perkahwinan antara keduanya.

5) Cerai Li’an

Perceraian secara li’an berlaku apabila suami menafikan anak yang dilahirkan oleh isterinya atau anak di dalam kandungan isterinya sebagai anaknya, atau menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain tetapi tidak dapat membuktikan melalui penyaksian empat orang saksi.

Sumpah li’an dilakukan oleh suami dengan menyatakan atas nama Allah, dia bersumpah bahawa isterinya telah melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan sebanyak 4 kali oleh suami, dan pada sumpah kelima, suami menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika dia berbohong.

Demikian juga sebaliknya, isteri dapat melakukan sumpah balik (sumpah nukul), atas nama Allah, dia bersumpah bahawa dia tidak melakukan zina. Sumpah itu dinyatakan isteri sebanyak 4 kali dan pada sumpah kelima, isteri menyatakan dia siap menerima laknat Allah jika tuduhan suaminya itu benar.

Maka apabila pihak-pihak tersebut (suami dan isteri) telah mengangkat sumpah dengan cara li’an, mengikut hukum Syara’ di hadapan Hakim Syar’ie, maka mereka akan difaraqkan. Kesannya, kedua-dua pihak tidak boleh rujuk kembali atau berkahwin semula.

Jadi itulah serba sedikit yang boleh aku kongsikan tentang jenis-jenis perceraian yang ada dalam agama Islam. Aku rasa kagum dan sangat menyangjungi bagi sesiapa yang masih bertahan dalam rumahtangga masing-masing walaupun terdapat masalah dan keganasan dalam kehidupan mereka.

Namun ada yang ingin berpisah tetapi memikirkan anak-anak, ada pula yang menimbang kesan kepada status menjadi janda atau duda, ada pula yang risaukan maruah diri dan keluarga, ada pula yang risau hidup sendirian dan pelbagai lagi.

Benar, perceraian bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak boleh dibawa bergurau, namun ia adalah sesuatu yang diberi Allah untuk membawa keluar hambanya dari perkara yang boleh membinasakan diri.

Seperti awalnya aku jelaskan dalam rumahtangga perlulah ada sakinah, mawadah dan warahmah. Jika ada isteri-isteri atau suami yang ingin berpisah, rujuklah pejabat agama dahulu. Mereka ada jalan penyelesaian kepada anda. Jangan terlalu terburu-buru.

Hidup ini kitalah yang perlu mencari bahagia itu sendiri, jangan takut dengan takdir Allah. Jangan takut untuk bertindak dan jangan malu untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan mengaku bahawa kita berada dalam masalah rumahtangga. Benar ada yang mampu lalui ujian-ujian dalam rumahtangga namun kita bukanlah sama dan janganlah sesekali samakan diri dan kemampuan kalian dengan individu lain.

Disini mungkin ada yang setuju dan tidak setuju dengan apa yang aku nyatakan tetapi ini cuma pendapat. Cuma berkaitan perbincangan aku dan isteri majikan aku yang boleh aku katakan padanya hanyalah mungkin mereka sudah tidak boleh hidup bersama walaupun dihadapan kita mereka kelihatan gembira namun hakikatnya mungkin tidak bahagia.

Aku terangkan bab cerai ini pada dia, dia terus kata susahnya. Ketawa kecil juga aku lihat kerut wajahnya, yalah bukan mudah mereka nak faham tapi aku betulkan semula salah faham dia.

Terima kasih kerana sudi membaca dan maaf andai ada salah.

– Ila (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *